Nora Danish, Hati saya hanya untuk Nedim


NORA dan Nedim pernah bercinta selama tiga tahun.

Bercinta sudah lama, berkasih dan bermesra. Sedang enak membuai rasa, perpisahan tercipta.

Bait-bait lagu Ku Pendam Sebuah Luka nyanyian Datuk Khatijah Ibrahim itu cukup terkesan di jiwa pelakon cantik, Nora Danish, 33, apabila bercerita tentang kisah cintanya dengan Nedim Datuk Seri Mohd. Nazri,34, yang sudah terputus sejak beberapa bulan lalu.

Di sebalik perpisahan mengejut itu, ternyata masih berbekas rasa sayang di hati mereka lewat pertemuan tidak dijangka sewaktu sama-sama bercuti di Bali awal bulan ini mengimbau kembali memori kemanisan ketika bersama.

Setelah banyak spekulasi dan teka-teki status hubungan mereka diperkatakan ramai, Nora akhirnya tampil memberi penjelasan ketika hadir pada majlis sidang akhbar teater muzikal Mak Cun di Istana Budaya, baru-baru ini.


Artis Meletop!: Boleh Nora beritahu, adakah anda dan Nedim sudah kembali bersama sebagai kekasih?

NORA: Tidak, kami memang sudah berpisah, namun hubungan baik sebagai sahabat masih dikekalkan. Saya dan Nedim mengambil keputusan membawa haluan sendiri bukan kerana saling membenci tetapi kerana mahu meredakan keadaan.

Bagaimana pula dengan gambar percutian bersama di Bali baru-baru ini?

Sebenarnya, percutian itu dirancang oleh geng kami iaitu Dimorian Crew untuk menyambut hari jadi salah seorang rakan kami. Agenda itu dirancang selepas kami berpisah, namun secara kebetulan, saya dan Nedim berkongsi kawan-kawan yang sama. Tetapi, kami pergi secara berasingan, itu yang ingin saya tegaskan.

Apa yang cuba anda maksudkan dengan kenyataan bahawa kalian berdua tidak pernah membenci? Adakah masih ada cinta di hati?

Saya dengan Nedim telah bercinta selama tiga tahun, satu tempoh lama dan ia sebuah hubungan yang cukup manis. Kami berpisah bukan untuk mencari pengganti, itu sahaja yang boleh saya katakan.

Memandangkan anda kembali solo tanpa kekasih, pasti ramai lelaki cuba memikat anda?

Sudah dua bulan lebih saya solo sebelum kembali bertemu Nedim di Bali. Memang, ada yang mencuba nasib untuk berkenalan dengan saya, tetapi saya tidak terbuka hati untuk lelaki lain. Apabila bertemu semula dengan Nedim di Bali barulah saya tahu, hati saya hanya untuk dia.

Jadi sekarang, apa perancangan anda dengan Nedim?

Saya dengan dia sudah sepakat untuk kekal bersahabat baik dan jika hubungan kami menuju ke pintu perkahwinan, kami tidak menolak. Tambahan pula, punca permasalahan yang menjadi faktor perpisahan sementara kami baru-baru ini sudah hampir selesai.

Adakah anda mengambil pengajaran daripada perpisahan tersebut?

Ya, saya akan cuba mengurangkan aktiviti memuat naik gambar peribadi kerana tidak mahu orang di luar sana salah anggap. Biarlah saya berhubungan dalam diam, jangan terkejut tiba-tiba saya terus umumkan untuk berkahwin dengan Nedim (tertawa).

Previous Post Next Post