Nabil Ahmad tak sabar tunai haji


NABIL sewaktu menunaikan umrah beberapa bulan lalu.

Rezeki Allah itu datangnya dalam pelbagai bentuk dan cara, bukan sekadar dinilai dengan kemewahan wang ringgit.

Bagi pelawak dan pengacara Nabil Ahmad, 31, kurniaan rezeki hadir dalam bentuk jemputan ke rumah Allah bukan sekali, malah dua kali dalam tahun yang sama.

Lebih menarik, Nabil dijemput sebagai tetamu Allah bukan hanya untuk menunaikan umrah, sebaliknya haji.

Pemilik nama sebenar Ahmad Nabil Ahmad mengakui tergamam apabila menerima panggilan telefon kira-kira sebulan lalu, yang menyatakan ada tempat baginya untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.


Artis Meletop! berjaya menghubungi Nabil bagi berkongsi perasaannya yang bakal berangkat ke Tanah Suci seorang diri tanggal 19 September ini.

Artis Meletop!: Apakah perasaan Nabil apabila mendapat peluang untuk menunaikan ibadah haji sejurus selepas selesai mengerjakan umrah?

NABIL: Syukur Alhamdulillah, itu sahaja yang mampu saya ucap pada nikmat yang Allah kurniakan. Mendapat jemputan pada usia masih muda, bukanlah satu benda yang boleh diperoleh begitu sahaja. Saya teruja, tidak sabar dan sangat gembira kerana dimakbulkan doa sewaktu mengerjakan umrah agar dijemput lagi ke Tanah Suci.

Boleh kongsikan bagaimana dan bila anda mendapat berita ini?

Saya dihubungi oleh seorang rakan yang bertanggungjawab membawa saya mengerjakan umrah pada bulan puasa lalu kira-kira sebulan lepas. Dia juga yang pernah berpesan ketika kami berada di Mekah agar sentiasa berdoa untuk Allah jemput lagi untuk ibadah haji pula. Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan. Tambah istimewa, saya dan 21 jemaah yang turut sama dalam rombongan persendirian ini bakal mengerjakan Haji Ifrad. Maksudnya, saya akan terus niat mengerjakan haji ketika dalam pesawat dan turun dengan berpakaian ihram sehingga 24 September iaitu pada Hari Raya Korban.

Baru-baru ini, Mekah ditimpa tragedi menyayat hati. Tragedi yang berlaku di Masjidil Haram telah meragut 107 nyawa. Apakah perasaan anda yang bakal menjejak langkah ke rumah Allah nanti?

Mereka yang meninggal dunia di rumah Allah itu adalah insan terpilih yang cukup bertuah. Walaupun tragedi tersebut baru berlaku, namun tetap tidak sabar dan tidak menjejaskan niat saya untuk menjejakkan kaki ke sana sekali gus dapat menunaikan haji.

Adakah anda membuat sebarang persiapan dari segi mental dan fizikal sebelum berangkat ke Tanah Suci?

Secara mental tidak banyak yang perlu dilakukan cuma saya lebihkan pada kecergasan tubuh badan agar tidak lemah dengan cuaca panas di Mekah. Saya kerap ke pusat gimnasium untuk beriadah dan memohon doa rakan-rakan serta ahli keluarga agar diberikan kekuatan melakukan haji mabrur. Saya mahu masa di Tanah Suci digunakan sepenuhnya dan ibadah dapat disempurnakan tanpa masalah kesihatan.

Anda mempunyai sebarang hajat atau niat untuk dipohon di sana nanti?

Jika bercakap tentang hajat, pasti banyak tetapi saya mengambil pendekatan memohon perkara paling ringkas iaitu keamanan negara kita, Malaysia. Saya sebagai ayah mahukan negara yang stabil dan makmur bagi anak-anak saya Naera Mikayla, 3 dan Leyla Medina, enam bulan, membesar dengan baik. Jika boleh, saya tidak mahu mereka berdepan kesukaran atau kesusahan apabila dewasa.

Berapa lama anda akan bercuti untuk menunaikan haji?

Saya hanya mengambil cuti 12 hari, cukup-cukup dengan waktu yang diperlukan untuk kembali ke Malaysia kerana jadual kerja yang sangat padat. Malah buat masa sekarang saya tidak mengambil sebarang tawaran lakonan dan tumpukan pada pengacaraan sahaja. Saya akan mengacarakan pentas Gegar Vaganza musim kedua apabila Akademi Fantasia 2015 tamat.

Previous Post Next Post