“ALHAMDULILLAH, saya gembira. Akhirnya dia menjadi isteri saya yang sah walaupun baru empat bulan lalu menyatakan hasrat untuk memperisterikannya.”
Itulah antara kata-kata awal yang terbutir daripada mulut penyanyi rap popular, Waris atau nama sebenarnya, Muzammil Alias, 26, yang kini bergelar suami kepada Izzati Amirah Kamaruddin, 26, ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Waris yang terkenal dengan lagu berjudul Rembau Most Wanted itu mengadakan majlis pernikahan dengan wanita pilihannya tanpa publisiti meluas media pada Sabtu lalu bertempat di Surau Al-Wehdah, Taman Lestari Permai, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, sekitar pukul 5.42 petang.
Pada majlis tersebut, Izzati menerima mas kahwin sebanyak RM300 dan wang hantaran berjumlah RM15,000 diiringi sembilan dulang hantaran berbalas jumlah yang sama daripada pengantin perempuan.
Menurut Waris, dia tidak berniat untuk memilih media tertentu atau merahsiakan pernikahannya itu daripada pengetahuan umum, sebaliknya demi menjaga hati dan menghormati permintaan pihak perempuan.
“Tiada istilah saya bersikap dingin dengan media atau sebagainya sehinggakan tidak menjemput mengadakan liputan majlis pernikahan saya.
“Majlis hanya berjalan secara sederhana. Tiada apa yang ingin saya sembunyikan kerana sedar media memainkan peranan yang sangat penting terhadap perjalanan seseorang anak seni.
“Namun, saya harus mendahulukan permintaan isteri yang tidak mahu terlalu menghebohkan berita pernikahan kami. Alhamdulillah, dengan sekali lafaz, dia (Izzati) sah menjadi isteri saya,” ujar Waris menjelaskan situasi pernikahannya yang tidak banyak dihadiri wakil media.
Dijentik soal bermulanya bibit percintaan dengan si isteri, Waris menjelaskan, sudah lebih 12 tahun mereka mengenali antara satu sama lain atas dasar persahabatan.
“Kami berkawan sejak tingkatan satu. Siapa sangka hubungan sebagai rakan sekolah itu begitu kuat sehingga membawa ke jenjang pelamin, sekali gus menyatukan kami sebagai suami isteri.
“Dia sentiasa memberi dorongan dan semangat untuk saya terus percaya dan komited terhadap apa yang dilakukan dalam hidup. Dia juga merupakan antara inspirasi saya untuk berkarya dalam muzik,” jelas penyanyi berkenaan.
WARIS tidak bertindak terlalu menghebahkan berita pernikahannya kerana menghormati permintaan isteri.
Ramah bercerita, Waris turut berkongsi keistimewaan wanita yang berasal dari Kuala Lumpur itu.
“Bagi saya, dia seorang yang sangat memahami, itu yang paling penting. Sebagai balasan, saya akan terus cuba untuk memahami dirinya sebagaimana dia memahami saya.
“Saya bersyukur kerana dapat memperisterikan seorang wanita yang matang pemikiran. Saya harapkan status baharu ini akan membawa kepada kehidupan yang lebih baik dan sempurna buat kami.
“Istimewanya, dia seorang yang sangat sederhana. Dia tidak meletakkan syarat yang bukan-bukan kepada saya selain menjalankan majlis pernikahan secara sederhana,” jelas penyanyi lagu Botingkek-tingkek itu melanjutkan bicara.
Bulan madu
Ditanya tentang destinasi bulan madu yang menjadi pilihan, Waris memberitahu, dia lebih selesa berbulan madu di dalam negara.
“Kami sudah berbincang dan memilih untuk ke berbulan madu di Kuala Pilah, Negeri Sembilan sahaja.
“Izzati sukakan aktiviti berkuda. Jadi, saya fikir apa salahkan jika kami bercuti dan merasai pengalaman menunggang kuda di sana.
“Lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang ini. Kami menitikberatkan soal berjimat cermat,” tegasnya.
Bercakap soal zuriat, Waris dan isteri berhasrat untuk mempunyai lima orang anak.
“Saya memang mahu anak ramai (ketawa). Tidak kira apa jantinanya, sama ada lelaki atau perempuan. Kalau boleh saya mahu dikurniakan anak lelaki dulu,” ujarnya menutup bicara.