Ika Nabella serah kes kepada polis


IKA kini dinasihatkan doktor agar berehat secukupnya sebelum kembali bekerja.

DUNIA hiburan tempatan digemparkan dengan insiden keganasan di lokasi penggambaran, apabila pelakon Ika Nabella mendakwa dipukul oleh seorang pengarah drama, Azma Aizal Yusof di bahagian muka dan badan.

Susulan daripada kejadian di lokasi penggambaran drama bertajuk Dawai Asmara terbitan Suhan Movies pada 2 November lalu, pelakon yang juga bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam itu turut mengalami kecederaan di bahagian mulut dan belakang badan selain mengakui berdepan trauma.

Kejadian yang berlaku pada hari kedua pembikinan di sebuah rumah bakti di Hulu Kelang menyebabkan penggambaran drama terbitan Suhan Movies itu terpaksa ditangguhkan, agar tidak mengganggu proses siasatan.

Menyerahkan segala bukti dan maklumat kepada pihak berkuasa, pelakon drama Rindu Awak 200% itu juga telah membuat laporan di Balai Polis Hulu Kelang pada pukul 12.45 tengah malam, hari sama bagi tujuan keselamatan.

Dikatakan dipukul kerana gagal memberikan tahap lakonan seperti yang diharapkan oleh sutradara, Ika bagaimanapun mengambil keputusan untuk mengunci mulut daripada terus bercerita lanjut.

Sebelum ini, pengarah terbabit, Azma, 33, mendakwa dia mempunyai sebab tersendiri mengapa bertindak sedemikian dan menyifatkan cerita yang tersebar telah ditokok tambah.


Artis Meletop!: Baru-baru ini, Ika dilaporkan dipukul oleh Azma Aizal Yusof di lokasi penggambaran kerana tidak mempamerkan lakonan seperti dikehendaki. Adakah benar dakwaan tersebut?

IKA NABELLA: Sejujurnya kejadian tersebut berlaku terlalu pantas. Namun, apa yang boleh saya katakan, biarlah segalanya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan.

Pada pandangan anda, bagaimanakah dakwaan tersebut boleh tersebar?

Saya tidak pernah membuat sebarang kenyataan mengenai perkara tersebut, malah tidak tahu pula bagaimana cerita itu tersebar.

Benarkah anda dipukul kerana tidak dapat memberikan tahap lakonan yang diminta pengarah?

Sekiranya benar itu sebabnya, saya terima. Tetapi, kalau pun itu puncanya, adakah patut saya diperlakukan sedemikian rupa. Biarlah pihak berkuasa yang melakukan siasatan kerana sejurus selepas kes ini selesai, saya akan menceritakan perkara yang sebenar.

Selepas insiden tersebut berlaku, adakah anda membuat pemeriksaan atau mendapatkan rawatan doktor?

Saya mengalami kecederaan pada bahagian muka dan belakang badan, namun usah bimbang kerana tiada sebarang perkara serius dilaporkan oleh doktor sewaktu melakukan imbasan X-ray. Bagaimanapun saya disarankan agar berehat sehingga benar-benar pulih sebelum kembali aktif berlakon.

Adakah kalian berdua ada menghubungi antara satu lain atau cuba membincangkan perkara ini bersama penerbit drama iaitu Datuk Rosyam Nor?

Selepas kejadian itu, saya dan Azma tidak berhubung antara satu sama lain sehinggalah ke hari ini (5 November). Saya juga masih tidak bertemu dengan Rosyam kerana berada dalam keadaan kurang sihat. Namun, seperti yang diperkatakan, segalanya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan.


AZMA AIZAL YUSOOF

Menerusi drama Dawai Asmara, adakah pertama kali anda bekerjasama dengan Azma?

Tidak. Sebelum ini kami telah beberapa kali bekerja dan tidak pernah berlaku sebarang masalah sepanjang tempoh tersebut. Tambahan dia (Azma) sendiri tidak pernah bersikap pemarah mahupun bertindak seperti apa yang dilakukan kepada saya baru-baru ini.

Selepas kes selesai dan jika penggambaran dimulakan semula, adakah anda masih ingin membintangi drama tersebut?

Segalanya terserah kepada pihak produksi untuk membuat keputusan sama ada membenarkan saya meneruskan penggambaran atau tidak.

Disebabkan kejadian tersebut, bagaimanakah reaksi keluarga anda?

Alhamdulillah mereka banyak memberi sokongan dan memberi nasihat terutama dalam keadaan sekarang. Mereka juga tidak menghalang untuk terus aktif dalam dunia seni.

Secara peribadi adakah kejadian ini akan menyebabkan anda trauma untuk berlakon?

Kejadian ini tidak menjejaskan keinginan saya untuk terus berlakon. Biarpun berasa risau sekiranya kejadian yang sama akan berulang pada masa depan. Syukur berkat sokongan keluarga saya akan kuatkan semangat untuk meneruskan kerjaya.

Previous Post Next Post