Kolaborasi Biasa Zahid, Viral menjadi


ZAHID menyifatkan lagu Biasa kolaborasi bersama kumpulan Viral sebagai kemunculan semula dirinya yang berbaloi kerana menerima sambutan hangat.

SUATU ketika dahulu, namanya begitu mekar dalam industri muzik tanah air apabila dinobatkan sebagai juara program realiti televisyen popular, Akademi Fantasia (AF) musim kedua. Sejak memenangi gelaran tersebut, Zahid dilihat antara penyanyi serba boleh yang bakal bertahan dalam jangka masa panjang.

Berubah arah daripada penyanyi kepada seorang penyampai radio beberapa tahun lalu, kelibat Zahid atau nama sebenarnya, Ahmad Zahid Baharuddin, 35, sebagai penyanyi tidak lagi menjadi topik perbualan ramai.Perlahan-lahan peminat mula lupa bahawa pelantun lagu Milikku itu mula bertapak dalam industri sebagai seorang penyanyi.

Barangkali, tanggungjawabnya sebagai bapa kepada Zareef Nufael yang kini mencecah usia 10 bulan juga membataskan perjalanan seninya sebagai seorang penyanyi.

Sekitar April lalu, dia memberitahu bahawa dirinya telah menamatkan kontraknya selepas empat tahun bergelar penyampai radio Era FM kerana mahu menumpukan perhatian kepada bidang nyanyian dengan kemunculan single baharunya berjudul Biasa.

Lagu duet dengan kumpulan baharu, Viral itu mendapat tempat di hati peminat serta mendaki carta di corong radio tempatan. Ia sekali gus membuktikan kemunculan Zahid sebagai penyanyi masih lagi ditagih peminatnya.

Apa yang membanggakan juga, gabungan pertama kali Zahid dan Viral menjadi. Biasa kini merupakan lagu paling hit di Malaysia.

Zahid bercakap tentang hala tuju muziknya selain kegembiraan memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan ayah kepada seorang cahaya mata.


Artis Meletop!: Apa khabar Zahid? Bagaimana dengan kehidupan sekarang?

ZAHID: Alhamdulillah, saya sihat walafiat. Kehidupan semakin baik hari demi hari. Keluarga juga berada dalam keadaan baik.

Bercakap soal menyanyi, adakah kemunculan kali ini boleh dianggap serius?

Ya, saya memang rindukan kerjaya sebagai seorang penyanyi terutama selepas berhenti menjadi penyampai radio. Setakat ini, kemunculan semula saya diterima baik oleh ramai. Walaupun mungkin ada yang sudah mula lupa bahawa Zahid merupakan seorang penyanyi, saya tetap bersemangat untuk membuktikan kepada mereka yang saya masih di sini dan akan terus berjuang.

Bercakap soal kolaborasi dengan kumpulan Viral menerusi single Biasa, bagaimana terlintas idea untuk lahir dengan karya tersebut?

Sebenarnya, terus terang dikatakan saya memang tidak kenal siapa Viral sebelum ini (ketawa). DJ Fuzz orang yang bertanggungjawab memperkenalkan kami. Saya pula memang tiada masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa pun termasuklah orang baharu dalam industri. Alhamdulillah, saya rasa lagu Biasa memang satu lagu yang berkesan untuk memberi ingatan semula kepada peminat tentang keberadaan saya dalam industri sebagai seorang penyanyi.

Anda kini sudah berkeluarga dan mempunyai seorang anak. Bagaimana anda membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya?

Saya banyak belajar perkara baharu sejak kehadiran ‘orang ketiga’ dalam kehidupan saya dan isteri. Kehidupan kini semestinya semakin meriah dan lebih bermakna.

Zareef Nufael semakin hari membesar dan saya berasa tanggungjawab sebagai bapa juga semakin berat. Itu yang membuatkan saya terus menggerakkan kerjaya sebagai anak seni. Dari segi masa, setakat ini tiada masalah dan saya boleh mengaturnya dengan baik.

Bercakap soal anak, mungkin ada perancangan untuk tambah bilangan ahli keluarga lagi?

Buat masa ini belum ada apa-apa perancangan lagi (ketawa). Tapi memang kalau boleh saya mahu tambah bilangan anak. Kalau boleh sampai empat orang sama seperti bilangan adik-beradik saya.

Bercakap soal kerjaya sebagai penyanyi, ada perancangan untuk menghasilkan album studio?

Ya, saya kini di bawah pengurusan Suria Records dan sekarang dalam perancangan untuk menghasilkan album mini yang bakal memuatkan lima buah lagu. Insya-Allah, tahun depan ia mungkin menjadi kenyataan tetapi buat masa sekarang, fokus saya untuk menghasilkan single kedua.

Sebagai seorang senior AF, bagaimana anda melihat bakat baharu dalam program realiti tersebut hari ini?

Apa yang boleh saya katakan, survival seseorang penyanyi itu bergantung kepada usaha dan nasib. Kalau ada usaha dan bernasib baik, mungkin mereka akan kekal relevan untuk tempoh yang lama.

Saya mengambil contoh produk-produk AF seperti Hafiz. Stacy dan Akim yang masih lagi mampu bertahan sehingga ke hari ini.

Selain menyanyi, apa lagi yang menjadi fokus anda sekarang?

Buat masa ini, apa yang boleh dijanjikan adalah kemunculan saya sebagai penyanyi. Namun, saya tidak menolak untuk terbabit dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

Kalau ada rezeki dan saya juga mempunyai masa untuk melibatkan diri dalam lakonan mahupun pengacaraan, ia akan dipertimbangkan.

Previous Post Next Post