
Setiap insan yang dilahirkan di muka bumi ini ibarat sehelai kain putih. Ibu bapalah yang akan mencorak kain tersebut sama ada menjadi corak indah warna-warni atau sebaliknya. Walau bagaimanapun proses itu tidak semudah yang disangka. Manusia dilahirkan tidak sempurna dan sentiasa terdedah terhadap pelbagai dugaan. Jika tersalah langkah, kesalahan yang dilakukan tidak mampu dipadamkan, seperti kata pepatah, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna.
Namun, Ustaz Don Danial Don Biyajid atau lebih disenangi dengan panggilan Ustaz Don punya pendekatan berbeza. Dia percaya, setiap insan khususnya pesalah jenayah atau banduan di sebalik tirai besi, wajar mendapat sokongan masyarakat.
Peluang mengikuti rakaman program terbitan stesen TV AlHijrah dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Percetakan Nasional berjudul U-Turn: Mahalnya Sebuah Kesempatan di Kompleks Penjara Sungai Udang, Melaka baru-baru ini benar-benar membuka mata.
Bukan sahaja membantu mewujudkan kesedaran dan mengubah persepsi umum terhadap banduan di dalam penjara, program sedemikian juga mencerna akal bahawa, menjadi banduan tidak bermakna seseorang itu merupakan pendosa sepanjang hayat.
Kongsi Ustaz Don, program 13 episod tersebut bukan sahaja tertumpu kepada banduan di dalam penjara, malah fokus kepada masyarakat yang kebanyakannya mempunyai skeptikal terhadap bekas banduan.
"U-Turn merupakan sebuah program keinsafan supaya kedua-dua pihak iaitu banduan dan masyarakat boleh berbalik semula kepada ajaran agama dan Allah.
"Bila kita sebut u-turn atau membuat pusingan semula, ini bermakna kita kembali kepada jalan yang betul iaitu jalan mendekatkan diri kepada Allah," ujarnya.

PENGALAMAN:Program U-Turn: Mahalnya Sebuah Kesempatan bukanlah satu-satunya medan dakwah Ustaz Don Daniyal melibatkan banduan di dalam penjara.
Mahalnya sebuah kesempatan
Berserban tetapi masih segak dalam persalinan jubah kelabu lengkap berselempang, Ustaz Don menegaskan, banduan yang berada di dalam penjara perlu bersikap positif. Mereka perlu menjadikan hukuman kepada kesempatan, contohnya memperbanyakkan amalan ibadah semasa di dalam penjara.
"Apabila sudah masuk, kita tidak boleh pandang penjara ini tidak elok. Sebab sudah kena masuk, jadi pandangan yang sepatutnya ialah menjadikan penjara ini sebagai tempat untuk beribadah.
"Ketika berada di dalam penjara, banyak aktiviti yang kita boleh lakukan seperti bekerja di bengkel yang disediakan pihak penjara, solat dan mengaji. Penuhi masa dengan amalan beribadah merupakan antara kelakuan u-turn yang boleh dilakukan mereka," katanya.
Ustaz Don turut menasihatkan orang ramai agar tidak melabel banduan atau bekas banduan sebagai orang yang tidak berguna dan tiada masa depan.
"Objektif utama penerbitan rancangan ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat bahawa dunia penjara bukan sahaja berkisar tentang hukuman.
"Kalau masyarakat pandang orang yang masuk penjara sebagai pesalah atau jahat selamanya, jadi pandangan itu tidak betul. Allah mahu mereka (banduan) untuk patah balik," katanya.
Ditanya tentang cabaran yang dihadapi ketika berdakwah kepada golongan banduan, Ustaz Don memilih untuk mengenali lebih dekat setiap banduan dan sentiasa menggunakan pendekatan dan perkataan yang terbaik dalam ceramah.
"Banduan masuk penjara atas pelbagai kesalahan yang dilakukan.
"Namun, saya mesti memberitahu mereka bahawa saya tidak pernah duduk dalam penjara, jadi saya akan beritahu, saya tidak tahu bagaimana jalan hidup mereka dan bagaimana mereka boleh berada di dalam penjara.
"Kita nampak mereka sebagai banduan, tetapi kita tidak tahu apa kesalahan yang dilakukan mereka. Boleh jadi salah seorang daripada mereka dipenjarakan kerana kesalahan mencuri setin susu sahaja.
"Latar belakang mereka adalah berbeza, jadi kita tidak boleh beranggapan mereka semua sama. Kita tidak boleh pukul rata bahawa mereka semua orang yang tidak berguna," kata Ustaz Don.
Pemilihan topik ceramah juga amat penting untuk menimbulkan kesedaran dalam diri setiap banduan kerana kebanyakan daripada mereka sudah sedar tentang kesalahan yang telah dilakukan.
"Kita nak suruh mereka bertaubat tetapi kebanyakannya memang sudah taubat apabila disumbat ke dalam penjara, jadi apa yang perlu kita cakap pada mereka.
"Ini merupakan antara cabaran terbesar buat saya. Maka kita perlu mempunyai satu topik yang spesifik untuk membuat mereka faham bahawa kita cuba membantu dan bukan sebaliknya. Perlu berhati-hati dalam pemilihan kata, ibaratnya, saya berjalan di atas serpihan kaca, perlu mara setapak demi setapak," tambahnya yang turut dibantu seorang lagi penceramah, Ustaz Abdullah Bukhari sepanjang berdakwah dalam penjara.

PEMBIKINAN: Ustaz Don Daniyal ditemani penerbit program U-Turn: Mahalnya Sebuah Kesempatan, Almad Safuan Abd. Rashid.
Sistem parol
Sementara itu, Ustaz Don turut menerangkan mengenai sistem parol yang menjadi tarikan utama program tersebut. Topik itu akan dipaparkan kepada penonton menerusi tiga episod terakhir program U-Turn nanti.
"Sistem yang diperkenalkan KDN itu memberi satu cahaya baharu kepada banduan. Banduan yang berkelakuan baik sepanjang menjalani hukuman akan menerima pengampunan dan akan dibebaskan awal tetapi berada bawah pengawasan pengawal parol.
"Walau bagaimanapun, kumpulan sokongan dalam sistem tersebut perlu memainkan peranan. Jika gagal, bekas banduan berasa tersisih dan kembali ke kancah lama.
Disebabkan itu, masyarakat juga perlu mengubah persepsi lapuk yang memandang setiap bekas banduan sebagai teruk dan tidak layak diberi peluang.
"Mentaliti sebegitu memang wujud. Senario yang sepatutnya ialah kita perlu membantu banduan di luar sana, beri mereka peluang untuk memulakan hidup baharu. Bukannya menyisihkan mereka dan melabelkan mereka sebagai penjahat selamanya," tutup Ustaz Don.