Muniif Isa, Mas Muharni tangguh bulan madu



BULAN madu adalah antara agenda penting bagi pasangan yang baru berkahwin dan lazimnya ia dirancang selepas semua majlis selesai diadakan.

Ini kerana, bulan madu sering dikaitkan dengan keindahan, kebahagiaan dan keseronokan kepada setiap pasangan pengantin baru demi memulakan fasa baharu dalam kehidupan masing-masing.

Pun begitu, berbeza pula bagi pasangan selebriti, Muniff Isa dan isterinya, Mas Muharni.

Menyaksikan bencana banjir yang melanda Pantai Timur pada akhir tahun lalu, membuatkan pasangan ini nekad untuk tampil sebagai sukarelawan.

Menariknya, ketika keputusan itu diambil, usia perkahwinan pasangan sama cantik sama padan ini baru menginjak 14 hari.

"Pada mulanya, kami merancang ke Bali, Indonesia sebagai destinasi berbulan madu. Tetapi, melihat kepada situasi buruk yang melanda Pantai Timur, hati saya terpanggil untuk membantu.

"Niat berbulan madu terpaksa ditangguhkan dan saya ambil kesempatan itu mengajak isteri turut sama menjadi sukarelawan.

"Alhamdulillah, tak sangka pula dia mahu kerana sebelum itu, saya tak pernah berbincang dengannya," kata Muniff kepada Zass.

Mengakui terkejut dengan ajakan suaminya itu, Mas bagaimanapun menerimanya dengan hati yang positif.

"Walaupun nampak macam tak romantik, aktiviti yang kami lakukan bersama itu sangat menyeronokkan. Ia memberikan satu pengalaman baharu buat saya apatah lagi membantu golongan memerlukan.

"Sehingga hari ini, kami masih belum berkesempatan berbulan madu ke mana-mana. Lebih-lebih lagi, selepas berkahwin, saya lebih selesa apabila suami sentiasa di sisi," kata Mas.


Begitu pun, kata Muniff atau nama sebenarnya, Abdul Muniff Md Isa tindakan itu merupakan salah satu pengorbanan yang dilakukan olehnya dan isteri.

"Erti pengorbanan itu besar sebenarnya. Jadi, sebagai manusia, kita bukan saja perlu berkorban daripada segi masa, wang dan kadang-kadang diri sendiri untuk individu lain.

"Jika kita tidak berjasa pada orang lain maknanya hidup kita ini juga tidak berguna. Ini kerana, manusia yang paling berguna adalah manusia yang berjasa dgn orang lain," katanya.

Tidak cukup dengan itu, Muniff dan Mas juga merancang kembali turun ke Kelantan pada Hari Raya Aidiladha ini bagi menghulurkan bantuan kepada masyarakat di negeri itu.

Jadi pengacara bersama

Mungkin kerana rezeki, siapa sangka, keputusan diambil pasangan itu turut mendapat perhatian stesen TV AlHijrah, lantas menawarkan peluang pengacaraan secara bersama melalui program Masam-Masam Manis.

Lebih manis, berkat keserasian, Muniff dan Mas menjadi pilihan produksi untuk terus menerajui program ini bagi musim kedua yang sudah bersiaran sejak Ogos lalu.

"Alhamdulillah, selain berlakon, saya juga semakin aktif mengacara dalam pelbagai program terbitan TV AlHijrah seperti Ejen Halal dan Assalamualaikum.

"Sebelum ini, saya pernah berlakon bersama dengan Mas. Tapi, untuk pengacaraan ini adalah yang pertama.

"Saya juga mahu melihat sejauh mana keserasian kami sebagai pengacara apatah lagi ini pengalaman pertama Mas," kata Muniff.

Mengakui pengacaraan adalah ‘dunia’ baharu, namun pemilik nama sebenar Mas Normuharni Sheikhah Mohd Satar ini cukup bertuah apabila mendapat bimbingan dan sokongan daripada suami tercinta.

"Jujurnya, pada mulanya saya kurang yakin tetapi saya percaya bakat itu boleh digilap sekiranya saya rajin berusaha, ingin mencuba dan kerap bertanya.

"Alhamdulillah, semakin hari saya semakin selesa dalam bidang ini." katanya.

Bagaimanapun, bagaikan bersependapat, kedua-duanya mengakui masih lagi aktif menerima tawaran berlakon.

"Kami masih berminat berlakon, cuma saya agak selektif terutamanya dalam pemilihan watak dan skrip. Malah, saya juga tidak halang isteri untuk meneruskan karier lakonan, cuma biarlah watak itu bersesuaian dengan status dan imejnya yang kini sudah berhijab," kata Muniff.

Pada masa sama, Muniff kini sibuk menguruskan syarikat produksinya, Misa Pictures Sdn Bhd selain berjinak-jinak dalam dunia perniagaan import-eksport.

Tidak merancang

Semakin bahagia meniti kehidupan sebagai suami isteri, pasangan ini juga tidak menolak dikurniakan zuriat secepat mungkin.

Namun, baik Muniff mahupun Mas, kedua-duanya menyerahkan soal itu kepada takdir ALLAH SWT.

"Kami tak pernah merancang. Mungkin rezeki anak masih belum berpihak kepada kami. Apa yang penting, kami harus bersabar.

"Apabila sudah tiba masanya nanti, Insya-ALLAH, doa kami dimakbulkan," kata Mas.

Previous Post Next Post