DUNIA lelaki ini tidak luar biasa. Dia menjalani kehidupan penuh sederhana, tanpa perlu pendedahan publisiti yang keterlaluan dan bahagia bersama isteri dan anak-anak. Itu ayat singkat yang menggambarkan gaya hidup dijalani pelaku seni terkenal Hollywood, Matt Damon. Bukan hanya berlakarkan kepada kehidupan sehariannya sahaja, bahkan ia termasuk juga dalam lingkungan gelaran aktor popular. Memiliki populariti, bahkan menjadi tatapan umum saban hari tidak mengubah haluan diri Damon yang cukup bersederhana.
Sepanjang 27 tahun bermanifestasi sebagai anak seni, Damon punya segala-galanya. Dari segi pencapaian lakonan, rancangan televisyen, penerbitan sehingga kepada aktivis sosialis, dia mempunyai pakej lengkap selaku aktor dan penerbit berpengaruh di Hollywood. Sehingga mencapai usia 44 tahun pada ketika ini, Damon yang baru sahaja menyambut ulang tahunnya pada 8 Oktober lalu sudah berlakon dalam hampir 40 buah filem.
Pemilik nama sebenar Matthew Paige Damon itu mula memercikkan sinarnya dalam dunia hiburan Hollywood selepas berlakon dalam filem Good Will Hunting (1997) di samping aktor Robin Williams. Filem pecah panggung yang merupakan karya asli Damon sendiri dan aktor Ben Affleck itu turut menggondol Anugerah Lakon Layar Asli Terbaik pada Academy Awards ke-70 (1998).
Meluaskan lingkungan karakter dalam profilnya, Damon mula beralih kepada genre filem aksi menerusi naskhah The Bourne Identity (2002). Tidak terhenti di situ, kelangsungan populariti Damon terus berdiri gah apabila francais filem itu disambung menerusi The Bourne Supremacy (2004) dan The Bourne Ultimatum (2007).
Mengheret lakonan dan karakter mantap menerusi francais The Bourne, menjengah tahun 2013, Damon mula melebar kemas sayap lakonannya menerusi filem sains fiksyen berjudul Elysium dan Interstellar (2014).
The Martian
Terkini, bapa kepada empat cahaya mata itu sekali lagi tampil dengan nakshah sains fiksyen berjudul The Martian yang sudah ditayangkan di pawagam seluruh dunia sejak 2 Oktober lalu.
Filem arahan sutradara tersohor Hollywood, Ridley Scott itu berkisar tentang seorang angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) bernama Mark Watney yang berlepas ke planet Marikh bersama sekumpulan angkasawan lain untuk melakukan penyelidikan saintifik.
Bagi yang benar-benar mengenali profil diri pemenang Anugerah Aktor Kegemaran bagi filem Good Will Hunting pada Blockbuster Entertainment Award itu, dia sebenarnya turut terjebak dalam dunia politik dan lantang menyuarakan pandangan terhadap beberapa isu. Antaranya, Damon pernah bersuara tentang kesedaran perbezaan kelas sosio-ekonomi di Amerika Syarikat termasuklah kekecewaannya terhadap sistem pentadbiran Presiden Barrack Obama.
Bagaimanapun, berlaku ribut lalu membuatkan Watney terpisah daripada kumpulannya. Perkara itu menuntut kapten pasukannya, Melissa Lewis (Jessica Chastain) terpaksa meninggalkan Watney kerana menyangka lelaki itu disahkan mati.
Siapa sangka, Watney yang dianggap sudah mati rupanya masih hidup selepas tragedi itu. Tinggal berseorangan di sebuah planet asing berwarna kemerahan dan diselaputi debu-debu keperangan memberi cabaran buat Watney untuk terus hidup dan kembali pulang ke NASA.
“Ini bukan tentang filem adi wira. Ia nakshah yang bercerita tentang survival seorang lelaki dan terpaksa hidup sendirian di sebuah planet asing. Bagaimana dia mencari jalan untuk meneruskan hidup dengan bercucuk tanam di atas planet Marikh, itu semua tentang kebijaksanaan. Mark Watney jauh lebih bijak dan banyak pengetahuan berbanding diri sebenar saya,” tuturnya yang menjalani penggambaran selama tujuh minggu di Budapest, Hungary dan empat minggu di Jordan.
Bercakap tentang filem yang diadaptasi daripada novel popular berjudul sama tulisan Andy Weir, Damon mengakui cabarannya sedikit berbeza daripada naskhah terdahulu. Hal ini kerana, The Martian mencabar Damon bagaimana untuk menghidupkan elemen komedi dalam lapisan jalan cerita yang dibalut ketakutan, kesunyian dan kesengsaraan.
