Tidak mati dek caci, Aliff semakin terbuka menerima teguran membina daripada peminat, baik dari segi karier, hidup dan kisah cintanya bersama Bella.
PERNAH dilabel sebagai penyanyi bermasalah lantaran sikap liar yang mencetuskan kontroversi, bahkan kisah cinta yang tidak kesampaian membuatkan penyanyi Aliff Aziz mencipta rekod tersendiri sebagai yang tidak menempa zaman kejatuhan akibat salah percaturan sendiri.
Suatu ketika dahulu, naskhah cinta yang disulam bersama seorang dramatis wanita memaut perhatian banyak pihak lantaran sengkang usia yang jauh berbeza antara mereka berdua.
Dicanang ke sana ke mari, rupa-rupanya kisah cinta yang sempat bersulam impian menuju perkahwinan itu terlebur di tengah jalan. Bertitik-tolak dari situ, bagaikan kisah dalam drama, hidup Aliff terumbang-ambing dipukul ombak hitam yang menerjah pelayaran hidupnya saban waktu.
Selepas putus cinta, dia tidak pernah sunyi daripada pelbagai isu panas yang sekali gus, mengheret namanya ke lembah sensasi. Tiba-tiba sahaja, penyanyi itu menconteng arang ke muka sendiri. Dia juga pernah memanaskan atmosfera dunia hiburan apabila dituduh mabuk, bahkan namanya tercemar dek tuduhan mencuri.
Kahwin muda
Sudah jatuh ditimpa tangga, mungkin itu perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan kisah hidup penyanyi tinggi lampai kelahiran Singapura itu.
Liar seolah-oleh satu predikat yang mengekori rapat pemilik nama Mohamad Aliff Aziz itu sehingga membuatkan popularitinya hilang dari industri muzik buat seketika.
Menginjak usia 24 tahun pada Februari 2015, angka itu menampakkan perubahan sikap dan tindak-tanduk Aliff untuk menjadi seorang yang lebih matang dan dewasa.
Selain tampil dengan single terbaharu Selayaknya Aku sekitar Mac lalu, Aliff kini semakin jelas menemukan cahaya. Bukan sahaja kembali menemui rentak dalam karier, dia juga sudah bersedia memikul tanggungjawab besar menjadi seorang lelaki sejati.
Selepas setahun bermadu asmara dengan kekasih hati dikenali sebagai Bella Astilla yang merupakan kakak kepada penyanyi Didi Astilla, Aliff dikhabarkan telah bersedia menambat hati kekasihnya dengan sebuah ikatan pertunangan pada hujung tahun ini.
Aliff dan Bella, 21, yang merupakan pelajar di Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU) dalam bidang penyiaran memilih tanggal 12 Disember depan sebagai tarikh keramat untuk mematri kasih mereka dengan ikatan suci.
“Tidak banyak perkara yang boleh saya kongsikan mengenai majlis pertunangan kami sebab ia masih dalam peringkat awal. Cuma yang pastinya, tarikh yang dipilih ialah pada 12 Disember dan dilangsungkan di sebuah dewan di Shah Alam, Selangor.
“Saya dan bakal tunang merancang untuk mengadakan sebuah majlis yang sederhana. Buat masa sekarang, kami sibuk menyiapkan persiapan majlis termasuklah dari segi fizikal dan mental untuk menempuh alam baharu,” selorohnya di hujung talian.
Saat diusik tentang persediaan memikul tanggungjawab menjadi tunangan orang, ini jawapan pelantun lagu Jangan Ganggu Pacarku itu.
“Bertunang, berkahwin dan kemudiannya mempunyai anak seterusnya cucu, itu merupakan kitaran hidup manusia. Bagi saya, mempunyai keinginan untuk berkahwin adalah normal dan saya tiada masalah untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami kepada isteri saya kelak.
“Apa yang penting, saya sudah bersedia untuk melalui transformasi memikul gelaran ketua keluarga. Apatah lagi keputusan baik seperti ini mendapat sokongan kuat daripada keluarga kedua-dua belah,” ujar bekas juara pertandingan Anugerah 2007 itu semangat.
Meskipun sedang menghitung detik bahagia bersama kekasih, Aliff masih tidak terlepas daripada kritikan segelintir pihak gara-gara kerap memuat naik gambar mesra bersama kekasih di laman Instagram.
Hentaman
Tidak betah dengan hentaman dan cemuhan yang diterima, Alif punya pendirian tersendiri. Menyedari tindakan memuat naik gambar mesra di laman sosial sememangnya mengundang padah apatah lagi salah di sisi agama, abang kepada penyanyi Aisyah Aziz itu bertegas, setiap manusia tidak terlepas daripada kesalahan.
