Sharifah Amani, wanita cilik dengan hati yang besar terhadap bidang seni tidak mahu sekadar memegang profil sebagai pelakon, tetapi pelaku seni sejati.
JIKA dihitung secara menyeluruh, tempoh kelana anak seni bertubuh genit ini sudah menjangkau usia 23 tahun. Dia bermula selaku pelakon kanak-kanak dalam filem Selubung (1992) sewaktu berusia enam tahun.
Selepas lebih dua dekad berlayar di atas lautan seni, pemilik nama Sharifah Amani teguh membina empayar sendiri dalam gelanggang lakonan yang menjadi darah dagingnya.
Agak lama tidak bertemu, Amani atau lebih terkenal dengan jolokan Nani punya banyak cerita untuk dikongsi bersama peminat. Terkini, aktres berdarah kacukan campuran Arab, Cina dan India itu baru sahaja selesai pulang dari menjalani penggambaran sebuah dokumentari travelog berjudul From France To Italy untuk siaran TVi.
Menurut Nani, kesempatan yang diberi untuk meneroka dan menjelajah negara orang memberi satu pengalaman manis yang tidak akan dilupakan seumur hidup, sementelah jelajah itu membolehkannya meneroka tiga buah negara Eropah sekali gus.
“Ia sesuatu yang sangat menarik sebab dalam masa hanya sebulan saya dapat jelajah tiga buah negara Eropah iaitu Perancis, Switzerland dan Itali.
“Pengalaman yang sangat mengujakan sebab saya tidak pernah pergi ke negara Eropah dan setibanya di ketiga-tiga negara tersebut, sukar digambarkan perasaan yang ada dalam hati. Selain pemandangan yang sangat cantik, jelajah itu juga memberikan saya peluang untuk mengenal budaya dan bahasa negara asing,” ujarnya teruja.
Dengan perkongsian jelajahnya ke tempat-tempat menarik menerusi laman sosial Instagram, Amani mendapat banyak respons daripada peminat yang ingin mengikut jejak langkahnya.
Ini sekali gus, objektif travelog bertemakan pengembara beg galas (backpacker) yang diterbitkan untuk mendorong wanita muda melangkah keluar dan melihat budaya negara asing bagaikan hampir tercapai meskipun tarikh tayangan masih belum diputuskan pihak saluran terlibat.
“Banyak perkara dan tempat menarik yang saya lawati. Dalam pada bekerja, saya rasa inilah peluang terbaik untuk mempelajari dunia luar. Dengan hanya berbeg galas, anda juga mampu mengelilingi dunia.
“Apa yang saya lihat sejak kebelakangan ini, mentaliti masyarakat kita seakan tersasar daripada sifat ketimuran. Saya kadangkala tidak faham mengapa ada pihak mengutuk artis yang mengembara seperti Yuna. Kalaulah mereka tahu akan nikmat mengembara itu indah dan sangat menenangkan, pasti ia tidak terjadi,” luahnya.
Pada masa sama, selama sebulan berkampung di Eropah, Amani sempat menjalani penggambaran sebuah telefilem pendek bersama aktor kacak, Shukri Yahya di Venice, Itali.
Menariknya, naskhah berjudul Ti Amo Venezia (I Love You Venice) berjaya disiapkan dalam masa hanya tiga hari walaupun tempoh singkat itu menguji kredibilitinya selaku pelakon versatil.
“Kami menyudahkan penggambaran hanya dalam masa tiga hari. Memang agak terburu-buru, tetapi saya sangat seronok. Digandingkan dengan Shukri, dia banyak membantu dan cepat belajar.
“Walaupun kami tiada skrip dan menggunakan dialog spontan seratus peratus, tetapi situasi sebegini memberi pengalaman baharu kepada kami untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang,” ceritanya bersemangat.
Pengarah
Ini bukan kali pertama Amani mencuba profesion di belakang tabir. Ironi, dia pernah menjadi penolong pengarah filem Talentime (2009) dan juga penolong pengarah lagak ngeri filem Hikayat Merong Mahawangsa (2011).
