Linda Rafar & Syed Aiman Sudah banyak kali bergaduh


MINGGU ini dunia hiburan digemparkan dengan perkhabaran mengenai pergolakan rumah tangga pasangan pelakon Linda Rafar dan Syed Aiman. Berita itu nyata mengejutkan banyak pihak, terutamanya mereka yang berada dalam industri seni tanah air.

Mana tidaknya, sebelum ini, belum pernah kedengaran mengenai masalah rumah tangga daripada pasangan tersebut sejak mereka mendirikan rumah tangga hampir sembilan tahun lamanya. Bagaimanapun, segala-galanya mula dihidu selepas bekas anggota kumpulan Elite itu memuat naik sekeping foto di laman sosial Instagram miliknya.

Menerusi sekeping foto perkahwinan itu, Linda seolah-olah memberi gambaran mengenai perasaan berkecamuk mengenai hubungannya bersama Syed Aiman selama ini. Menerusi foto itu, Linda memberitahu, keindahan rumah tangga di awal perkahwinan tidaklah selama-lamanya akan berterusan.

Justeru, perkara itu menimbulkan tanda tanya daripada pelbagai pihak. Sehinggalah Linda sendiri membuka mulut mengenai apa sebenarnya yang tersirat menerusi perkongsian foto itu. Lebih mengejutkan apabila pelakon berusia 37 tahun itu kemudian mendakwa dirinya diceraikan tanpa sebab pada Selasa lalu.

Buntu dengan apa yang berlaku, Linda membuat keputusan untuk mengemukakan borang pengesahan lafaz cerai yang dilakukan oleh suaminya Selasa lalu.

“Saya ke mahkamah kerana tidak berapa pasti mengenai isu talak ini. Saya tak pandai mengenainya. Ini semua dilakukan atas nasihat hakim dan mahkamah. Biarlah hakim yang tentukan sama ada jatuh (talak) atau tidak.



RAMAI peminat terkejut dengan masalah rumah tangga pasangan artis ini.

“Cuma dengan apa yang saya dengar, saya pasti saya diceraikan,” kata Linda.

Bagaimanapun, tindakan Linda itu dilihat bagaikan bercanggah dengan kenyataan suaminya apabila Syed sendiri mendakwa dia tidak mengerti dengan tindakan Linda yang dianggap sebagai satu perkara di luar pengetahuannya. Bahkan, Syed menafikan perkara tersebut.

Sungguhpun begitu, pasangan itu tidak menafikan bahawa terdapat permasalahan yang timbul dalam rumah tangga mereka apabila pernah beberapa kali wujudnya pertelingkahan antara mereka. Cuma perkara itu tidak pernah sampai ke pengetahuan orang luar.

“Sebenarnya pergaduhan bukan pertama kali, sudah banyak kali, tapi saya tak mahu besar-besarkan. Apabila orang sudah cakap bukan-bukan, tak kan saya nak tunggu lagi.

“Saya pun ada maruah diri dan keluarga, saya dah banyak bersabar, saya pun ada harga diri,” luah Linda.

Kata Linda, ekoran insiden itu, mereka tidur berasingan.

“Saya tidak cakap sepatah dan berjumpa pun. Dia keluar pagi, balik tengah malam. Tidur pun di bilik berasingan.

“Tiada pujukan, Hantar SMS (khidmat pesanan ringkas) minta maaf pun tiada. Jadi saya yakin perkara itu (apa yang dilafazkan Syed) benarlah,” katanya yang kini sedang hamil tiga bulan.

Biarpun perit untuk berdepan dengan situasi ini, kata Linda, dia reda dengan apa jua ketentuan yang bakal dilaluinya.

“Saya menangis dan bertanya kepada diri sendiri adakah boleh saya menerima dia. Jika ditakdirkan saya berpisah, saya reda,” katanya.

Previous Post Next Post