Sudah Lama Perhati, Edry Alu-Alukan Che Ta Tarik Diri



Pengetua Akademi Fantasia 2015 (AF 2015) iaitu Edry Abdul Halim mengalu-alukan Rozita Che Wan untuk menarik diri sebagai pengkritik tetap rancangan itu kerana tugas berkenaan tidak layak untuk digalas pelakon tersebut.

Edry berkata, sepanjang Rozita atau Che Ta menjadi pengkritik AF 2015, aktres berkenaan memberikan komen-komen yang tidak berasas terhadap peserta-peserta program itu.

"Saya terima keputusan dia menarik diri menjadi juri AF 2015 kerana ia adalah untuk kebaikannya juga. Saya lihat ia keputusan yang wajar.

"Lebih-lebih lagi dia sering dikutuk peminat-peminat AF 2015 kerana memberi komen yang tidak berasas dan saya setuju tentang hal itu," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Selasa.

Che Ta menerusi sebuah laporan media meluahkan hasrat menarik diri menjadi pengkritik AF 2015 selepas diherdik oleh Edry gara-gara pengetua AF 2015 itu tidak berpuas hati dengan komennya terhadap pelajar-pelajar program berkenaan.



Rozita Che Wan

Menurut Che Ta, apa yang dibuat di AF 2015 adalah tangunggawabnya sebagai pengkritik namun herdikan Edry di khalayak ramai adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

Sementara itu, Edry pula menafikan dia mengherdik Che Ta seperti yang diperkatakan, sebaliknya sekadar memberi teguran kerana rasa tidak puas hati dengan komen yang diberikan.

Malah Edry juga berasa tidak menyesal dengan tindakannya menegur aktres itu.

"Sudah lama saya perhati komen yang dia beri terhadap pelajar-pelajar dan ia tidak sesuai. Pada konsert Ahad lalu, saya dah tidak boleh sabar lagi lalu terus menegur dia di belakang tabir.

"Mungkin dia tidak tahu bahawa pendapat yang dia beri tidak sesuai untuk program tersebut. Sebagai pengetua, saya berhak menegur pengkritik kerana mereka pun tidak terlepas daripada ditegur.

"Bagaimanapun saya tidak mengherdik dia seperti yang diperkatan dan pada masa sama saya tidak menyesal dengan tindakan menegurnya ketika itu," ujar Edry.

Dalam pada itu, kata Edry, teguran itu dilakukan secara profesional dan dia tidak mempunyai masalah peribadi.

"Saya tidak ada masalah dengan dia secara peribadi. Sekiranya kami berjumpa di majlis atau di mana-mana, saya boleh duduk semeja dengannya.

"Cuma mungkin kami tidak sesuai bekerjasama dalam sesebuah program berkaitan muzik," tuturnya.


Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad.

Hormat Permintaan Che Ta, Astro Akan Cari Pengganti

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad, berkata, pihaknya telah menerima pengunduran Rozita dan menghormati keputusan tersebut.

Katanya, buat masa ini pihak Astro juga dalam proses untuk mencari pengganti sebagai pengkritik tetap program itu.

"Kami terima keputusan Rozita selepas konsert minggu lalu dan menghormati apa juga keputusan yang diambil.

"Sekarang kami sedang mencari pengganti tempatnya untuk minggu depan, ia memang agak sukar untuk cari artis yang setanding dengan Rozita terutama pada hari Ahad kerana kebanyakkan jadual artis penuh," ujarnya.

Ketika ditanya pandangannya tentang kritikan yang diberi oleh Rozita pada konsert tersebut, Raqim berpendapat, ia adalah perkara yang subjektif.

Katanya, setiap pendapat yang diberikan oleh setiap pengkritik adalah menerusi pandangan peribadi mereka untuk kebaikan pelajar-pelajar AF 2015.

"Bagi saya apa yang Rozita komen adalah mengikut pendapat dan pengalaman dia sebagai seorang artis. Kita tidak boleh pertikaikan komen tersebut kerana ia adalah subjektif," ujarnya.

Raqim berkata, pihaknya tidak mencampuri salah faham tersebut dan berharap ia dapat diselesaikan secara peribadi dengan baik.

"Ia hanya perselisihan pendapat antara dua individu dan saya rasa lebih wajar jika ia diselesaikan secara baik oleh kedua-dua belah pihak tanpa campur tangan Astro," katanya.

Previous Post Next Post