Ayu Damit masih aktif menyanyi



AYU bersama suami, Syed Fauzi dan tiga anaknya. Dari kiri: Syed Nashrul, Syed Aqif dan Sharifah Alya.

KELIBAT penyanyi Ayu Damit atau nama sebenarnya, Norayu Damit, 25, semakin jarang dilihat di kaca televisyen mahupun dada akhbar. Ada juga beranggapan, penyanyi berasal dari Sabah itu tidak lagi aktif menyanyi kerana sibuk dengan keluarga.

Bagaimanapun, ibu kepada Syed Nashrul Haikal, 6, Sharifah Alya Adriana, 4, dan Syed Aqif Najmi, 9 bulan, ketika ditemui pada sidang akhbar program Zikir Perdana di Hotel Majestic, Kuala Lumpur baru-baru ini menegaskan dia masih lagi aktif menyanyi.

Namun, Ayu mengaku sejak mendirikan rumah tangga dengan Syed Fauzi Ayed Baharuddin, 27, dan memiliki tiga orang anak serta seorang anak angkat, Nur Khalishah Umairah, 2, dia semakin kurang menerima publisiti. Ditambah pula Ayu yang pernah popular dengan lagu Hanya Di Mercu itu tidak mempunyai sebarang produk terbaharu.

Kali terakhir dia mengeluarkan lagu adalah dua tahun lalu menerusi single berjudul Hati Ini. Jelas Ayu, dia tidak pernah merancang ingin bersara kerana bidang seni merupakan periuk nasi utamanya sehingga kini.


Artis Meletop!: Apa khabar? Adakah Ayu masih aktif dalam bidang nyanyian?

Ayu: Khabar baik, saya sihat. Ya, saya masih aktif menyanyi seperti biasa cuma kurang publisiti. Saya mengaku semakin jarang muncul di televisyen, majalah dan akhbar, tetapi kerjaya seni masih berjalan seperti biasa. Saya mungkin tidak muncul di televisyen, tetapi sibuk dengan persembahan pentas secara tertutup.

Mengapakah anda dilihat seperti hilang daripada dunia seni sejak kebelakangan ini?

Sebenarnya, saya baru sahaja melahirkan anak ketiga, Syed Aqif Najmi yang kini berusia sembilan bulan. Jadi, sebelum ini saya lebih banyak di rumah kerana berpantang dan menumpukan perhatian kepada anak kecil. Sekarang, saya baru kembali merangkak untuk bekerja setelah berehat panjang. Mungkin sebab itu orang lihat saya seperti hilang seketika walhal tidak ke mana-mana.

Bagaimanakah anda melihat masa depan kerjaya nyanyian sendiri?

Saya tidak boleh bercakap tentang masa depan, tetapi memadai orang masih ingat Ayu sebagai penyanyi lagu Hanya Di Mercu daripada program One In A Million. Selepas tujuh tahun dalam industri seni saya yakin rezeki masih ada. Jika ikutkan memang berniat ingin mengeluarkan lagu baharu kerana kali terakhir mengeluarkan single adalah dua tahun lalu berjudul Hati Ini. Namun, peluang itu belum ada. Tidak pernah kecewa dengan keadaan tersebut meskipun kehadiran saya kini sekadar mewarnai industri seni.

Mungkin anda ada sebarang strategi untuk meraih perhatian peminat?

Memang tidak ada sebarang strategi. Persaingan itu memang wujud kerana ramai penyanyi baharu. Cuma saya bukanlah jenis inginkan perhatian peminat. Jika ada produk barulah saya muncul di media massa. Laman sosial juga digunakan hanya untuk memuat naik aktiviti seni sahaja. Mungkin, ada artis menggunakannya untuk bercerita soal keluarga, kerjaya dan perniagaan, tetapi untuk saya hanya terhad kepada aktiviti seni semata-mata. Saya cukup jarang memuat naik gambar anak kerana pernah dihentam peminat gara-gara sekeping gambar keluarga. Perkara itu sudah lepas dan saya tidak mahu bangkitkan kembali, tetapi pengajarannya adalah berhati-hati dengan laman sosial. Ia boleh jadi tempat promosi dan tempat paling menyakitkan hati apabila ahli keluarga dihentam orang yang tidak dikenali.

Apakah perubahan kehidupan anda selepas memiliki tiga orang anak?

Kehidupan berjalan seperti biasa, cuma semakin sibuk. Selain tiga orang anak sendiri, saya juga menjaga seorang anak angkat Nur Khalishah Umairah, 2. Sebenarnya saya tidak pernah merancang untuk mengambil anak angkat. Disebabkan waktu itu saya merancang untuk tidak mempunyai anak lagi, jadi apa salahnya mengambil seorang anak angkat daripada keluarga sendiri. Ibu bapanya mempunyai masalah kewangan, jadi saya ambilnya sebagai anak angkat. Mungkin berkat rezeki menjaga Khalishah, beberapa bulan selepas itu saya disahkan hamil. Saya seronok dengan kehidupan sekarang dan tidak pernah rasa terbeban kerana bergilir-gilir menjaga anak bersama suami.

Adakah anda memang merancang ingin memiliki sebuah keluarga yang besar?

Jika diikutkan selepas dua orang anak, saya mahu kembali fokus kepada kerjaya. Namun, rezeki anak diberikan lebih awal, saya menerimanya dengan lapang dada. Saya tidak pernah rancang jumlah anak, semuanya terpulang kepada rezeki. Orang tua-tua juga ada berkata, selagi muda dapatkan anak seramai yang boleh (ketawa). Walaupun baru berusia 25 tahun, sudah mempunyai tiga anak bagi saya itu sesuatu yang baik kerana badan masih cergas untuk menjaga anak kecil. Saya tidak kisah jika anak ramai kerana apabila sudah tua, barulah terasa meriahnya memiliki keluarga besar.

Previous Post Next Post