Vanidah Imran sasar gelaran doktor falsafah



VANIDAH meraikan kejayaan bersama suami, Rashidi dan anak-anak mereka, Mikail Aimran (kiri) dan Maryam Rashika (dua dari kiri).

BAKAT lakonannya tidak perlu disangkal, sementelah sudah hampir dua dekad bergelumang sebagai anak seni. Setiap karya yang menggunakan namanya, pasti dizahirkan dengan sempurna.

Tidak lekang dengan senyuman di bibir, raut wajah aktres filem Perempuan Melayu Terakhir itu jelas memancarkan kegembiraan. Di tangan Vanidah Imran tergenggam kemas segulung kertas ‘mahal’ yang bertanda Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris.

Tempoh lima tahun pengajian di Universiti Terbuka Malaysia (OUM), cawangan Petaling Jaya terasa benar-benar berbaloi. Biarpun memilih untuk memperlahankan kerjaya, kehidupan sebagai pelajar dan anak seni telah sebati dalam dirinya.

Tidak terhenti setakat ijazah pertama, pelakon filem Untuk Tiga Hari itu menanam cita-cita setinggi gunung. Dia membulatkan hati untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang kaunseling dan jika diberikan keizinan Tuhan, dia mahu mendaki sehingga mencapai impian mendapatkan ijazah doktor falsafah (PhD).

“Saya menjadikan suami sebagai inspirasi untuk melanjutkan pengajian. Kesibukan menguruskan kerjaya dan keluarga bukan satu halangan untuk mencapai impian.

“Syukur kerana keluarga banyak memberi dorongan dan galakan. Suami dan anak-anak sangat memahami dan mereka sering memberi saya ruang untuk bersendirian sewaktu menyelesaikan tugasan atau mengulang kaji pelajaran,” jelas wanita berusia 41 tahun itu.


Tambah Vanidah, desakan daripada bapanya, Imran Abdullah turut menjadi punca yang membakar semangatnya melanjutkan pelajaran biarpun terpaksa berperang dengan kesibukan kerja.

Dimomok-momokkan dengan kerjaya sebagai pelakon tidak menjamin masa depan, bapa Vanidah bertegas, inginkan anak perempuannya mempunyai tahap pendidikan tinggi agar menjalani kehidupan yang lebih stabil.

Namun, skeptikal tersebut tersasar apabila wanita berbintang Capricorn itu ternyata mempunyai bakat lakonan yang hebat sehingga berjaya meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-20 menerusi The Rede Kebaya pada 2007.

“Selepas menduduki peperiksaan Sijil Penilaian Malaysia (SPM), saya menerima tawaran untuk menyambung pengajian di London dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), namun tawaran itu ditolak.

“Saya bimbang untuk merantau di tempat orang, sementelah ketika itu masih berusia belasan tahun. Jadi saya memilih untuk berkecimpung dalam dunia seni dan syukur segala usaha membuahkan hasil,” katanya.

Rancak bercerita soal impian, Vanidah meletakkan harapan, agar suatu hari nanti mampu bergelar pakar motivasi khususnya dalam bidang lakonan dan dunia seni.

“Perkara itu berlaku sewaktu saya dijemput untuk berkongsi pengalaman bersama 150 orang pelajar dalam sebuah program anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sekitar lima tahun lalu.

“Bermula daripada itu, timbul perasaan untuk menjadikan ia sebagai satu kerjaya serius memandangkan tugas tersebut amat menyeronokkan,” jelas Vanidah bersungguh-sungguh.

Mengharapkan impiannya terlaksana, tidak pernah terlintas di fikiran ibu kepada dua cahaya mata itu untuk meletakkan noktah terhadap kerjaya seninya, meskipun telah mencapai sasaran sebagai pakar motivasi kelak.

Dalam soal lakonan, selain daripada kekuatan naskhah, Vanidah juga selesa berlakon menerusi karya yang dihasilkan rakan-rakannya. Tidak bermaksud mengamalkan kronisme tetapi pendekatan sedemikian disifatkan memudahkan cara bekerja di lokasi.

Previous Post Next Post