Cinta baharu Zul Ariffin


Zul Ariffin dan Zahirah MacWilson.

AKTOR berbadan sasa, Zul Ariffin mengakui sedang dalam proses mengenal hati budi pelakon baharu, Zahirah MacWilson.

Bagaimanapun, pelakon drama popular, Rindu Awak 200% itu enggan mengulas lebih lanjut mengenai hubungan tersebut.

“Memang benar, saya dan dia semakin rapat. Kami saling berhubung antara satu sama lain.

“Tetapi hubungan ini masih terlalu baru dan tiada apa untuk dikongsi lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Skrin 2015 (ASK2015).

Mengenai gambar yang tersebar, pemilik nama sebenar Zulkifli Ariffin ini menganggapnya sebagai asam garam yang perlu ditempuhi oleh anak seni.

“Saya tak marah dengan orang yang mengambil gambar kami.

“Itu perkara biasa sebagai selebriti. Gambar dengan emak sendiri pernah jadi isu, apatah lagi dengan wanita lain.

“Saya terima kontroversi yang menjadi viral itu dengan hati yang terbuka,” katanya.

Pada masa sama, pelakon berusia 29 tahun ini mengakui hubungan cintanya dengan penerbit filem, Gayatri Su-Lin Pillai telah pun berakhir.

“Sudah lama saya dan dia tiada apa-apa hubungan, cuma kami tidak dedahkan saja.

“Sebenarnya, kami sudah pun buat hal masing-masing dah move on,” katanya.

Dalam pada itu, Zahirah turut mengakui kini sedang berkawan rapat dengan Zul.

"Kami masih dalam proses berkenalan dan hubungan ini juga masih terlalu baru," katanya sambil tersenyum.


Jelas isu culik

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kekeliruan fakta ke atas cubaan menculik Zahirah, Zul menjelaskan terdapatnya kesilapan komunikasi ketika itu.

“Sebenarnya, tiada apa-apa kekeliruan pun, cuma berlaku salah faham saja daripada saya sendiri. Saya minta maaf.

“Saya sibuk menjalani penggambaran ketika saya dapat tahu mengenai kejadian itu. Kerana terkejut, saya bertanya pada Zahirah ‘di mana terjadi’ dan ‘sekarang ini berada di mana’.

“Jadi, bila dua soalan diajukan sekali gus dia cuma jawab ‘ada di The Curve’. Saya pula ingatkan kejadian itu berlaku di sana tapi sebenarnya bukan. Itu yang berlakunya salah faham.

“Lagipun, ketika itu dia berada dalam keadaan trauma dan saya pula masih terkejut,” katanya.

Pun begitu, Zahirah pula meluahkan perasaan sedihnya ekoran dikatakan sengaja mereka-reka cerita lantaran mahu mengalihkan perhatian umum daripada isu gambarnya yang tersebar bersama Zul.

Akibatnya, pelakon yang mencipta nama menerusi drama bersiri Mencintaimu itu menjadi mangsa kritikan dan cemuhan daripada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Saya bukanlah penipu atau psiko. Kejadian itu menyebabkan tangan kanan saya luka. Saya tiada masa mereka cerita.

"Saya sangat sedih apabila dilabel (penipu dan psiko) sebegitu. Tetapi saya tak boleh nak berbuat apa-apa, apatah lagi nak menutup mulut orang daripada terus berkata tentang saya.

"Asalkan keluarga dan kawan-kawan saya tahu perkara yang sebenar, itu sudah memadai," katanya.

Malah, sebagai langkah keselamatan dan berhati-hati, Zahirah kini lebih selesa ditemani oleh bapanya yang juga bekas pelakon dan penyampai TV3, Zainol Johari MacWilson ataupun rakan-rakannya setiap kali keluar rumah.

Previous Post Next Post