FESYEN - Pernah meminati pakaian dan aksesori berjenama pereka terkenal, Idris kini lebih selesa tampil kasual dengan stail fesyen yang minimalis dan maskulin.
SOSOK tubuh jejaka berketinggian 185 sentimeter itu ligat memberikan gaya yang berbeza setiap kali pengatup kamera milik jurufoto Mohd. Farizwan Hasbullah diketik. Sesekali, jejaka itu mengubah posisinya agar hasil akhir gambar yang dirakam tidak kelihatan hambar dengan tata gaya yang berulang.
Masih seperti dahulu, tiada apa yang berubah pada empunya nama Idris Khan Abdul Ghaffar Khan itu. Walaupun kini bergelar pelakon, aura seorang peragawan yang dahulunya rancak menghiasi pentas peragaan dan majalah fesyen tempatan masih jelas terpancar dari dalam dirinya.
“Saya suka berlakon. Tetapi, saya tidak akan meninggalkan bidang peragaan yang telah lama saya ceburi,” tutur Idris membuka bicara usai sesi fotografi yang dijalankan di Utusan Malaysia, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini,
Akui Idris, beberapa tawaran lakonan pernah singgah kepadanya sewaktu dia masih aktif bergelar peragawan sekitar lapan tahun lalu. Namun, disebabkan kurang berminat dan mahu memberi fokus terhadap kariernya sebagai seorang model, tawaran tersebut terpaksa ditolak.
“Pada awal pembabitan saya sebagai seorang model, ada beberapa tawaran lakonan yang terpaksa ditolak.
“Bukan tidak mahu mencuba, tetapi saya masih kurang yakin dengan keupayaan diri. Lagipun, rasa minat untuk berlakon masih belum bercambah,” ujarnya.
Namun, pada usia yang kini menginjak ke angka 27, Idris mula memandang tawaran yang diberikan kepadanya sebagai peluang untuk melebarkan sayap dalam bidang seni.
“Lakonan dan peragaan berada dalam satu industri yang sama. Jadi, ia bukanlah dua perkara yang asing bagi saya.
“Justeru, apabila pengarah Suhaimi Lua menawarkan watak dalam drama bersiri Puteri Gunung Ledang, saya terus memberikan persetujuan,” ujarnya yang kini semakin serius dalam memacu karier sebagai seorang pelakon.
Disoal mengenai kesediaannya untuk bergelar anak seni, Idris memberitahu, tidak ada kejayaan yang datang tanpa usaha keras dan matlamat kukuh.
“Saya memasang dua matlamat yang berbeza apabila mengambil keputusan untuk menceburi bidang lakonan.
“Matlamat utama saya adalah untuk menjadi seorang pelakon yang dikenali. Dalam masa yang sama, saya mahu memperbaiki diri setiap kali muncul dengan watak dan naskhah baharu.
“Dari situ, baru saya dapat menganalisis tahap bakat dan kemampuan dalam bidang lakonan,” tegasnya jujur.
Belajar sendiri
Berbicara lanjut mengenai karier baharunya, Idris memberitahu, dia pernah bercadang untuk mengikuti kelas bagi memantapkan kemahiran dalam bidang lakonan.
Namun, selepas bertemu dengan pelakon-pelakon yang lebih senior, Idris membatalkan hasrat tersebut kerana percaya kemahiran dapat diasah menerusi setiap naskhah yang dijayakan.
“Mereka menasihati saya supaya belajar dengan diri sendiri setiap kali mencuba watak baharu.
“Menerusi cara itu, saya akan lebih mengetahui tahap dan kemampuan sebagai seorang pelakon,” tuturnya.
Tambah Idris, pelakon Remy Ishak merupakan antara sahabatnya yang banyak memberikan tunjuk ajar, lebih-lebih dari segi teknik penjiwaan sesuatu watak.
“Remy tidak pernah lokek dalam berkongsi ilmu. Dia banyak mengajar saya mengenai keberkesanan lakonan dan rujukan yang perlu dibuat setiap kali menerima watak baharu,” katanya lagi.
Hak privasi
Bagaikan sudah menjadi lumrah, hak privasi seorang artis itu pasti tergugat ketika nama digalas meniti puncak kejayaan.
Sementelah, kehadiran pelbagai laman sosial pula dilihat mencetuskan radang dalam kalangan khalayak yang gemar menghamburkan kritikan secara bebas.
Begitupun, menurut Idris, tidak semua perkara perlu dikongsi seterusnya menjadi tatapan khalayak umum. Lebih-lebih lagi jika ia berkaitan dengan kisah peribadi.
“Saya sedar, selebriti adalah milik masyarakat. Adakalanya, peminat yang menentukan apa yang perlu dilakukan oleh artis pujaan mereka.
“Saya sentiasa terbuka dengan sebarang kritikan. Jika apa yang diperkatakan itu positif, saya ambil dan jadikannya sebagai percubaan untuk mengubah diri,” katanya.
Merujuk kepada desas-desus kewujudan video seks bersama dua lagi rakan artis, Atikah Suhaime dan Ammar Alfian yang hangat diperkatakan, Idris tidak mahu melenting menangani kontroversi tersebut.
“Saya harus bijak menangani perkara tersebut agar sebarang kenyataan daripada mulut saya tidak memburukkan keadaan,” tegasnya yang masih mencari ruang untuk diberi peluang melebarkan saya dalam bidang lakonan.
Penjagaan kesihatan
Jika diteliti rangkaian gambar yang dimuat naik oleh Idris menerusi akaun Instagramnya, pasti ramai yang berpeluang melihat rutin senaman yang selalu diamalkan oleh pelakon itu.
Mengakui mengambil berat tentang penjagaan kesihatan, Idris memberitahu, setiap pelakon lelaki perlu memiliki tubuh badan yang ramping, lebih-lebih lagi jika membawa watak utama dalam sesebuah drama mahupun filem.
“Pelakon lelaki tidak mempunyai banyak pilihan untuk melaram seperti pelakon wanita. Bagi saya, cukup dengan tubuh badan yang langsing, pelakon lelaki pasti akan tampak menarik untuk berada di depan layar kaca atau perak,” katanya.
Selari dengan rutinnya itu, Idris menyalurkan minat dalam bidang penjagaan kesihatan fizikal dan diet menerusi pembukaan restoran makanan kesihatan, Eatwithmune.
Menampilkan pelbagai sajian yang dimasak secara sihat, Idris melihat pembukaan restoran tersebut sebagai satu lembaran baharu untuk mendidik rakyat Malaysia dalam mengutamakan gaya hidup yang lebih berkualiti.