Ezzaty Abdullah laris di layar perak



MUNGKIN ramai yang kurang mengenali wajahnya, namun hakikatnya pemilik nama Ezzaty Abdullah ini agak laris di layar perak. Muncul dengan filem ala Bollywood, Mirip, pelakon kelahiran Bentong, Pahang ini juga menantikan beberapa lagi filem lakonannya ditayangkan.

“Alhamdulillah rezeki saya sejak dua tahun yang lalu banyak menerima tawaran berlakon untuk filem. Sebab itu drama saya agak kurang.

“Tahun ini sahaja, saya akan keluar dengan tiga hingga empat filem. Yang terbaharu adalah Mirip yang telah pun menemui penonton sejak 5 November lalu.

“Dan Insya-ALLAH ada dua lagi filem akan ditayangkan pada Disember ini namun tarikhnya belum saya ketahui bila akan ditayangkan,” katanya yang membintangi filem Mirip di samping pelakon Fedzrul Khan.

Pelakon yang meminati filem Bollywood ini juga turut berkongsi impiannya untuk membawa watak penggoda seperti mana Kareena Kapoor dalam filem Kabhi Khusi Kabhie Gham.


“Saya suka wataknya yang suka menggoda dan sering menarik perhatian lelaki dalam filem tersebut.

“Memang jika saya bawakan watak seperti itu orang akan lihat saya mengedik serta menyampah, namun watak seperti itu yang selalu penonton ingat,” katanya.

Justeru itu, tawaran berlakon dalam filem Mirip yang ada nyanyian dan tarian amat dia hargai kerana secara tidak langsung merasai melakonkan watak seperti filem ala Bollywood yang diidamkannya.

Sedia bergelar isteri

Berkongsi pula mengenai kisah peribadinya, Ezzaty yang kini sedang bercinta dengan pelakon Azwan Kombos mengakui hubungan mereka masih baik sehingga kini.

“Kami sebolehnya mahu menjaga hubungan antara satu sama lain dan tidak mahu perkara sebelum ini pernah berlaku ke atas hubungan kami berulang semula.

“Apa sahaja yang kami ingin lakukan akan lebih berhati-hati dalam menjaga pergaulan, termasuk memuat naik status dalam laman sosial untuk tidak menimbulkan sangka buruk.

“Dan Insya-ALLAH jika memang jodoh kami, saya sudah sedia untuk mendirikan rumah tangga.

“Namun sehingga kini, perbincangan untuk hubungan yang lebih lanjut, belum ada kerana masing-masing mahu fokus pada kerjaya dahulu,” katanya.

Bagaimanapun pelakon Delina ini tidak pula meletakan sasaran untuk menamatkan zaman bujangnya.

“Sebelum ini memang saya pernah cakap nak kahwin pada usia 24 tahun, namun sehingga kini masih belum ada rezeki lagi.

“Justeru, semua itu saya serahkan kepada ALLAH. Jika sudah tiba masanya, saya akan beritahu semua mengenai berita baik tersebut,” katanya yang kini sedang sibuk dengan produk kecantikannya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi iaitu Vermilion.

Previous Post Next Post