Acong amat terkesan dengan kisah menyayat hati seorang kanak-kanak yang mengusap skrin televisyen kerana disangka sebagai arwah bapanya yang bernama Zainal Halimi.
kisah seorang kanak-kanak berusia dua tahun bernama Irfan menyangka Acong Sweet Child sebagai arwah bapanya yang menjadi perhatian peminat di laman sosial baru-baru ini sungguh menyayat hati.
Lebih menyentuh perasaan, kanak-kanak tersebut dikatakan mengusap skrin televisyen ketika penyanyi lagu Tinggal Sayang Tinggallah Pujaan itu sedang melakukan persembahan pada konsert minggu pertama Gegar Vaganza musim kedua kerana terlalu rindukan arwah bapanya yang meninggal dunia tahun lalu.
Kosmo! sempat menghubungi Acong atau nama sebenarnya, Ahmad Fauzi Manan, 39, untuk bertanyakan reaksinya tentang perkara tersebut.
Penyanyi itu yang dikatakan mempunyai wajah mirip arwah bapa kanak-kanak terbabit menyatakan hasratnya untuk menemui Irfan, sekali gus mengubat kerinduan kanak-kanak tersebut terhadap arwah bapanya yang telah meninggal dunia.
Artis Meletop!: Bagaimanakah perasaan Acong selepas mengetahui cerita seorang kanak-kanak yang menyangka anda sebagai arwah bapanya?
ACONG: Ya, saya sedia maklum tentang perkara tersebut. Saya berasa tersentuh dan kasihan dengan nasib kanak-kanak itu. Saya harap dia tabah dan membesar menjadi individu yang berguna pada masa depan. Insya-Allah.
Adakah anda terkejut apabila wajah anda dikatakan mirip arwah bapa kanak-kanak itu?
Sewaktu diberitahu, sememangnya saya terkejut kerana difahamkan kanak-kanak tersebut mengusap skrin televisyen sewaktu saya menyanyi akibat menyangka saya adalah arwah bapanya. Sampai begitu sekali kerinduan dia terhadap arwah bapanya. Saya begitu kasihan dengan nasib yang menimpanya.
STATUS Facebook yang dimuat naik ibu saudara Irfan mendapat perhatian ramai peminat terutama peminat program Gegar Vaganza.
Setakat ini, ada perancangan untuk berjumpa dengan kanak-kanak tersebut?
Saya memang ada tergerak hati untuk berjumpa dengan kanak-kanak itu. Insya-Allah, kalau ada rezeki dan kelapangan saya ingin sekali berjumpa dengannya. Saya berharap kehadiran saya nanti sedikit sebanyak akan menggembirakan dan mengubati kerinduan dia terhadap arwah bapanya.
Barangkali anda berniat untuk menjadikan kanak-kanak tersebut sebagai anak angkat?
Sehingga hari ini, belum lagi sampai ke tahap itu kerana saya pun belum berpeluang berjumpa dengannya.
Adakah kisah kanak-kanak itu memberi inspirasi untuk anda melakukan yang terbaik dalam program Gegar Vaganza?
Sedikit sebanyak, ya. Insya-Allah, saya akan melakukan yang terbaik dalam Gegar Vaganza dan kerjaya seni saya.
Bagaimanakah pula dengan perkembangan seni lain?
Buat masa ini, saya fokus dalam program Gegar Vaganza musim kedua sahaja. Insya-Allah, selepas tamat program berkenaan, saya akan kembali aktif dalam lakonan dan nyanyian.