Diam-diam berpandangan, mata bertentang mata, diam-diam lama-lama aku jatuh cinta. Bait-bait lagu Diam-Diam Jatuh Cinta dendangan Ramlah Ram itu sesuai menggambarkan perjalanan cinta penyanyi kecil molek, Mila Jirin, 28, dengan pengurusnya, Ahmad Ailis Mustapha, 36, atau lebih mesra disapa Isz.
Tanggal 11 November 2015 pastinya memahat lakaran sejarah buat merpati dua sejoli itu apabila sah bergelar suami isteri hanya dengan sekali lafaz.
Namun, sebelum ikatan suci berkenaan dimeterai, gelombang di dada Mila bagai dipukul ribut menggila. Kemeriahan majlis akad nikah yang awalnya dijadualkan pada pukul 4.30 petang di One City Hotel, Puchong itu bertukar resah apabila pengantin dan tetamu yang hadir harus bersabar sementara menunggu ketibaan jurunikah yang rupa-rupanya tersesat dalam perjalanan.
Mila yang pada mulanya tersenyum bahagia di atas pelamin, mula berubah sebak hingga hampir menitiskan air mata gara-gara kebimbangan.
"Serius, memang saya berdebar apabila kadi tidak sampai selepas sejam menunggu. Hati saya sudah tidak keruan dan memang terasa hendak menangis.
"Apabila melihat jurunikah melangkah masuk diiringi oleh ahli keluarga, barulah kerisauan itu hilang," katanya ketika ditemui usai sah bergelar isteri orang.
Beberapa minit sebelum akad dilafazkan, suasana sayu memenuhi ruang dewan apabila bakal pengantin diberi peluang bersalaman dengan ibu bapa masing-masing untuk memohon keberkatan melangkah ke alam rumah tangga.
Sesekali, Mila menyeka mutiara jernih yang gugur dari kolam matanya. Wajah indah yang diandam sempena hari bahagianya itu kebasahan oleh rasa bahagia.
Pada majlis itu, Mila atau nama sebenarnya Noorsyarmila Jirin yang menerima mas kahwin bernilai RM1,001 dan wang hantaran berjumlah RM23,128.70 telah dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Daerah Puchong, Zainal Khamis berwakil wali bapa kandungnya, Jirin Borhan.
Mila yang anggun menyalut busana baju kurung moden rekaan Seth & Luna Jimiey Whang turut menerima lima dulang hantaran dan berbalas tujuh dulang antaranya berisi pakaian, tas tangan, kasut, manisan dan minyak wangi kepada pihak lelaki.
SERASI: Didasari oleh kepercayaan dan saling memahami antara satu sama lain, keserasian yang tercipta antara Mila dan Isz membuahkan sebuah perhubungan suci bernama perkahwinan.
Cinta dalam diam
Menyelak kisah cinta yang disemai sejak tiga tahun lalu, Isz dan Mila tersenyum penuh makna. Mereka tertunduk malu sebelum membuka cerita.
Sebenarnya, sama ada Mila atau Isz, mereka tidak pernah terfikir untuk jatuh cinta kerana kebanyakan masa yang diluangkan bersama adalah atas dasar kerja.
Namun, keakraban antara mereka telah menarik perhatian ahli keluarga dan sentiasa dijadikan bahan usikan sebagai pasangan yang tengah hangat bercinta.
"Saya kenal Isz sejak berusia 18 tahun lagi, dia merupakan peminat ketika menyertai Akademi Fantasia musim kelima (AF5).
"Selepas itu, dia menjadi pengurus saya dan kemudiannya rakan kongsi dalam perniagaan. Dalam masa 10 tahun perkenalan, saya ada menjalin perhubungan dengan orang lain sebelum menyedari, dialah jodoh saya," ujar Mila sambil tersenyum simpul.
Menurut Mila, dia sendiri tidak dapat mengingati, bilakah mereka keluar untuk temu janji pertama sebagai pasangan kekasih memandangkan mereka tidak pernah benar-benar meletakkan 'nama' terhadap hubungan rapat yang terbina.
Mengalih perhatian terhadap jejaka yang berjaya mencuri hati wanita kelahiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang itu, Isz sememangnya mempunyai sifat bertentangan dengan Mila. Ternyata si pengantin wanita lebih becok bicaranya.
