Menyanyi - Nina juga mempunyai bakat dan minat dalam bidang nyanyian. Dia pernah merakamkan dua buah lagu yang digunakan untuk runut drama bersiri Selipar Jepun Stiletto Merah dan filem Adik Abang.
LANDSKAP seninya dikatakan sering berubah-ubah sejak memahat niat untuk bergelar pelakon tiga tahun lalu. Kelibatnya dalam industri kadang- kala dipuji, ada masanya dikecam dek ketidakstabilan imej yang mendorong bermacam reaksi berbaur positif dan negatif dalam kalangan peminat terhadapnya.
Tidak mahu lagi dibebani kisah lama yang memberi banyak tekanan dan kealpaan kepada dirinya, pelakon jelita, Nina Iskandar menetapkan langkah berikutnya dalam hidup dengan memegang prinsip baharu. Dia berpegang kepada serius dan kejituan jiwa supaya tidak lagi mengulangi khilaf yang suatu ketika dahulu memercikkan dakwat hitam dalam kamus hidupnya.
Figura kelahiran negara Brunei itu juga menyatakan hasrat untuk memperbetulkan perjalanan kariernya yang dilihat semakin hari semakin menampakkan sinar cerah.
Nina kini memasang komitmen penuh untuk berjaya dalam seni lakonan dan mengurangkan sisi negatif yang menjadi cakap-cakap ramai sebelum ini.
Kata Nina, dia sedar akan kekurangan dan kesilapan yang lahir daripada perlakuan dirinya sebelum ini. Seiring dengan usianya yang sudah menginjak fasa 24 tahun, Nina optimis dan positif untuk mengayuh roda seninya dengan perancangan yang lebih bermutu dan matang.
“Sebenarnya, kalau boleh saya tidak mahu lagi perkara lama diungkit kembali. Biarlah ia menjadi sejarah yang menjadi pedoman dan teladan buat saya pada hari ini dan masa depan.
“Bagaimanapun, saya sedar bahawa segala apa yang berlaku sebelum ini berpunca daripada kemelut diri sendiri. Ketika itu, saya terlalu naif untuk memberi jawapan terbaik dalam setiap keputusan yang dilakukan,” ujar Nina yang tidak lagi mahu isu hijab dan putus tunang menjadi tajuk perbualan khalayak tentang dirinya.
Getus Nina, dirinya tidak akan pernah punya kuasa untuk menghentikan persepsi kurang manis orang ramai terhadap dirinya tetapi sekurang-kurangnya apa yang mampu dilakukannya adalah terus mencuba untuk menjadi individu lebih baik.
“Saya percaya orang akan mula berhenti bercakap apabila mereka sudah penat dan mula nampak perubahan seseorang yang berlandaskan nilai-nilai positif. Saya ingin pergi ke arah itu, sekali gus memberi definisi baharu dalam hidup saya sendiri, insya-Allah,” ujarnya.
Menyesal
Walaupun berhasrat melupakan kisah lama, Nina tidak dapat menafikan dalam hati kecilnya tersimpan ruang kecil kekesalan tentang perkara lalu yang banyak memberi pengajaran kepada dirinya hari ini.
“Sejujurnya, kontroversi yang hinggap ke atas diri saya sebelum ini sedikit sebanyak menyekat perjalanan seni saya untuk terus berkembang.
“Dalam erti kata lain, kalau saya lebih bijak mengatur liku-liku seni sebelum ini, saya yakin skrip dan senario seni saya hari ini akan jadi berbeza,” ujarnya bersungguh-sungguh.
Diusik tentang namanya yang dilihat masih lagi samar-samar berbanding rakan-rakan lain yang telah menginjak kanta populariti lebih daripadanya, Nina mempunyai tanggapan dan alasan tersendiri.
Bagi dirinya, bukanlah populariti yang dikejarnya selama ini. Tujuannya berkecimpung dalam industri adalah kerana minat yang mendalam dan serius untuk bergelar pelakon.
“Terus terang saya katakan, saya berlakon kerana percaya ia adalah perkara yang paling tepat yang perlu dilakukan dalam hidup.
“Saya tidak ambil peduli jika orang lain lebih popular daripada saya atau sebaliknya. Itu semua tidak penting. Apa yang penting adalah niat seseorang itu dalam melakukan sesuatu dalam hidupnya.
“Saya selalu tekankan dalam diri bahawa jika jujur dengan apa yang dilakukan, dengan izin-Nya, saya akan dikurniakan rezeki yang lebih berkat,” jelas Nina atau nama lengkapnya, Nur Akmalina Iskandar.
