Carta karier, peribadi Ezzaty Abdullah



MENJALANI sesi fotografi bersama pelakon genit, Ezzaty Abdullah di Studio Utusan baru-baru ini cukup menyenangkan. Sikapnya yang ramah dan mesra kamera memudahkan urusan fotografi dijalankan dengan lancar.

Sifat ramah dan bibir yang tidak pernah lekang melemparkan senyum menerbitkan aura positif buat jurugambar Fatah Sulaiman beraksi sepanjang proses pemotretan berlangsung.

Jika dahulu, sebaris nama Ezzaty Abdullah hanya melintas sepintas lalu dalam rakaman minda peminat hiburan, namun kini putaran hidup gadis berasal dari Bentong, Pahang itu berubah sedikit demi sedikit.

Bercerita mengenai kelangsungan kariernya, Ezzaty sedang menunggu tayangan filem lakonannya berjudul Mirip yang akan ditayangkan pada awal bulan November ini.

Berkongsi cerita, dia melampiaskan keterujaan berlakon dalam filem yang mengandungi unsur Bollywood itu kerana menyifatkan genre yang diketengahkan begitu dekat dengan minatnya yang mendalam terhadap filem bergenre sebegitu.



“Dalam Mirip saya memegang watak Aisyah, seorang gadis kampung yang lemah lembut, manja dan seorang kawan yang suka memberi galakan. Sewaktu menerima tawaran filem ini, saya sangat teruja menanti hari penggambaran sebab ia memang lain daripada filem tempatan sedia ada. Malah, saya sendiri sangat sukakan filem Bollywood terutama membabitkan Kajol dan Datuk Shah Rukh Khan.

“Dalam naskhah ini ada unsur-unsur Bollywood, seperti menyanyi dan menari, jadi ia memberi satu pengalaman baharu kepada saya. Bayangkan, saya terpaksa menjalani penggambaran selama tiga hari berturut-turut untuk babak yang cuma dua minit sahaja ditayangkan dalam filem. Dari situ saya tahu, bikin filem Bollywood bukannya perkara yang mudah,” ceritanya penuh semangat.

Selain filem yang menyaksikan dia bekerjasama dengan Reen Rahim dan Fezrul Khan itu, masih ada baki beberapa buah filem lakonannya yang bakal ditayangkan tidak lama lagi iaitu Andai Itu Takdirnya, Anak Mami Nasi Kandaq dan Chowrasta.


BUAH HATI Hangat menyulam asmara bersama kekasih hati, Ezzaty bagaimanapun masih belum terbuka untuk bercerita tentang perancangan masa depannya dengan Azwan Kombos.

Mengulas mengenai perkembangan kariernya yang dilihat semakin rancak mencambahkan tunasnya, Ezzaty hanya tersenyum bahagia. Baginya, itu semua adalah berkat kesabaran yang ditunggu selama empat tahun sejak mula berjinak dalam lakonan.

Melihat kembali kepada portfolio seninya, pelakon yang popular menerusi drama Autumn Di Hatiku itu mula terjebak dalam dunia hiburan tanpa sengaja. Memulakan langkah sebagai anak seni sebagai watak tempelan, kini hampir empat tahun menyulam masa, namanya semakin dikenali dengan beberapa barisan drama popular seperti Delina, Epilog Cinta Kirana dan Cinta Agra.

“Kalau diikutkan dari awal, saya bermula sebagai model untuk pelbagai iklan komersial di televisyen. Pada waktu itu, saya masih bergelar pelajar dan tujuan utama bekerja sebagai model hanya untuk mendapatkan wang saku sendiri.

“Sehingga selepas tamat belajar, saya menerima tawaran berlakon drama Tanah Kubur arahan Rashid Sibir. Bermula dari situ, rezeki saya dalam bidang lakonan semakin mencurah-curah sampaikan terpaksa menolak tawaran bekerja di sebuah syarikat penerbitan majalah,” ujarnya sambil ketawa mengenang kisah lalu.

Bagi Ezzaty sendiri, biarpun bidang lakonan bukanlah pilihan pertama dalam hidupnya, namun rezeki terpijak itu sebenarnya tetap memberi cabaran.

Masakan tidak, sewaktu mula menjinakkan diri sebagai pelakon, hasrat itu dihalang oleh keluarga kerana risau dia akan terdedah dengan kontroversi dunia seni.

Apatah lagi, tanggapan dunia lakonan tidak mampu memberi jaminan masa depan cerah membuatkan dia nekad untuk membuktikan perkara itu sama sekali salah.

“Pada awalnya, keluarga sangat risau sebab mereka fikir dunia seni tiada kawalan dan mudah terdedah kepada gosip panas dan liar. Tambahan pula, perspektif ibu yang melihat dunia lakonan tidak menjamin masa depan membuatkan saya berkobar-kobar untuk membuktikan kepada mereka bahawa saya juga boleh berjaya walaupun menjadi pelakon,” ujar pelakon Hello Mr. Perfect itu optimis.

Cinta

Umum sedia maklum mengenai kisah percintaannya dengan pelakon lelaki yang kian meningkat naik, Azwan Kombos sejak tahun ini. Mereka antara pasangan pelakon yang sedang hangat menyulam cinta tanpa berselindung.


PUBLISITI Mengambil masa empat tahun untuk dikenali peminat tidak menimbulkan rasa putus asa dalam jiwa gadis berusia 25 tahun ini.

Namun, dalam keterbukaannya menayang kisah cinta kepada umum, Ezzaty sedar batas yang perlu ditetapkan dalam sesebuah perhubungan. Lebih-lebih lagi profil sebagai pelakon membuatkan pasangan itu sering terdedah kepada ancaman kontroversi dan tanggapan negatif daripada peminat.

“Sebenarnya kalau dilihat betul-betul, saya tidaklah terlalu terbuka berkongsi gambar kami berdua di Instagram. Sebagai artis, saya tahu batas-batas yang perlu dihadkan untuk dikongsikan kepada umum.

“Mungkin orang lihat kami selalu bersama sebab berada dalam lingkungan kerjaya yang sama tetapi selagi belum terikat dengan apa-apa ikatan, kami tahu menjaga diri,” jelasnya.

Ditanya tentang perancangannya melangkah ke fasa halal bersama kekasih hati, Ezzaty hanya tersenyum malu. Baginya, masih terlalu awal dia memikirkan soal itu, sementelah masih banyak perkara yang perlu difikirkan sebelum memutuskan untuk bertukar status.

“Saya tidak nafikan, tahun ini perjalanan karier saya berjalan dengan sempurna. Banyak tawaran lakonan, baik untuk drama mahupun filem datang tanpa putus. Ini dinamakan rezeki pada waktu muda.

“Disebabkan itu, saya mahu fokus kepada kerjaya terlebih dahulu. Biarlah saya bina nama dan kukuhkan karier dalam industri sebelum memikirkan soal hidup berdua. Begitu juga dengan Azwan yang sekarang masih berhempas-pulas mengumpul aset. Insya-Allah, kalau tiba jodoh kami semuanya akan dipermudahkan kelak,” ujarnya penuh harapan.

Previous Post Next Post