Sambil tersenyum, Isz mengakui, dia pernah beralah dalam usahanya memenangi hati Mila kerana pada waktu berkenaan, Mila masih terlalu muda dan belum puas menikmati kehidupan.
"Saya sedar, dia pernah bercinta dengan orang lain dan tidak pernah memaksanya untuk menyukai saya.
"Saya yakin setiap cinta ada masanya dan pada waktu Mila bersama orang lain, itu bukan saat terbaik untuk merebut hatinya. Saya sabar dan Alhamdulillah, penantian itu sangat berbaloi," akui Isz sambil erat menggenggam tangan si isteri.
TAJAAN: Mila pernah mengumumkan tidak akan mengambil sebarang penajaan kerana berhasrat menguruskan sendiri semua perbelanjaan perkahwinannya. Namun, demi tidak mahu mengecilkan hati pihak lain, Mila tetap menyambut baik tawaran penajaan yang dihulurkan dengan beberapa syarat seperti membayar sejumlah wang berupa sagu hati atau diskaun istimewa atas perkhidmatan yang digunakan.
Kematangan Isz, kasih sayang Mila
Saat ditanya, adakah lelaki yang juga kelahiran Pulau Pinang itu sudah memendam cinta sejak awal menguruskan kerjaya Mila, Isz memberitahu, pada mulanya dia hanya tertarik dengan bakat dan keazaman milik penyanyi lagu Persis Mutiara itu.
Namun, lantaran situasi tidak mengizinkan, dia tidak berani untuk meletakkan harapan tinggi terhadap Mila, sementelah penyanyi itu ada mempunyai kekasih.
Cuma, sejak tiga tahun lalu, apabila masing-masing sudah kembali solo dan menjadi rakan kongsi dalam perniagaan, barulah cinta kembali berputik dan mekar sehingga ke jinjang perkahwinan.
"Saya jatuh hati terhadap Mila kerana kasih sayangnya yang tidak berbelah bahagi kepada keluarga. Melihatkan hubungan eratnya dengan keluarga, maka saya yakin, dia mampu untuk menyayangi saya sebanyak itu.
"Dia seorang yang tidak mudah putus asa dan sentiasa cekal menghadapi apa-apa sahaja halangan. Sikap itu membuat saya tahu, kami akan dapat melalui susah senang bersama," tutur Isz sambil disambut senyuman manis Mila.
ANAK: Mila dan Isz merancang mempunyai anak selepas perkahwinan mereka menjangkau usia setahun. Keputusan itu dibuat demi kestabilan karier, perniagaan dan kehidupan terlebih dulu sebelum menyambut orang baharu. Jika mengikut keinginan hati, Mila mahukan empat orang anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.
Bagi Mila pula, jarak usia lapan tahun antara mereka menjadikan Isz seorang lelaki lebih matang berbanding dirinya.
Kata Mila, Isz menunjukkan tahap kesabaran tinggi sepanjang melayan kerenahnya yang sedikit kebudak-budakan dan tahu bagaimana hendak memujuk jika dilanda kesedihan atau kesusahan
Ciri-ciri sebegitu membuktikan Isz mampu menjadi pemimpin keluarga yang baik dan bertanggungjawab.
"Atas dorongan dan tunjuk ajar Isz juga, saya mampu berdiri sendiri dalam mengendalikan tiga buah perniagaan iaitu Bizz_Milla Catering, Baju Kurung Mila dan Restoran Embun Urai.
"Dia seperti penyelamat saya, sentiasa ada ketika susah dan mengajar bagaimana hendak bangkit kembali. Saya bersyukur kerana Tuhan kuatkan jodoh kami dan saya berjanji untuk menjadi isteri yang terbaik buat suami," luah Mila sambil menahan sebak sambil ditenangkan Isz.
Selepas majlis pernikahan Rabu lalu, sebuah majlis resepsi meraikan Mila dan Isz akan diadakan di Hotel Tabung Haji, Pulau Pinang pada 20 Disember nanti. Majlis berkonsepkan tradisional itu dijangka dihadiri 2,500 tetamu.