WATIE percaya kumpulan Elite akan menyatu kembali dan mampu membuat kemunculan semula dengan single baharu.
SEKITAR awal tahun 1990-an, legasi band pop mula menular di Malaysia dengan kehadiran pelbagai kumpulan, tidak kira dalam kalangan lelaki mahupun wanita. Ketika itu, lagu-lagu genre lagu berentak pop dan catchy menjadi pilihan.
Elite, antara salah sebuah kumpulan wanita yang mula melakar nama dan bersaing dengan beberapa lagi band pop lain antaranya, Feminin, A To Z, KRU, 4U2C dan banyak lagi.
Setelah hampir 20 tahun, kumpulan Elite yang pernah dianggotai oleh Hannah, Linda, Watie, Azza, Sasha, Fiza dan Abby Abadi itu seperti ada tetapi tiada.
Di samping kontroversi dan sensasi yang dicetuskan, mereka tetap diingati dengan material hit seperti Manisnya Senyumanmu, Aku Siapa Kau Siapa dan Trauma.
Bertahun-tahun sepi tanpa material baharu, kini harapan peminat setia kumpulan yang turut popular dengan lagu Tamparan Wanita itu kembali terubat.
Salah seorang anggota Elite, Watie atau nama sebenarnya, Norwati Sadali, 39, yang ditemui dalam majlis sambutan hari raya anjuran Global Station baru-baru ini berkata, keinginan Elite untuk kembali mewarnai dunia hiburan tanah air sememangnya cukup kuat.
Masih berlegar atas dasar perbincangan untuk merangka semula perjalanan kumpulannya, Watie yang kini sedang sibuk dengan penggambaran telenovela berantai Memori Cinta Suraya bercerita lanjut mengenai hala tuju Elite.
Ikuti temu bual bersama pelakon drama Gelora Di Hati Sara itu mengenai perkara tersebut.
Artis Meletop!: Jika dahulu, nama Watie begitu sinonim dengan Elite, kini selepas beberapa tahun Elite menyepikan diri, tidakkah wujudnya perancangan untuk kalian kembali ke persada muzik tanah air?
WATIE: (Senyum) Memang ada. Perancangan itu sentiasa ada untuk Elite kembali sebagai sebuah kumpulan tetapi mungkin waktu dan keadaan tidak mengizinkan kami untuk melakukan perkara itu. Sebelum ini, memang ramai peminat bertanyakan kepada kami tentang kemunculan semula dalam industri. Kalau mereka bertemu saya di mana-mana, pasti akan ada peminat bertanya tentang Elite.
Pada waktu itu, saya tidak boleh memberi pengesahan. Namun, keinginan untuk kembali sebagai sebuah kumpulan itu masih ada dan tidak pernah luntur. Insya-Allah kami akan muncul dengan produk terbaharu.
Semuanya masih dalam proses perbincangan dan saya tidak boleh bercakap lanjut mengenainya. Sampai masanya nanti kami akan umumkan kepada semua.
Andai kata suatu hari nanti Elite kembali hidup, apakah kalian masih mahu mengekalkan genre muzik yang sama?
Tidak. Sudah tentu kami akan mengubah genre mengikut peredaran masa dan selera peminat. Usia kami pun yang semakin meningkat, rasanya sudah tidak sesuai untuk menyanyi irama lagu yang catchy seperti dahulu (ketawa).
Saya rasa imej dan genre lagu yang matang sangat sesuai dengan kami.
Lagipun, sensitiviti juga perlu dijaga. Sekarang, Linda Rafar dan Azza sudah berhijab sepenuhnya. Jadi, kalau mahu muncul dengan lagu baharu, kami perlu mengutamakan kesesuaian imej dan karakter ahli kumpulan.
Bagaimana pula dengan anda sendiri? Pernahkah terfikir untuk muncul dengan single solo?
Saya pernah juga terfikir untuk keluar dengan single bersama suami tetapi macam saya katakan tadi, semuanya bergantung pada keadaan dan waktu.
Buat masa sekarang, saya hanya fokuskan kepada lakonan semata-mata. Biar selesai dahulu penggambaran telenovela Memori Cinta Suraya yang dijangka tamat pada penghujung tahun ini. Selepas itu, baru boleh fikir soal lain seperti single solo atau bersama Elite.
Anda merupakan salah seorang pelakon senior yang masih laris di kaca televisyen, boleh kongsikan apa perkembangan terkini?
Alhamdulillah. Memang tidak dinafikan, bakat saya masih dipandang orang dan pihak penerbit masih mahu menggunakan khidmat saya selaku pelakon dalam produk mereka. Selain sibuk dengan beberapa penggambaran telemovie, sekarang saya sedang sibuk menjalani penggambaran telenovela sebanyak 148 episod iaitu Memori Cinta Suraya.
Selain berlakon, saya ada juga mengacara majlis bersama suami, Joey. Kami sering mendapat tawaran mengendalikan pelbagai acara bersama. Selaku suami isteri, persefahaman itu sudah sedia tercipta. Malah, Joey juga pandai menyanyi dan ia memberi bonus kepada kami untuk lebih kerap mengambil tawaran mengacara.
Beralih ke arah telenovela Memori Cinta Suraya, memandangkan ia merupakan drama rantaian yang mempunyai banyak episod, apakah cabaran yang anda lalui sepanjang penggambaran?
Walaupun telenovela ini mempunyai episod yang banyak, ia sangat menyeronokkan kerana kami mempunyai sebuah pasukan yang sangat memahami walaupun penggambaran mengambil masa berbulan-bulan.
Jika ada masalah yang meruncing, ia dapat diatasi dengan baik kerana semua orang mempunyai semangat berpasukan. Cuma kami berdepan cabaran paling besar apabila penggambaran dibahagikan kepada dua kumpulan kru.
Keadaan itu kadangkala membuatkan pelakon kelam-kabut dan terkejar-kejar bertukar ke lokasi penggambaran berbeza. Bahasa pula menjadi cabaran kedua.
Memandangkan ia merupakan telenovela dan bakal ditayangkan di beberapa buah negara luar, pelakon turut dituntut berdialog dalam bahasa Inggeris. Mulanya memang kekok tetapi lama-kelamaan ia menjadi kebiasaan, ditambah pula dengan latihan yang berterusan.