Demi ibu, Adira bersuara!



BARU-baru ini nama penyanyi, Adira sekali lagi menjadi perhatian apabila dia menjadi bahan ejekan sesetengah pengikut Instagram miliknya yang menggelar penyanyi itu sebagai hantu dan lebih menyedihkan ada juga yang sanggup mendoakan perkara yang tidak seharusnya.

Menyedari lumrah bergelar anak seni penuh dengan pelbagai rintangan, Adira akur dengan kritikan negatif yang dilemparkan terhadapnya.

Enggan memikirkan soal remeh temeh, pelantun Hilang ini bagaimanapun menegaskan setiap perkara harus ada hadnya.

“Inilah risikonya bergelar artis dan saya sudah bersedia dengan perkara seperti ini. Bila ada yang panggil saya hantu, saya memang tidak kisah dan tidak mahu terlalu memikirkannya.


“Tapi bila ada yang mendoakan yang tidak baik bagi saya itu sudah di luar batasan dan lebih teruk ia mengguris perasaan ibu saya sendiri.

“Kalau ikutkan saya sendiri malas ambil tahu tapi melihatkan kesedihan ibu, saya sendiri ambil tindakan untuk membalas komen-komen itu dengan baik dan mengharapkan mereka akan sedar,” jelasnya.

Biarpun begitu, Adira tidak menjadikan insiden itu sebagai alasan buatnya untuk menyekat mana-mana pihak untuk terus menjadi pengikutnya dalam laman sosial itu.

“Biarlah mereka mahu kata apa pun, kalau saya sekat sekali pun ia tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah.

“Selagi mereka tidak menyentuh soal keluarga dengan isu-isu yang lebih sensitif, saya tidak akan menyekat mereka,” katanya ringkas.

Dalam perkembangan lain, Adira kini baharu sahaja tampil dengan single terbaharunya ‘Kekasih Teragung Dunia’ ciptaan komposer Edry Abdul Halim.

“Istimewanya lagu ini adalah kerana melodinya yang menyelitkan elemen kemelayuan yang memberi keunikan yang tersendiri pada lagu ini.

“Boleh dikatakan, single ini antara lagu yang mencabar yang pernah saya nyanyikan kerana ia menguji vokal saya dengan nada yang lebih tinggi,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.


Previous Post Next Post