BERSYUKUR dengan penerimaan peminat terhadap kehadirannya dalam industri seni, Zara Zya mengakui dia masih berhadapan dengan pelbagai kritikan daripada segelintir pihak.
Jelas pelakon Isteriku Bukan Tukang Masak ini, walaupun telah melakukan yang terbaik, namun bukan semua menyukai lakonannya.
"Saya tidak boleh memuaskan hati semua orang, masing-masing ada pandangan dan pendapat sendiri.
"Jadi, saya tidak akan patah semangat dengan komen negatif atau kritikan mereka, sebaliknya menganggap perkara tersebut sebagai pembakar semangat,” katanya.
Baru sahaja muncul dengan drama bersiri Tuan Anas Mikael yang disiarkan di Astro Ria, akui Zara Zya, dia turut dikritik hebat menerusi drama bersiri popular itu.
"Saya memainkan peranan sebagai Ayu Maisarah dalam drama bersiri ini. Karakter saya agak bersahaja dan sedikit kasar orangnya.
"Walaupun saya merealisasikan watak tersebut mengikut kehendak pengarah, namun masih ada penonton yang tidak berpuas hati dengan cara penyampaian saya.
"Kata mereka, saya agak berlebihan dan nampak tidak semula jadi,” katanya.
Tambah pelakon berusia 30 tahun ini, dia tidak sesekali akan melatah kerana kritikan sebegitu.
"Itu sudah lumrah sebagai seorang pelakon, bahkan babak-babak saya sering bermonolog dengan kamera turut kurang digemari.
"Saya anggap semua itu cabaran untuk buah tangan saya kali ini. Bagi saya, Tuan Anas Mikael sebuah karya yang hebat dan saya seronok terlibat bersama produksi ini serta berlakon bersama Aaron Aziz,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai drama bersiri sentuhan pengarah Raja Ahmad Alauddin itu, kata Zara Zya, perkara paling mencabar adalah apabila dia diperlukan untuk menggunakan dialek Utara.
”Bukan mudah untuk pastikan dialek Utara saya nampak ‘real’. Walaupun sukar, saya buat yang sebaik mungkin.
"Saya harap bukan sekadar yang mengkritik, sebaliknya masih ada yang menyukai drama bersiri ini dan terus menyokong peranan saya sebagai Ayu Maisarah,” katanya.
Selain Zara Zya dan Aaron Aziz, drama bersiri ini turut dibintangi Raya Ilya, Wan Sharmila, Fazlina Ahmad Daud dan Datuk Jalaluddin Hassan.