Perkongsian rasa Altimet, Tomok



KOLABORASI - Altimet dan Tomok turut berlakon dalam klip video Aku Tahu yang dirakamkan di sekitar Pulau Pangkor, Perak beberapa bulan lalu.

SETIAP pemuzik pasti mempunyai inspirasi tersendiri dalam menghasilkan sesebuah karya. Menjadikan kisah benar sebagai tulang belakang penceritaan, karya yang diangkat pastinya memberi impak yang besar baik dari segi kualiti mahupun nilai sentimentalnya.

Itulah yang dipraktikan oleh penyanyi rap dan komposer, Altimet, sewaktu mencari ilham bagi menulis single terbaharunya berjudul Aku Tahu.

Menerusi single yang turut menampilkan penyanyi Tomok itu, Altimet atau nama lengkapnya Ahmad Abdul Rahman, 36, bercerita tentang kisah pengorbanan serta kasih sayang seorang bapa terhadap anaknya.

Kongsi Altimet, idea menulis keseluruhan lirik dan komposisi bagi Aku Tahu tercetus selepas ayahnya, Abdul Rahman Ali, 63, berpendapat bahawa karier sebagai pemuzik tidak mampu untuk memberi kesenangan dalam jangka masa panjang.

“Ayah saya merupakan seorang jurutera dan cara dia berfikir sama sahaja dengan ibu bapa Asia yang lain.

“Baginya, bidang kreatif bukanlah pekerjaan yang stabil dan mampu menjana pendapatan yang lumayan.

“Dia lebih cenderung jika saya bergelar doktor, peguam atau jurutera sepertinya,” ujar Altimet ketika ditemui pada majlis pelancaran klip video Aku Tahu di Menara Maxis, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Ego

Menurut pelantun lagu Kalau Aku Kaya Itu, ayahnya tidak pernah memberi sebarang kata putus mengenai kerjayanya sebagai seorang rapper.

Begitupun, ungkap Altimet, jauh di sudut hatinya, dia percaya bahawa ayahnya kini mengerti mengapa dia masih melekat dengan kerjaya sebagai seorang penyanyi dan pemuzik sehingga ke hari ini.

“Saya anggap penerimaannya terhadap karier nyanyian saya sebagai sebuah pendamaian dingin. Dahulu, dia berpendapat muzik tidak menjamin masa depan. Tetapi, saya telah membuktikan sebaliknya.

“Saya ego dan begitu juga dia. Mungkin saya mewarisi sifat itu daripadanya. Namun, suatu hari nanti, saya percaya kami akan duduk berdua dan bercakap mengenai perkara ini,” ujarnya.

Sebagai seorang bapa, Altimet menegaskan, dia tidak mempunyai sebarang halangan jika pada masa hadapan, dua orang anaknya juga mahu menceburi bidang muzik.

Bagaimanapun ia perlu berlandaskan satu syarat iaitu mereka didedahkan dengan pendidikan teori dalam setiap bidang yang dipilih.

“Saya tidak akan menghalang jika mereka mahu bergelar pemuzik. Namun, mereka harus bijak.

“Bidang muzik saya anggap sebagai industri kreatif. Industri itu merujuk kepada bisnes atau perniagaan dan kreatif itu seni.

“Jika mahu mengenali seni, mereka juga perlu tahu untuk berniaga melaluinya,” ujar Altimet panjang lebar.


Kolaborasi

Melanjutkan bicara mengenai lagu Aku Tahu, Altimet berkata, karya ciptaan Avex Yunus yang dimuatkan dalam album studio keduanya, Kotarayaku itu pada asalnya ditulis untuk album berjudul Jian.

Namun, atas sebab teknikal, album tersebut tidak dipasarkan dan lagu Aku Tahu telah diberi nafas baharu dengan menampilkan Tomok sebagai penyanyi pada bahagian korus.

“Lagu tersebut ditulis sekitar tahun 2009. Selepas album Jian tidak dipasarkan, saya mengambil keputusan untuk merakamkannya kembali dengan susunan muzik baharu.