Biar merendah diri, nama Nina kini kembali hangat selepas Lari Mira yang diangkat daripada peristiwa tsunami di Aceh meletakkan dirinya sebagai watak utama mula diperkatakan.
Membawa karakter Mira, Nina melakonkan banyak babak aksi dan cemas bersama dua lagi gandingan pelakon baharu iaitu Erlando Saputra (Indonesia) dan Nazrief Nazri (Malaysia) menerusi naskhah yang sedang hangat ditayangkan dalam slot Lestary di TV3 itu.
“Lari Mira adalah sebuah naskhah yang hebat buat saya. Saya bersyukur kerana diberi peluang terbabit dalam naskhah seumpama ini, sementelah selain menggabungkan pelakon dari tiga buah negara (Malaysia, Indonesia dan Brunei), naskhah ini menyelitkan banyak teladan untuk semua,” ujar Nina mengenai drama rantaian 13 episod itu.
Kerjaya, cinta
Berbicara lanjut mengenai kerjaya seninya sebagai seorang pelakon, Nina memberitahu, dia bersyukur kerana masih mendapat ruang dalam kancah lakonan, sekali gus memberi peluang untuk terus mengembangkan bakatnya di negara ini.
Akuinya, walaupun sedikit asing melihat pelakon dari negara kelahirannya iaitu Brunei untuk mencuba nasib di Malaysia, Nina tidak mahu persepsi klise orang ramai menetapkan arah tuju hidupnya.
“Saya tidak larat untuk terus memuaskan hati semua orang. Bagi saya, apa yang dilakukan dalam hidup, biarlah saya sendiri tanggung segala risikonya.
“Banyak pengorbanan yang saya telah lakukan untuk mengejar cita-cita sebagai pelakon. Saya sanggup tinggalkan pelajaran (di kolej) semata-mata untuk menghidupkan misi dalam bidang lakonan.
“Pasti ramai yang akan mempersoal mengapa harus seseorang itu korbankan pelajaran hanya untuk menjadi selebriti. Saya lakukannya atas dasar minat dan minat inilah yang menjadi punca rezeki saya sehingga ke hari ini,” tegasnya yang pernah mengambil jurusan pengurusan perniagaan di sebuah kolej di Brunei, namun memilih berhenti kerana mengejar impian dalam bidang lakonan.
Diasak soal cinta, Nina tersenyum sinis memberi tanda dia kini bebas daripada ikatan mana-mana jejaka serta bersikap terbuka untuk bersahabat dengan sesiapa. Syaratnya, perhubungan yang terjalin dengan lelaki baharu itu kelak tidak akan membuat fokusnya terhadap kerja terganggu.
Sesekali mengungkit kisah putus tunangnya dengan ahli perniagaan, Ahmed Haiqal, 31, raut wajah Nina berubah lantas melahirkan kata-kata berbunyi:
“Apa yang sudah berlaku pada hari lepas, biarlah berlalu. Saya kini sudah besar panjang untuk menentukan jalan hidup saya.
“Saya yakin ada rezeki dan jodoh lain untuk saya. Saya mendoakan yang baik-baik untuk dia dan berharap dia berbuat demikian untuk saya.”
Sendiri
Dalam pada itu, Nina juga mendedahkan, dia lebih gemar menghabiskan masa bersendirian kerana itu merupakan masa terbaik untuknya muhasabah diri agar menjadi orang yang lebih baik pada masa hadapan.
“Adakalanya saya berasa sangat tertekan dengan hidup. Apa yang saya akan lakukan adalah menyendiri dan cuba memikirkan jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah.
“Kalau keluar lepak pun dengan rakan-rakan yang betul-betul rapat dan kenal siapa diri saya,” ujarnya.
Enggan mahu dilabelkan sebagai sombong kerana tidak bercampur dengan rakan-rakan artis yang lain, Nina mempertahankan prinsipnya bahawa hubungan antara dia dan rakan artis lain hanya berlaku di set penggambaran sahaja.
“Tidak kira jantina lelaki atau perempuan. Saya tidak mahu disalah erti kerana terlalu rapat dengan seseorang. Biarlah orang mahu cakap apa tentang diri ini, yang penting saya tahu apa yang saya lakukan.
“Saya bukan sombong, cuma berhati-hati dalam berkawan. Zaman sekarang semua perkara senang tersebar dengan adanya bermacam jenis media sosial. Jadi, saya tidak mahu perkara lama berulang kembali,” katanya penuh makna.