Inul Daratista mohon maaf tragedi pusat karaoke



Tidak sampai sebulan pusat karaoke milik Ahmad Dhani di Gedung Sarinah, Jakarta terbakar, kini dunia hiburan Indonesia dikejutkan dengan satu lagi kebakaran berkaitan pusat karaoke milik selebriti.

Kali ini, ia kepunyaan penyanyi dangdut, Inul Daratista. Lebih menyayat hati, tragedi tersebut telah mengorbankan sebanyak 12 nyawa yang panik sewaktu kebakaran berlaku.

Pusat karaoke yang diberi nama Inul Vizta di Mega Megamas, Manado, Sulawesi Utara tersebut terbakar sewaktu ia padat dengan pengunjung. Selain 12 maut, 71 pengunjung lain yang sedang leka berhibur sewaktu kejadian berlaku mengalami kecederaan.


Terkejut dengan musibah tersebut, Inul menulis salam takziah dan belasungkawa menerusi akaun Instagramnya.

“Ini merupakan kejadian pertama sepanjang saya berniaga selama 10 tahun. Biar begitu sukar, namun ini adalah jalan yang telah ditetapkan. Ia sebagai peringatan yang baik buat saya pada masa hadapan.

“Sebagai Pengarah Urusan Inul Vizta, saya memohon maaf dan salam belasungkawa atas semua korban. Semoga dibukakan pintu maaf buat saya,” tulisnya.

Inul juga meminta maaf kepada pihak media kerana masih belum dapat dihubungi. Katanya: “Maaf buat semua media kerana saya belum bersedia untuk ditemu bual. Kita beri laluan kepada siasatan terlebih dahulu.”

Previous Post Next Post