Ilmu serta pengalaman yang ada selama berkelana dalam industri membuatkan gerak langkah kakinya semakin laju menerokai bidang pengarahan.
Terkini, dia sedang menunggu masa sesuai mencuba pengalaman pertama mengendalikan projek penggambaran klip video penyanyi Fynn Jamal. Mengaku ini merupakan pertama kali mengarah projek seumpama itu, Amani berkongsi getar jiwanya.
“Tidak mungkin saya akan menjadi seorang pengarah pada suatu hari nanti,” tuturnya sambil ketawa.
Itu ucapan yang terpacul daripada bibir wanita itu saat ditanya mengenai perancangan masa hadapannya bergelar seorang pengarah. Baginya, bukan mudah menjadi orang di sebalik tabir pembikinan sesuatu naskhah.
Emosi yang berbeza dan gerak atur langkah yang jauh menyimpang daripada dunia lakonan membuatkan dia seperti tiada keyakinan untuk duduk selesa di kerusi seorang pengarah.
“Saya tidak faham dunia pengarahan. Saya akui, ia memang sangat sukar sebab untuk persediaan mengarahkan klip video Fynn (Jamal), saya banyak menonton klip video nyanyian dan dari situ saya kenal pasti, terlalu banyak perkara yang rumit untuk dilakukan.
“Menjadi pengarah benar-benar menguji kemampuan saya sebab ia memerlukan lebih keringat idea untuk diperah bagi menghasilkan karya yang terbaik. Dari segi jalan cerita, konsep dan skrip, semuanya perlu difikirkan pengarah,” luahnya.
Bukan bermaksud tidak sanggup berdepan cabaran, Amani ada alasan sendiri.
“Harus saya akui, bukan tidak suka tetapi jiwa saya lebih kepada lakonan. Saya cuba elak untuk terima tawaran mengarah, tetapi bak kata orang, apa yang dielak itulah selalu mengejar kita.
“Sudah lama tidak mengarah, ada kawan-kawan yang bertanya bila saya akan muncul dengan naskhah baharu. Tiba-tiba, rezeki datang bergolek walaupun saya tidak mengharap,” ujarnya ketawa namun dalam masa sama dia sangat mensyukuri rezeki yang diatur untuknya.
Sedar tidak sedar, pelakon filem Mimpi Moon itu sudah berada pada fasa penghujung usia 20-an. Meski tidak menolak untuk menjawab soalan itu, namun masih terselit perasaan janggal yang hadir daripada getaran suaranya.
Jodoh
“Saya bukan mahu beri jawapan klise, tapi berpegang kepada takdir dan ketentuan Tuhan yang mengatur segalanya untuk manusia, membuatkan saya tidak ralat tentang jodoh.
“Soal jodoh sama seperti ajal, perkara yang kita tidak tahu bila ia menghampiri. Keinginan untuk berumah tangga memang ada, sudah tentu saya mahu berkahwin. Usia pun sudah semakin tua,” selorohnya bersahaja melontar rasa.
Menikmati peluang mengecap bahagia dalam hidup solo membuatkan dia tidak pernah terasa ingin mengadu tentang perancangan jodoh yang dipegang Tuhan.
“Saya beri contoh yang ringkas. Kedatangan ajal dan jodoh bukan perkara yang kita boleh rungutkan setiap hari . Sewaktu menjelajah ke negara Eropah, melihat pemandangan yang cukup cantik membuatkan saya terlupa nikmat apa lagi yang Tuhan tidak beri kepada kita sebagai hamba yang dikasihi-Nya.
“Jadi, untuk apa saya merungut dan tertekan memikirkan perkara yang sudah awal-awal tertulis. Biarkan sahaja dan nikmati hidup ini sepuasnya. Sampai masa nanti, dia (jodoh) akan datang sendiri,”ujarnya perlahan namun tegas menceritakan pendirian.