IRONINYA, masalah sumber kewangan yang sering menghantui para artis di negara ini akibat daripada kegagalan mendapatkan sebarang tajaan bukanlah perkara baharu. Ada tajaan ataupun tidak, majlis yang dirancang tetap akan diteruskan.
Masalah sebegitu tidak hanya membelenggu artis biasa, bahkan ia turut terjadi kepada penyanyi tersohor negara iaitu Datuk Siti Nurhaliza yang terpaksa menunda Konsert Bio Muzikal gara-gara masalah kewangan dan tajaan.
Konsert tersebut sepatutnya akan diadakan pada bulan November depan selama lapan hari di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Namun, disebabkan terdapat beberapa masalah dalaman terutamanya membabitkan tajaan, ia terpaksa ditunda kepada tarikh lain dan diganti dengan Konsert Satu Suara Volume 2.
Mengakui terkilan namun dalam masa sama menganggap kejadian tersebut mengandungi hikmah, penyanyi berusia 36 tahun itu tidak cepat melatah. Baginya, ini bukan kali pertama perkara seumpama itu terjadi, bahkan berkali-kali.
Menganggap ia lumrah dan asam garam seorang artis, pelantun lagu Mikraj Cinta itu sentiasa positif.
“Pada awalnya, Konsert Bio Muzikal bakal diadakan pada bulan November depan selama lapan hari di Istana Budaya. Namun, disebabkan berlakunya sedikit masalah iaitu dari segi sumber kewangan dan tajaan, maka konsert tersebut terpaksa ditunda ke satu tarikh lain.
“Ia tidak dibatalkan terus, sebaliknya digantikan dengan Konsert Satu Suara Volume 2. Dengan keadaan ekonomi sekarang yang tidak menentu, jadi pelbagai perkara yang tidak diduga akan timbul. Saya terima dengan hati terbuka tentang kegagalan mendapatkan tajaan untuk konsert itu,” ujar beliau ketika ditemui semasa sidang media Konsert Satu Suara Volume 2 di Istana Budaya, baru-baru ini.
Untuk konsert yang bakal berlangsung pada 7 dan 8 November depan, beliau menjemput dua orang ikon muzik dari negara jiran iaitu penyanyi tersohor Indonesia, Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli Sarip (Singapura).
Terdetik sedikit rasa terkilan, tetapi pengalaman lalu mengajar beliau untuk sentiasa bersedia dengan pelan sokongan.
“Terkilan memanglah ada, tetapi tidaklah begitu keterlaluan sebab saya selalu memandang setiap kejadian dari sudut positif. Ini bukannya kali pertama saya mengalami nasib sebegini rupa. Pernah juga saya gagal mendapatkan tajaan untuk persembahan, tetapi saya teruskan juga dengan usaha sendiri.
“Apa sahaja yang berlaku pasti ada hikmah. Saya terima perkara ini dengan hati terbuka dan tenang,” ujarnya.
Bercerita lanjut mengenai gandingan menerusi konsert tersebut, Siti menyuarakan keterujaan apabila impiannya tercapai untuk berkongsi pentas dengan idola.
“Sebelum ini saya tidak pernah berkongsi pentas yang sama dengan Hetty Koes Endang kecuali untuk persembahan yang tidak dirancang atau sekadar suka-suka. Begitu juga dengan Datuk Ramli Sarip. Jadi, saya rasa inilah kesempatan terbaik untuk mengundang mereka berdua dalam sebuah persembahan penuh berprestij di atas pentas besar seperti Istana Budaya,” tuturnya sambil berseloroh, perasaan gementar menguasai diri kerana berasa kerdil jika mahu dibandingkan dengan dua ikon tersebut.
Ronaldo
Menolak ke tepi soal kerjaya, Siti juga tidak terlepas daripada dikaitkan dengan isu remeh-temeh. Hal ini termasuklah apabila dunia hiburan tempatan sedikit kecoh Siti ‘ditangkap’ meninggalkan komen ‘safe flight dear’ pada sekeping gambar bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo.
Komen yang dianggap berbaur mesra itu pantas menarik perhatian peminat Malaysia yang kemudiannya berkampung pada gambar tersebut semata-mata mahu mencari komen yang ditulis Siti.
Menganggap ia hanyalah perkara biasa dan tidak perlu diperbesar-besarkan, Siti punya jawapan sendiri atas tindakannya itu.
“Janganlah perbesarkan isu itu. Ia sekadar suka-suka dan tidak lebih daripada komen seorang peminat. Sama juga konsepnya dengan peminat saya yang selalu menulis komen berbaur begitu. Jadi pada saya ia bukanlah perkara besar pun.
“Kalau diikutkan, saya bukanlah seorang peminat tegar sukan bola sepak, tetapi selepas kebajikan yang dia (Cristiano) lakukan kepada seorang kanak-kanak pelarian Syria baru-baru ini, hati saya tersentuh. Saya hormat dengan sikap baik dan perikemanusiaan yang dia tonjolkan kepada semua agama, termasuklah Islam,” ujarnya.
Belum surut cerita lucu itu, nama Siti sekali lagi mendapat perhatian peminat selepas dikeluarkan dalam laporan The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims edisi tahun 2016.
Terkejut, Siti menganggap ia hadiah untuk dirinya sendiri selama menjadi pengantara dalam bidang seni.
“Syukur Alhamdulillah apabila ada pihak yang mengiktiraf komitmen dalam bidang ini. Saya pun tidak sangka akan tersenarai dalam catatan tersebut. Sebab, jika mahu dibandingkan dengan orang lain, siapalah saya. Apa-apa pun, saya terima pengiktirafan tersebut sebagai suntikan semangat supaya saya lebih istiqamah dalam menyumbang jasa dan bakti kepada negara bahkan juga agama,” tutupnya mengakhiri perbualan.