“Saya banyak bertanya kepada pengarah tentang konsep karakter Watney. Walaupun jalan cerita The Martian terselit unsur humor yang ringan, tetapi kami sama-sama mencari jalan bagaimana untuk mengehadkannya supaya tidak keterlaluan untuk tatapan penonton.
“Andy (Wier) sudah lakukan yang terbaik menerusi novelnya, jadi apabila ia diadaptasi ke sebuah filem, menjadi tanggungjawab saya untuk mengekalkan kehebatannya biarpun jalan cerita agak ringan berbanding dalam novel.
“Saya akui, menerusi filem ini juga saya menyedari bahawa bidang sains sangat indah, menarik dan mudah,” tambahnya ketika ditemu bual DNews.
Bercerita lanjut, sewaktu membaca skrip The Martian, idea yang ada dalam kotak fikirannya hanyalah bagaimana untuk menjadikan jalan cerita filem tersebut masih sama dengan novel tulisan Andy itu.
“Penulis skrip Drew Goddard mendefinisikan The Martian sebagai ‘surat cinta untuk sains’ dan saya bersetuju dengan pendirian Goddard kerana filem ini sangat berbeza dengan karya sains fiksyen yang lain.
“Saya rasa ia adalah perkara yang bagus apabila berlakon dalam genre sains fiksyen dan menjadi Mark Watney. Setidaknya filem genre seperti ini mampu menarik minat penonton terutamanya golongan muda dan kanak-kanak untuk meminati bidang sains,” ujarnya sambil menambah, dia banyak menghabiskan masa di pusat gimnasium untuk mendapatkan stamina yang mencukupi bagi filem tersebut.
Kelangsungan karier
Meskipun mempunyai profil yang kukuh dan magis tersendiri dalam pelbagai genre filem, namun harus diakui bahawa sebaris nama Matt Damon berada pada landasan mendatar dan seadanya sahaja.
Memegang watak sebagai Mark Watney, The Martian, seorang angkasawan NASA memberi definisi baharu dalam profil lakonan Damon. Dia menyifatkan watak tersebut jauh lebih bijaksana daripada dirinya.
Tidak hanya dikenali selaku aktor dan penerbit, Damon kini mula menghayun langkah apabila cuba menceburkan diri dalam bidang pengarahan untuk sebuah filem aksi, A Foreigner yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
“Saya suka menghasilkan filem. Sebab itu saya mahu golongan muda terutamanya menyedari bahawa pembikinan filem merupakan perkara yang mampu memberi lebih banyak idea kreatif,” ujarnya.
Namun, disebabkan kepadatan jadual dengan promosi The Martian dan akan datang, francais terbaharu The Bourne iaitu Untitled Bourne pada tahun hadapan, Damon terpaksa mengehadkan waktu untuk benar-benar fokus terhadap dunia pengarahan.
“Saya perlu cari masa yang sesuai untuk melakukannya (mengarah). Sebelum benar-benar melakukannya, saya perlu cari produk terbaik yang sesuai dengan tahap kemampuan diri,” ujarnya.
Keluarga penyelamat
Sering tampil ringkas, bersahaja dan suka menjalani kehidupan normal seperti orang lain membuatkan Damon kurang dijangkiti kontroversi mahupun isu panas.
Portal The Guardian pernah melabelkan Damon sebagai seorang lelaki yang selalu mengutamakan keluarga. Dia tidak akan pernah berjauhan daripada keluarganya lebih daripada dua minggu. Bahkan, kehidupan biasa yang dijalaninya sering menghampakan paparazi kerana dia tidak pernah tertangkap melakukan perkara yang mengundang kontroversi.
“Lelaki yang sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak bukanlah tajuk menarik untuk dibuat berita. Tetapi, mereka (paparazi) tetap akan melakukan perkara sama dan berulang kali namun tidak akan dapat apa-apa daripada saya. Ia umpama mereka sekadar mengemaskini dokumen dalam komputer,” katanya sinis.
Sikap mementingkan talian kekeluargaan juga menjadi pegangan Damon. Buktinya, sejak kecil hingga kini dia tidak pernah lekang daripada sepupu merangkap sahabat baiknya, iaitu aktor Ben Affleck.
“Apabila kami berdua muncul dalam industri buat pertama kali, ada gosip tidak enak muncul yang mengatakan kami merupakan pasangan sejenis hanya kerana menulis skrip filem bersama-sama,” ujar pemilik syarikat penerbitan LivePlanet yang ditubuhkan pada 2007.