Impian pusat mualaf Amy Search



TEMPOH 35 tahun bergelumang dalam industri seni sebagai penyanyi rock bersama kumpulan Search, kini pada usia 58 tahun, vokalis Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman membuka lembaran baharu dalam perjalanan hidupnya.

Jika dahulu perjuangannya hanya untuk muzik semata-mata, tetapi sejak kebelakangan ini arah tersebut semakin berubah kepada saham akhirat. Bulan Disember tahun lalu cukup bermakna buat Amy apabila impiannya untuk menubuhkan sebuah sekolah tahfiz telah termakbul.

Pejam celik, sekolah tahfiz Al-Bayan School of Quran & Hadith yang terletak di Denai Alam, Shah Alam, Selangor itu telah beroperasi hampir setahun. Bertemu dengannya pada majlis sidang akhbar projek Cahaya Jiwa, kolaborasinya bersama dengan pelukis, Saiful Kadir di Platinum Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini, Amy berkongsi cerita di sebalik penubuhan sekolah tahfiz Al-Bayan.

“Alhamdulillah, pejam celik sudah hampir setahun sekolah tahfiz Al-Bayan beroperasi. Mengenang kembali usaha untuk menubuhkan sekolah tersebut saya menangis dan kadang-kala tersenyum sendirian. Hal ini kerana saya telah diuji terlebih dahulu sebelum berjaya mewujudkan sekolah tahfiz itu.

“Pada tahun 2010, wang saya telah ditipu dan perancangan untuk menubuhkan sekolah tahfiz di Johor terpaksa dibatalkan. Saat itu saya cukup sedih dan boleh menangis hanya dengan melihat pelan sekolah yang dilukis oleh arkitek. Kecewanya hanya Allah yang tahu sehingga saya buang semua barang berkaitan dengan sekolah tersebut.

“Selepas bercakap dengan ustaz, saya reda dan menganggap ia hanyalah satu ujian yang diberikan oleh Allah. Tahun lalu niat untuk membuka sekolah tahfiz semakin membara dan apabila kita yakin apa yang dilakukan, Allah permudahkan. Ketika tiada wang banyak dan tanah, impian mewujudkan sekolah tahfiz itu termakbul. Ia terlaksana tanpa perancangan yang lengkap seperti mana sekolah tahfiz yang ingin dibangunkan di Johor beberapa tahun lalu,” tutur Amy sambil tersenyum.


Akuinya, pada peringkat awal sekolah tahfiz tersebut beroperasi, wujud kebimbangan di hatinya. Bimbang akan masa depan dan perjalanan sekolah tersebut. Kini, selepas hampir setahun sekolah tahfiz Al-Bayan beroperasi, beliau sudah mampu menghembuskan nafas lega.

Sekolah yang memiliki 25 orang pelajar dan lima orang tenaga pengajar terlatih itu beroperasi dengan cukup lancar. Walaupun terdapat kekangan seperti masalah kewangan dan tapak sekolah yang tidak tetap, Amy berjaya melaluinya.

“Jika saya kata tiada masalah, bohonglah. Sewaktu awal dahulu, saya bimbang akan masa depan sekolah ini. Sekarang, apabila ada masalah, saya akan cari penyelesaian dan berdoa pada Allah. Saya yakin, Allah sentiasa membantu jika apa yang diusahakan adalah untuk kebaikan.

“Contohnya jika ustaz memberitahu tidak cukup dana atau barangan sekolah, dalam masa beberapa hari tiba-tiba ada orang datang membantu dengan beri wang dan barangan. Walhal saya tidak pernah pun meminta, lihat kuasa Allah cukup besar,” ujarnya panjang lebar.

Tambah Amy lagi, buat masa ini pihak mereka tidak mengambil lagi kemasukan pelajar kerana menghadkan kepada 30 orang pelajar sahaja sehingga tahun depan. Bukan pihaknya tidak ingin mengembangkan sekolah berkenaan, namun disebabkan tapak sekolah yang kecil dan masalah dana, beliau lebih selesa menguruskan pelajar dalam jumlah yang kecil.

“Memang niat mahu besarkan sekolah dan ambil ramai pelajar, namun, saya bimbang nanti sekolah terlalu padat serta tidak selesa. Ada orang tawar beri tanah sehingga di Sabah, tetapi saya mahu fokus dengan apa yang ada terlebih dahulu,” katanya.


Pelajar sekolah tahfiz Al-Bayan terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada anak yatim, orang biasa dan anak kepada peminat Amy Search.