Andai diberi ruang dan peluang, dia mahu menjadikan kesalahan itu sebagai sesi pembelajaran untuk mengaut lebih banyak pengajaran dalam hidup.
“Pertama sekali, saya sangat berterima kasih kepada peminat yang menegur kami di laman sosial. Saya suka dengan teguran membina dan positif, tetapi kebanyakan teguran yang kami terima selalunya berbaur hentaman.
“Saya tidaklah buta dalam soal agama. Yang salah tetap salah, dan saya tahu soal bersentuhan dengan bukan mahram juga suatu kesalahan. Saya mengakui kesalahan, tetapi dalam masa sama orang-orang yang menegur saya, mereka juga harus menyedari adakah itu cara teguran yang sepatutnya? Jika sampai mengaibkan seseorang, perbuatan itu juga dikira berdosa.
“Saya bukan jenis individu yang tidak boleh menerima teguran apatah lagi jika ia dibuat atas dasar kebaikan. Untuk segala kejadian itu, saya sangat berterima kasih kepada peminat yang selalu menegur saya bukan secara terbuka di laman sosial. Saya mengaku ada membuat salah dan cuba untuk membaiki diri pada masa akan datang,” tegasnya.
Fasa matang
Memilih untuk melangkah ke gerbang perkahwinan pada usia muda bukanlah perkara mudah. Apatah lagi, memegang status sebagai seorang selebriti memungkinkan banyak halangan terpaksa dilalui selepas berkahwin.
Populariti salah satu perkara yang selalu dibangkitkan apabila melibatkan perkahwinan seseorang artis. Manakan tidak, masih ramai yang mempunyai skeptikal bahawa populariti pasti menjunam jatuh selepas seseorang artis itu bergelar suami atau isteri orang.
Bagi penyanyi yang mula melonjak nama menerusi lagu Sayang Sayang itu, terma populariti mempunyai pro dan kontra tersendiri. Ia sebenarnya terpulang kepada individu untuk mengawalnya. Jika betul arah tuju, pasti sampai ke destinasi. Namun, jika tersilap langkah, bahana menunggu.
“Sebenarnya mengingati kisah silam yang penuh calar dan tompok hitam bukanlah sesuatu amalan yang baik. Perkara lama, biarlah ia berlalu. Sebab saya percaya, sekurang-kurangnya saya mencuba untuk terus berdiri atas landasan yang betul dan berubah menjadi manusia yang lebih baik.
“Saya tidak menjanjikan apa-apa untuk perkara itu (berubah). Saya bukan manusia sempurna. Kalau terlebih berjanji, takut memakan diri. Jadi, biarkanlah ia berlaku dengan sendiri.
“Dahulu saya pernah mencapai populariti, walaupun tidak sehebat orang lain. Saya juga pernah diminati ramai, lagu nyanyian saya sering diputar di corong radio. Tetapi, saya telah memilih jalan salah ketika usia yang masih belum arif menilai tindak-tanduk sendiri,” ujarnya penuh mendalam.
Karier
Soal hilang populariti bukan persoalan yang mampu membuatkan hidupnya tidak tentu arah. Asal saja tindakan berpaksikan niat baik dan diredai Tuhan, Aliff percaya langkahnya pasti akan dituntun dengan lancar.
“Saya selalu dengar orang berkata, perkahwinan adakalanya ibarat racun pembunuh karier selebriti. Bagi saya, skeptikal seperti itu perlu dilupuskan sebab ini adalah soal rezeki. Umum sedia maklum bahawa perkahwinan merupakan perkara baik dan perlu disegerakan.
“Ramai artis yang saya minati sudah mendirikan rumah tangga, tetapi kelibat mereka dalam industri masih ada sehingga kini. Ada yang sudah beranak-pinak pun, tetapi tawaran kerja masih banyak. Jadi, untuk apa ditimbulkan persoalan yang sudah tidak relevan itu,” soalnya.
Tambah Aliff: “Menjadi seorang lelaki bernama Aliff Aziz selama tempoh 24 tahun adalah sebuah rahmat yang cukup besar buat saya. Tidak semua orang boleh mencapai cita-cita yang diimpikan sejak belum bersekolah, tetapi aturan Tuhan sungguh indah. Itu perkara yang paling menyeronokkan bagi saya.”
Lebih setahun perkembangan seninya mendap dek kontroversi, kini Aliff semakin bervisi. Dia bakal muncul dengan album baharu berjudul Rebirth yang memuatkan sebanyak lapan buah lagu baharu.
“Alhamdulillah, ini merupakan album keempat saya selepas setahun ia tergendala dan insya-Allah album itu bakal dilancarkan pada hujung tahun ini.
“Rebirth tidak hanya kemunculan semula lagu saya dalam industri, bahkan ia sebenarnya menjadi simbolik untuk penjenamaan semula Aliff Aziz,” tuturnya gembira.