“Jadi, saya dan pihak pengurusan bersetuju untuk mengundang Tomok bagi merakamkan lagu Aku Tahu versi baharu ini,” ujar Altimet yang begitu mengagumi vokal penyanyi yang pernah menjuarai pertandingan nyanyian One In A Million musim ketiga itu.

Dalam pada itu, menurut Tomok, dia bersetuju untuk berkolaborasi bersama Altimet selepas pertama kali mendengar versi asal Aku Tahu yang dikirimkan oleh pihak syarikat rakaman Monkey Bone.

“Selepas mendengarnya, saya terus bersetuju untuk merakamkan lagu tersebut.

“Bagi saya, Aku Tahu mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan tidak banyak lagu seperti ini dirakamkan oleh penyanyi di Malaysia.

“Lebih-lebih ia berkisar tentang hubungan antara seorang ayah dan anaknya. Jadi, sebagai seorang bapa kepada dua cahaya mata, saya berpendapat bahawa lagu ini begitu dekat dengan diri saya,” kata bapa kepada Arrian Shah, 3, dan Andrashah Iman, setahun itu.

Kongsi Tomok atau nama lengkapnya, Shah Indrawan Ismail, 31, banyak pengisian yang diterima daripada Altimet sepanjang proses rakaman vokal bagi lagu tersebut.

“Proses rakaman lagu Aku Tahu berjalan tanpa sebarang masalah. Walaupun vokal saya dirakam secara berasingan, namun, Altimet banyak memberikan pandangan terhadap cara nyanyian saya dan bagaimana lagu tersebut mahu dibentuk,” ujar Tomok.

Ditanya adakah bakal berkolaborasi dengan Altimet pada masa akan datang, Tomok yang cukup terkenal dengan karya berentak balada berkata, dia sentiasa bersifat terbuka lebih-lebih lagi dalam menghasilkan karya segar.

“Lagu ini begitu kuat dan sangat berpotensi untuk pergi jauh. Jadi, jika kena pada masanya, saya tidak akan menolak untuk bekerjasama sekali lagi dengan Altimet,” ujar Tomok yang turut berlakon dalam klip video lagu tersebut.

Cedera

Sementara itu, hujung minggu lalu, Tomok terpaksa dikejarkan ke Hospital Prince Court, Kuala Lumpur selepas patah bahu pada bahu kiri ketika sedang bermain bola sepak.

Akibat kecederaan tersebut, doktor menasihatinya agar melakukan pembedahan dalam kadar segera.

“Nasib saya tidak berapa baik apabila terjatuh ketika sedang bermain bola. Ketika kejadian, saya berasa panik kerana terdengar bunyi seperti benda patah.

“Selepas dibawa ke hospital dan melakukan pemeriksaan, doktor mengesahkan bahawa bahu saya patah atau dalam terma perubatan, fracture left clavicle. Melihatkan pada kecederaan yang agak serius, doktor menasihati supaya saya melakukan pembedahan,” katanya.

Tahun lalu, Tomok turut mengalami kejadian yang hampir sama apabila tulang jari hantu dan kelingkingnya patah sewaktu sedang menjalani penggambaran program hari raya Yabedabedu Lagi.

Bagaimanapun, kongsi Tomok, dia akan lebih berhati-hati selepas ini supaya perkara tersebut tidak berulang kembali.

“Empat kali saya melalui fasa patah. Tangan kiri, tangan kanan, jari dan terbaharu bahu. Tiga daripadanya berlaku sewaktu saya sedang bermain bola sepak.

“Agak sukar untuk berhenti bermain bola kerana saya meminati sukan ini. Sukan lain pun ada risiko, jadi saya perlu lebih berhati-hati pada masa depan,” katanya lagi.

Mengangkat kisah kasih sayang antara seorang ayah dan anak, Altimet dan Tomok berkolaborasi dalam single berjudul Aku Tahu.

Previous Post Next Post