BEBERAPA bulan lalu, kedua-dua pelakon ini dilihat keluar bersama, namun menafikan mempunyai hubungan istimewa.
Namun Rabu lalu, tersebar sekeping gambar yang menyaksikan kedua pasangan ini berpegang tangan mesra di sebuah restoran, sekali gus menimbulkan tanda tanya - sejauh mana hubungan antara Zul Ariffin dan Zahirah MacWilson?
Bagaimanapun selepas 24 jam kisah mengenai hubungan mereka diperkatakan, Zul kemudiannya memuat naik status di Twitter mengatakan Zahirah hampir di culik di pusat membeli-belah The Curve, Mutiara Damansara.
Tidak berakhir di situ, pihak pengurusan pusat membeli-belah itu menafikan kenyataan Zul dan telah memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) serta tidak menjumpai sebarang bukti mengenai kejadian tersebut.
Justeru timbul pelbagai persoalan apa sebenarnya yang berlaku?
Zass yang menghubungi Zahirah kelmarin sempat bertanyakan kedua-dua kontroversi tersebut, termasuk dakwaan yang mengatakan kedua-dua selebriti ini sengaja mereka cerita untuk mengalihkan perhatian terhadap kisah percintaan mereka.
Enggan memberi sebarang komen mengenai kontroversi tersebut, Zahira berkata: "Saya minta maaf kerana tidak mahu komen mengenai kedua-dua cerita tersebut.
"Saya takut untuk memberi kenyataan kerana ada antara kenyataan saya telah diputar belit."
Tidak trauma
Zahirah bagaimanapun sebelum itu sempat berkongsi bahawa dia tidak trauma untuk keluar sendirian setelah hampir menjadi mangsa culik.
“Perkara kalau nak berlaku, boleh berlaku di mana-mana sahaja, jadi saya tidak trauma untuk keluar sendiri selepas kejadian itu.
“Apa yang perlu saya lakukan adalah akan lebih berhati-hati selepas ini untuk mengelak kejadian sama berulang lagi,” ujarnya.
Zahirah juga sudah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.
“Laporan mengenai kejadian tersebut telah saya buat di balai polis berhampiran.
“Oleh itu, saya serahkan semuanya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” katanya.