Zara Zya bersama produk perawatan wajah menerusi jenama Miss Zara Beauty.
MESKIPUN perniagaan tudung yang diusahakannya kurang mendapat sambutan, itu bukanlah penghalang besar buat aktres Zara Zya menceburkan diri dalam bidang perniagaan yang lain.
Buktinya, pelakon yang mencipta nama melalui drama bersiri Love You Mr Arrogant itu kini memilih produk perawatan wajah sebagai bisnes terbaharunya.
"Saya tak kecewa apabila bisnes tudung saya kurang mendapat sambutan kerana ketika itu saya hanya mencuba untuk ‘test market’. Jelas, saya tiada rezeki dalam bisnes itu, jadi saya perlu memperlahankannya.
"Itu adalah perkara biasa dalam menjalankan bisnes. Apa yang penting, kita perlu berani mencuba.
"Kali ini, saya memilih produk perawatan wajah menerusi jenama Miss Zara Beauty untuk dicuba oleh peminat," katanya ketika ditemui Zass.
Ketika ditanya apakah keistimewaan Miss Zara Beauty, pelakon berusia 30 tahun itu menjelaskan produk kecantikan miliknya itu dibuat khas bagi mereka yang mempunyai masalah kulit sensitif selain harga yang ditawarkan cukup berpatutan.
"Saya pilih produk yang sesuai dengan kulit sensitif memandangkan saya juga punyai masalah sama.
"Kulit wajah saya mudah berjerawat jika produk yang digunakan tidak bersesuaian.
"Kandungan bahan kimia dalam produk ini sangat rendah, bahkan ia dihasilkan selepas hampir setahun melakukan kajian dan penyelidikan bagi memastikan produk ini berkualiti dan selamat.
"Malah, saya turut memakainya sendiri selama beberapa bulan sebelum ia dipasarkan," katanya.
Begitu pun, Zara masih belum berkesempatan untuk melancarkan produknya secara rasmi namun peminat boleh mendapatkannya menerusi laman sosial miliknya.
"Buat masa ini, saya hanya menjualnya melalui online di Instagram saya.
"Sebagai pengenalan, Miss Zara Beauty mempunyai pembersih, penyegar dan juga krim siang serta malam.
"Mungkin dalam sedikit masa lagi, saya akan memperkenalkan bedak asas pula," katanya.
Dalam perkembangan lain, Zara kini sedang menjalani penggambaran untuk dua telefilem yang bakal bersiaran di RTM dan juga TV9.