SELAIN penampilan penyanyi pada konsert amal itu, selebriti, Scha Alyahya turut terpilih menjadi jurucakap bagi kempen World Hunger Relief (WHR) KFC & Pizza Hut 2015.
Berkongsi pengalamannya sepanjang terlibat dengan kempen tersebut, Scha berkata, dia sangat gembira apabila dipilih sebagai jurucakap dalam kempen itu.
"Sejak ada anak ini, saya teringin untuk buat amal seperti kempen ini memandangkan selama ini saya sudah menjadi pelakon, pengacara dan duta produk, jadi terfikir perkara apa lagi yang mahu saya lakukan yang memberi kembali kepada mereka yang menyokong saya selama ini.
"Alhamdulillah hasrat murni itu akhirnya datang dengan tawaran kerjasama daripada pihak KFC dan Pizza Hut di awal tahun lalu.
"Oleh kerana saya sudah mempunyai anak, saya berasa dekat dengan kempen ini di mana dapat melihat sendiri anak-anak di luar sana ada yang tidak cukup makan minumnya," katanya kepada Zass pada majlis tersebut.
Berkongsi pengalaman menariknya sepanjang menyertai kempen itu, Scha berkata, dia dapat mendekati golongan gelandangan dan menyampaikan sumbangan kepada mereka.
"Sepanjang terlibat dengan kempen ini, saya berpeluang mendekati golongan gelandang dan melihat sendiri kehidupan golongan ini yang hidup serba kekurangan, ada yang tidur beralaskan kotak sahaja.
"Selain itu, saya berkesempatan ke Kelantan untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di negeri itu akibat dilanda banjir besar hujung tahun lalu.
"Di sana, saya dapat saksikan sendiri ada antara keluarga yang tidak cukup makan dan ada yang makan sehari sekali sahaja," katanya.
Tambahnya, kempen seperti ini memberi mereka peluang untuk membantu mereka yang memerlukan itu dan ia seharusnya diteruskan.Bukan kejar populariti
Bercerita lanjut pengalamannya berbual dengan keluarga yang daif di mana mereka kebanyakannya mahukan kempen amal seperti itu sentiasa berterusan.
"Ada satu keluarga ketika memberi bantuan di Kelantan, mereka mempunyai enam anak, dua daripadanya kurang upaya dan hidup serba kekurangan apabila makan tidak cukup dan kelengkapan rumah juga tidak sempurna, mereka sangat gembira menerima bantuan kami.
"Mereka sangat berharap kami dapat meneruskan lagi bantuan seperti itu dan kelihatan usaha yang kecil seperti itu pun akan menjadi saat indah bagi mereka serta sangat dihargai," katanya.
Menegaskan penglibatannya di dalam program seperti ini bukan untuk mencari populariti, Scha berkata, dia sejujurnya ikhlas untuk membantu golongan memerlukan.
"Benda ini bukan untuk popular, terkenal dan menunjuk-nunjuk, tetapi ia datang dari hati saya sendiri untuk melakukannya.
"Justeru apabila berjaya menyelesaikan kempen ini, saya berasa sangat gembira dan saya sendiri akan berterusan dengan usaha murni ini, insya-ALLAH," katanya.
Tidak mahu terhenti sebagai jurucakap kempen ini sahaja, Scha berkata, dia berhasrat untuk meneruskan usaha itu secara individu.
"Banyak sebenarnya pertubuhan amal yang memberi bantuan seperti ini, kita boleh bantu secara individu juga dengan hanya mendaftar dengan mereka.
"Justeru, memang saya akan meneruskan usaha ini di masa akan datang sekiranya tidak lagi bekerjasama dengan kempen ini, kerana saya mahu lakukan apa yang terdaya untuk mereka yang tidak bernasib baik," katanya.