Pusat mualaf

Selepas berjaya menubuhkan sekolah tahfiz, impian terbesar bapa kepada aktres Nabila Huda itu adalah mewujudkan sebuah pusat mualaf pada masa depan. Sudah lama beliau berhasrat untuk membuka sebuah pusat mualaf yang memberi pendidikan dan kelas agama secara percuma.

Perancangannya, pusat mualaf itu akan didirikan di lokasi yang sama dengan sekolah tahfiz miliknya. Bagaimanapun perancangan itu belum boleh dilaksanakan sehingga mendapat tapak sekolah yang lebih luas.

Buat masa ini sekolah tahfiz Al-Bayan menyewa di sebuah lot rumah kedai di Denai Alam, Shah Alam, Selangor.

“Mewujudkan sebuah pusat mualaf merupakan impian saya seterusnya. Ia akan menjadi sebuah pusat sehenti untuk mualaf atau orang yang berminat dengan agama Islam belajar secara percuma. Mungkin saya boleh jemput ulama dari China atau India mengadakan kelas atau ceramah dalam bahasa ibunda mereka supaya lebih dekat dengan golongan mualaf,” katanya yang tidak boleh memberi satu tempoh waktu impian tersebut menjadi nyata.

Meskipun sibuk menguruskan sekolah tahfiz, Amy masih meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi seperti biasa. Ujarnya, bidang seni merupakan tempatnya mencari rezeki, selagi mempunyai permintaan dan masih sihat, Amy akan terus menyanyi.

Bagaimanapun, akui Amy, sejak kebelakangan ini beliau lebih bahagia menguruskan sekolah tahfiz daripada menyanyi di atas pentas.

“Memang cukup bahagia dan hati tenang sejak menguruskan sekolah tahfiz. Jika sebelum ini saya sangat seronok berada di atas pentas menghiburkan orang, sekarang hati lebih gembira apabila berada di sisi pelajar tahfiz serta melihat perkembangan mereka.

“Namun, saya masih menyanyi kerana itu merupakan punca rezeki utama. Menerusi muzik juga saya boleh berdakwah dan menyebarkan perkara kebaikan,” tuturnya.


Wang Amy pernah ditipu sebanyak RM5 juta pada tahun 2010 dan menyebabkan perancangan penubuhan sekolah tahfiz di Johor terpaksa dibatalkan.

Cahaya Jiwa

Berbicara tentang projek Cahaya Jiwa, Amy meluahkan rasa terharu dan gembira apabila pelukis, Saiful Kadir berbesar hati menjalinkan kerjasama untuk mengumpul dana bagi sekolah tahfiz Al-Bayan.

Menurut Amy, menerusi projek Cahaya Jiwa yang berlangsung selama tiga hari bermula 23 sehingga 25 Disember depan, sebanyak 40 lukisan seni khat karya Saiful akan dijual di pekarangan Istana Budaya sempena dengan sambutan Maulidur Rasul dan persembahan Malam Kalimah Cinta.

“Projek Cahaya Jiwa boleh dikira membeli sambil menderma kerana 30 peratus daripada hasil jualan akan disalurkan kepada sekolah tahfiz Al-Bayan. Saya bersyukur kerana ini projek pertama membabitkan sekolah tahfiz Al-Bayan.

“Sebenarnya saya ada terfikir mengenai projek membabitkan lukisan. Selang beberapa hari kemudian, saya mendapat tawaran kerjasama dengan Saiful. Saya tidak pernah meminta derma sebaliknya ramai yang datang secara sukarela untuk membantu seperti Saiful,” ujarnya.

Selain membeli lukisan berharga RM5,000 sehingga RM15,000 di pekarangan Istana Budaya, peminat yang ingin mendapatkan karya Saiful sambil menderma juga boleh membelinya secara atas talian menerusi akaun Instagram @CahayaJiwa.My.

“Terdapat pelbagai cara untuk peminat membeli lukisan Saiful. Jika mereka tidak dapat hadir di Istana Budaya pada tarikh yang ditetapkan, boleh dapatkan lukisan di akaun Instagram yang telah mula dibuka kepada pembeli,” tutur Amy tentang projek yang diusahakan bersama Mask Team itu.

Bukan itu sahaja dikhabarkan projek Cahaya Jiwa akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara pada tahun depan.

Bagaimanapun pihak Amy masih belum ada sebarang perincian tentang siri jelajah berkenaan.

“Ya, saya diberitahu akan ada siri jelajah projek Cahaya Jiwa. Bagi saya itu sesuatu yang menarik kerana selain membeli sambil menderma, orang ramai juga boleh menikmati seni lukisan Saiful. Secara tidak langsung kita mendidik orang ramai untuk lebih menghargai seni,” katanya menutup bicara.

Previous Post Next Post