Selektif cara Anuar Zain


MENGAKUI tiada masalah membawakan lagu orang lain, namun Anuar Zain tetap khuatir jika dibandingkan dengan penyanyi asal.

KELANGSUNGAN karier penyanyi bersuara lunak, Anuar Zain masih berada pada titian yang selesa. Meskipun mungkin ramai yang menyedari bahawa wajah figura itu agak jarang terpampang

di mana-mana jaringan media dengan cerita kontroversi, namun Anuar tetap laris.

Seperti perumpamaan diam-diam ubi berisi, begitulah jalur karier Anuar hari ini. Apa yang pasti, penyanyi berusia 45 tahun itu masih giat aktif dengan persembahan berskala eksklusif.

Pada masa sama, selain sibuk memenuhi undangan persembahan, beliau juga sedang bekerja keras dalam pembikinan album baharu. Kali terakhir muncul dengan album studio ialah pada tahun 2011, Anuar Zain.

“Kalau ikut perancangan sebenar, penghujung tahun ini album tersebut sudah siap tetapi disebabkan terikat dengan banyak komitmen lain, jadi ia terpaksa ditangguhkan.

“Sehingga sekarang, hanya sebuah lagu yang sempat dirakam. Selebihnya, saya masih dalam proses pemilihan sebab mahu kesemua lagu sesuai dengan konsep album.


“Namun, apa yang paling penting ialah saya mahu album baharu ini memberi kepuasan kepada peminat dan juga diri sendiri,” ujarnya.

Mengulas mengenai pembikinan albumnya yang mengambil masa agak lama untuk disiapkan, Anuar ditebak adakah kerana beliau terlalu selektif dalam memilih lagu atau penggubah yang menghasilkan lagu-lagunya.


BERADA pada kelas tersendiri, penyanyi ini terbuka dalam soal kerjaya. Baginya, beliau tiada masalah untuk bekerjasama atau menerima lagu daripada komposer muda.

Jelas Anuar: “Perkara berkenaan bukan halangan kepada pembikinan album saya. Cuma seperti dikatakan tadi, kekangan masa dan komitmen membuatkan album tersebut sukar disiapkan mengikut pelan asal.

“Kalau ditanya saya mengenai kerjasama dengan komposer, saya tidak meletakkan syarat atau had umur buat mereka. Muda atau tua, baharu atau lama dan banyak pengalaman atau kurang, saya terima seadanya. Asalkan kualiti lagu yang dihasilkan itu sesuai dan menepati cita rasa saya.”

Bercakap tentang projek terkininya, beliau terlibat dalam persembahan Konsert Ku Mohon pada 31 Oktober ini bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Menerusi konsert tersebut, pelantun lagu Bila Resah itu akan menyampaikan sebanyak tiga buah lagu iaitu Ajari Aku, Ketulusan Hati dan sebuah lagu milik kumpulan Ungu, Bila Tiba.

Mengulas mengenai pemilihan lagu, Anuar berkata, dua lagu popularnya dipilih oleh pihak penganjur, manakala lagu Bila Tiba pula merupakan permintaan daripada pengarah konsert itu sendiri, Erma Fatima.

“Sejujurnya saya tidak kisah untuk membawa lagu orang lain tetapi dalam hati terbit juga perasaan galau memikirkan adakah persembahan saya nanti betul-betul sampai kepada penonton atau tidak,” ujarnya sambil tersenyum.

“Pada masa yang sama, saya tetap bimbang penonton akan membanding-bandingkan nyanyian saya dengan penyanyi asal. Lain orang lain penerimaannya.

“Ini bermakna bukan saya takut untuk menyanyikan lagu orang, cuma penerimaan penonton itu sahaja membuatkan saya begitu mengambil berat akan perkara ini,” jelasnya.

Previous Post Next Post