AYDA JEBAT menegaskan tidak berkecil hati apabila Zul Ariffin yang sering dikaitkan dengan dirinya, kini sudah mempunyai kekasih baharu.
Dalam kerancakan kerjaya seni pelakon popular Ayda Jebat atau nama lengkapnya Nur Suhada Jebat, 23, akhirnya terpalit beberapa cerita kurang enak melibatkan dirinya sejak kebelakangan ini. Namun, satu yang pasti namanya tetap utuh dalam kalangan peminat walaupun bermacam ragam kisah terlekat pada heroin drama Rindu Awak 200% itu.
Isu memakai pakaian yang sama pernah digayakan oleh rakan artis Lana Nodin dalam satu sesi fotografi mungkin sudah berlalu ditiup angin. Bagaimanapun, barangkali ramai yang tertanya-tanya reaksi Ayda tentang 'heronya', Zul Ariffin yang baru-baru ini mengakui sedang menjalin hubungan dengan pelakon Zahirah MacWilson.
Masakan tidak, sebelum Zul dan Zahirah 'berkawan rapat', Ayda adalah antara individu yang sering digosipkan bercinta dengan pelakon berbadan sasa itu sementelah kemesraan dan kekerapan mereka berganding dalam drama mahupun ketika menghadiri acara berprestij tempatan. Walhal, Zul pada waktu itu didakwa hangat bercinta dengan Gayatri Su-Lin Pillai.
Untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada pelantun lagu Siapa Diriku itu, Kosmo! menemu bual Ayda menerusi panggilan telefon. Tenang menjawab segala spekulasi, Ayda tidak lokek bercerita tentang perkara tersebut yang sedang hangat diperkatakan.
Artis Meletop!: Ramai yang tertanya-tanya reaksi anda setelah Zul dan Zahirah mengaku tentang hubungan intim mereka. Zul sendiri sudah lama bercinta dengan Gayatri, tetapi nama anda kerap dikaitkan dengan pelakon itu. Boleh anda komen?
AYDA: Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang hal itu kerana ia tiada kena-mengena dengan diri saya. Saya dan Zul hanya mesra di set penggambaran. Malah di luar set ketika sedang melepak, kami bergurau kasar dengan membahasakan diri masing-masing sebagai 'aku dan kau'.
Ada sedikit rasa terguris atau tidak kerana Zul akhirnya memilih wanita lain berbanding anda?
Tidak langsung (ketawa). Dengan siapa Zul mahu menjalin hubungan, itu adalah hak peribadi dia. Saya bukan siapa-siapa untuk menghalang dia. Ingin ditegaskan, saya dan dia hanya rakan sekerja. Tidak lebih daripada itu.
Sebagai antara wanita yang rapat dengan Zul sebelum ini, barangkali dia sendiri pernah menceritakan kepada anda tentang wanita yang sedang bertakhta di hatinya?
Seperti yang dikatakan tadi, saya bukan siapa-siapa dalam hidupnya malah tidak mempunyai hubungan darah dengannya. Jadi, saya tidak mahu masuk campur masalah orang lain dan saya okey sahaja.
Adakah anda memberi nasihat kepada Zul serta mendoakan yang terbaik untuk hubungannya dengan Zahirah?
Bagi saya, dia bebas untuk melakukan apa yang dirasakan baik untuk dirinya. Saya tiada hak untuk memberikan nasihat kepadanya. Saya doakan yang baik-baik sahaja kerana sebagai rakan dapat merasakan dia letih dengan segala tohmahan tentang status perhubungannya. Selain itu, saya profesional ketika melakukan kerja dan yakin dia juga begitu.
Baiklah, mengenai isu mengenakan pakaian yang pernah dipakai oleh Lana Nodin pada hari perkahwinannya, adakah ia sudah selesai?
Ya, saya memang pakai baju yang pernah dia (Lana) pakai sebelum ini dan ia adalah baju tajaan. Kalau boleh saya tidak mahu komen lanjut. Kalau saya salah, saya minta maaf. Itu sahaja. Saya tidak mahu panjangkan isu tersebut.
Mungkin selepas ini anda akan lebih berhati-hati dalam soal menggayakan busana atau pakaian kerana khuatir ia pernah digayakan oleh artis lain?
Sebenarnya tidak. Saya jenis yang sangat menghargai hasil rekaan pereka fesyen tempatan. Beginilah, sebenarnya banyak sahaja artis yang menggayakan pakaian yang pernah dipakai oleh artis lain terutama apabila pereka fesyen itu sendiri memberikan lampu hijau untuk digayakan.
Berbalik kepada perkembangan seni, apa yang terbaharu daripada anda?
Saya kini sedang menjalani penggambaran drama berjudul Menongkah Kasih. Selain itu, drama arahan Micheal Ang, Sesal Separuh Nyawa juga bakal ditayangkan tidak lama lagi. Dalam pada itu, saya juga sedang membuat persiapan untuk Muzik-Muzik peringkat separuh akhir selepas lagu Siapa Diriku layak bertanding.