Shukri Yahaya hargai pengorbanan Tya



BARANGKALI, hati kecil Shukri Yahaya ketika ini sarat terisi pelbagai rasa dan warna. Mengira detik untuk disatukan bersama pilihan hati, pelakon Siti Nurfatihah Ahmad Adnan atau Tya Adnan pada 20 November depan, rasa gugup bersulam bahagia ampuh menyelimuti jiwanya.

Akui lelaki kelahiran Kuala Lumpur itu, walaupun sudah kerap kali menjayakan babak pernikahan menerusi beberapa buah drama dan telefilem, rasa kurang percaya mahu mendirikan rumah tangga masih deras mengalir dalam dirinya.

“Perasaan saya pada waktu ini boleh dikatakan bercampur baur. Ada masanya, saya berasa sangat gembira dan teruja menantikan hari perkahwinan.

“Namun pada masa yang sama, saya masih tidak mempercayai bakal menamatkan zaman bujang tidak lama lagi,” ujar Shukri sewaktu ditemui pada majlis sidang akhbar Anugerah Skrin 2015 yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Begitupun, pelakon drama bersiri Asam Pedas Untuk Dia itu berkata, dia bertuah kerana tunangnya begitu memahami kariernya sebagai seorang pelakon.


“Dia faham saya sedikit sibuk dan tidak mempunyai banyak masa untuk menguruskan hal berkaitan perkahwinan.

“Jadi, dia dan keluarga yang banyak menentukan persiapan majlis pernikahan dan resepsi kami kelak,” katanya.

Tambah Shukri, majlis resepsi bakal diadakan di Cyberjaya, sehari selepas dia dan Tya selamat diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri.

“Majlis pernikahan kami akan diadakan pada 20 November depan di sebuah lokasi di Putrajaya, manakala majlis resepsi pula akan berlangsung pada keesokan harinya di Cyberjaya,” kongsi Shukri.

Persefahaman

Mengimbau kembali perjalanan kisah percintaan mereka, Shukri dan Tya mula berkenalan sewaktu sama-sama membintangi filem Ular sekitar lima tahun lalu.

Selepas mula mengenali hati budi masing-masing, Shukri dan Tya kemudiannya mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan pada tahun 2014.

Banyak perkara yang dipelajari sepanjang tempoh pertunangan dengan buah hatinya itu. Kongsi Shukri, pengorbanan yang dilakukan oleh Tya kuat mematrikan hubungan mereka sehingga ke hari ini.

“Sewaktu mula menapak dalam industri lakonan dan belum memiliki kenderaan, dia yang kerap menghantar dan mengambil saya di lokasi penggambaran.

“Sepanjang tempoh itu, banyak yang telah dia korbankan untuk saya. Sebab itu saya sangat sayangkan dia,” ujar Shukri.


Majlis perkahwinan Shukri dan Tya bakal diadakan dengan tema persandingan dalam taman.

Berbicara mengenai persefahaman yang dibentuk, Shukri memberitahu, setiap apa yang dilakukan perlu berlandaskan rasa percaya dalam diri masing-masing.

Kongsi anak keempat daripada lima beradik itu, rasa percaya yang telah disemai mampu mengukuhkan hubungan, sekali gus membenihkan rasa toleransi sesama sendiri.

“Dia pernah bergelar pelakon dan sangat memahami kerjaya saya. Jadi, sebagai balasan, saya sentiasa berlaku jujur kepadanya.

“Apabila kita jujur dengan pasangan, insya-Allah tiada masalah yang akan berlaku,” katanya.

Watak romantik

Bercakap mengenai perjalanan kariernya yang semakin dipacu laju, Shukri kini mampu tersenyum lebar apabila namanya mula mendapat tempat di hati peminat.

Bermula dengan drama bersiri Menjinak Ombak dan Plan B, kelibat Shukri dalam industri lakonan semakin dipandang serius apabila dia muncul dengan sebuah drama bersiri adaptasi novel berjudul Dia Isteri Luar Biasa sekitar awal tahun ini.

Menerusi drama yang ditayangkan di slot Akasia tersebut, watak Raden Amzar begitu kuat memaku khalayak sehingga Shukri dilabelkan sebagai pelakon yang sesuai membawakan watak lelaki romantik.

Namun, bagi tuan empunya diri, watak romantik bukanlah pilihan utamanya dalam melakonkan sesebuah naskhah. Ujar Shukri, dia lebih senang untuk membawakan watak antagonis berbanding watak yang digemari penonton.

“Saya suka bawa watak jahat kerana ia mampu untuk mencabar diri sebagai seorang pelakon.

“Pada masa sama, watak antagonis itu luas dan saya boleh mencuba sesuatu yang berlainan agar penampilan saya di layar kaca tidak terlalu klise,” katanya.

Bagaimanapun, Shukri akur dengan kehendak pasaran dan sedia menerima membawakan watak romantik jika itu yang ingin dilihat penonton.

“Membawa watak romantik juga ada cabarannya. Saya perlu mencipta karakter romantik yang berbeza dalam setiap karya supaya penonton tidak cepat bosan dengan lakonan saya,” katanya lagi.

Walaupun enggan digelar sebagai seorang pelakon yang selektif, Shukri juga mempunyai pendirian dalam menilai sesebuah naskhah.

“Saya cuba elak untuk menerima tawaran yang boleh membodohkan diri sendiri.


Menerusi watak Ahmad Ziyad dalam drama bersiri Asam Pedas Untuk Dia, Shukri mengubah sedikit cara membawa watak supaya tidak menyerupai karakter yang diketengahkan dalam novel.

“Dulu, sewaktu kurang mendapat tawaran berlakon, saya pernah bersetuju untuk membawakan watak sebegini. Namun, setelah dimarahi ayah, saya sedar tidak perlu kelihatan bodoh untuk membuat orang lain ketawa.

“Banyak lagi watak yang boleh dicuba untuk memperkembangkan lagi bakat lakonan saya,” katanya.

Bukan kejar populariti

Tahun ini, dua drama bersiri dan dua telefilem yang dijayakan oleh Shukri telah disenaraipendekkan dalam Anugerah Skrin 2015 (ASK 2015).

Naskhah berjudul Asam Pedas Untuk Dia, Tabuh Merdeka, Kereta Kita dan Jalan Taubat tersebut membuktikan bahawa kredibilitinya sebagai pelakon mula dipercayai oleh pengarah dan produser tempatan.

Tidak memandang kelebihan itu sebagai kayu ukur populariti, Shukri berkata, dia mahu dikenali sebagai pelakon versatil yang kekal relevan untuk jangka masa yang panjang.

“Popular itu saya ibaratkan seperti penyakit. Ia hinggap pada sesetengah individu dalam tempoh masa yang sekejap dan kemudiannya lenyap.

“Saya tidak kejar itu semua. Apa yang saya mahukan adalah membina kepercayaan dalam kalangan peminat dan penggiat kreatif tempatan,” ujar Shukri yang begitu mengagumi gaya lakonan Datuk Rosyam Nor, Faizal Hussein dan Bront Palarae.

Mengulas lanjut mengenai naskhah lakonannya yang telah disenaraipendekkan dalam ASK2015, Shukri berkata, mungkin pengalaman selama lima tahun telah banyak membuka peluang untuk lebih dikenali sehingga ke hari ini.

“Sudah lima tahun saya bergelar pelakon. Dalam jangka masa tersebut, banyak perkara tentang selok-belok dunia lakonan telah saya pelajari.

“Mungkin disebabkan itu, orang mula sedar kehadiran saya dalam bidang seni,” katanya.

Previous Post Next Post