Pengalaman matangkan Exists


EZAD (kanan) kembali bersama Exists sempena The Blue Jeans Concert di Istana Budaya pada bulan depan.

BAND itu seumpama keluarga, manakala setiap ahli kumpulan juga boleh diibaratkan sebagai darah daging sendiri. Bagaikan carik-carik bulu ayam, lama lama bercantum jua, demikian jugalah perihal setiap anggota kumpulan tatkala cuba memadam setiap sengketa mahupun perselisihan faham antara satu sama lain.

Menjadikan kumpulan Exists sebagai contoh, jodoh kumpulan ini bersama bekas vokalis, Ezad Lazim dilihat ternoktah sekitar tahun 2008. Ketika itu, bertebaran kisah konflik dalaman seperti Ezad dikatakan membelakangkan kumpulan itu setiap kali menjayakan persembahan secara individu, selain didakwa menyanyikan lagu Exists tanpa sebarang lampu hijau daripada Along, Musa dan juga Ujang.

Natijahnya, Exists meneruskan langkah perjuangan apabila posisi Ezad digantikan oleh Joey sebelum muncul dengan album terakhir mereka berjudul Keunggulan pada tahun yang sama sementara Ezad pula melebarkan sayap karier secara solo.

Itu cerita lama. Selepas tujuh tahun membawa haluan masing-masing, Ezad kini kembali ke pangkuan Exists demi menjayakan The Blue Jeans Concert yang bakal diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya di ibu negara pada 23 Oktober depan.

Meskipun kehadiran Ezad sekadar satu projek khas demi peminat Exists yang menyokong perjuangan band itu sejak ditubuhkan sekitar tahun 1991, sekurang-kurangnya ia satu petanda positif betapa mereka tidak lagi dibelenggu perseteruan silam.

“Pengalaman banyak mematangkan kami. Ini kali kedua kami kembali bekerjasama dengan Ezad selepas menjayakan satu showcase mini di Melaka pada tahun lepas.

“Barang yang lepas usahlah dikenang. Tambahan pula, ini kali pertama Exists beraksi di Istana Budaya. Jadi, kami tidak berdepan sebarang sentimen untuk kembali berkongsi pentas bersama Ezad mahupun Mamat selepas ini,” kata gitaris, Along kepada Sensasi Bintang.



DARI kiri: Along, Ezad, Musa dan Ujang masih sibuk dengan komitmen masing-masing biarpun tidak lagi aktif bersama Exists.

Cuma, itu bukan bermakna Joey tidak lagi bersama Exists di sebalik kehadiran semula Ezad sempena konsert berkenaan.

“Joey masih bersama kami, cuma tempoh persiapan sempena konsert ini agak singkat selain bakal mempersembahkan sekurang-kurangnya 20 lagu pada konsert itu nanti.

“Jika diikutkan selain Ezad, kami juga mahu Mamat turut serta menjayakan konsert ini, namun atas sebab tertentu ia tidak dapat dilaksanakan,” jelas Along.

Justeru, Along memberitahu, Exists juga bercadang untuk mengadakan konsert berskala lebih besar membabitkan bekas ahli kumpulan Exists yang lain seperti Ajai dan Shah Slam termasuk Ezad dan Mamat suatu hari nanti.

“Ketika ini, segala-galanya masih di peringkat perbincangan. Kami juga bercadang untuk tampil dengan single terbaharu selepas ini, bergantung kepada sambutan The Blue Jeans Concert nanti,” ceritanya lagi.

Mengulas lanjut, Along menjelaskan, sebagai sahabat, Exists sentiasa menyokong perjalanan seni Ezad dan Mamat biarpun kedua-dua bekas vokalis itu tidak lagi bersama mereka, selain pernah terpalit dengan kontroversi penyalahgunaan dadah sebelum ini.

“Bagi kami, itu masalah peribadi mereka dan enggan masuk campur. Kami tidak mempunyai masalah atau terkesan dengan tanggapan segelintir masyarakat terhadap mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ezad enggan kehadirannya bersama Exists kali ini disalahertikan oleh mana-mana pihak.

“Saya tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju, tambahan pula ini konsert pertama Exists sebagai satu kumpulan sejak ditubuhkan selama 24 tahun. Peluang beraksi di Istana Budaya juga tidak akan kami sia-siakan sebegitu saja.

“Biarpun ia sekadar satu projek khas, ia tetap istimewa buat kami. Usia pun bukan lagi muda, jadi kami sudah melupakan cerita-cerita lama,” ujarnya.

Selain Exists, turut terlibat membuat persembahan pada konsert anjuran Bombay Worldwide itu ialah kumpulan May pada 24 Oktober dan Blues Gang sehari kemudian.

Tempahan tiket yang dijual pada harga RM50, RM70, RM100, RM150, RM200 dan RM250 boleh dibuat menerusi www.ticket2u.biz atau menghubungi talian 03-4147 8600; 03-4147 8600 atau 019-2111 600.

Previous Post Next Post