Sheeda kecewa! Diperlekeh juri dan peminat



KONSERT minggu keempat Gegar Vaganza musim kedua yang berlangsung Ahad lalu, menyaksikan perjuangan penyanyi irama dangdut terkenal, Sheeda, terhenti.

Menerusi tema ‘Berdua Lebih Baik’, Sheeda berduet bersama Aweera menyanyikan lagu Tiada Lagi.

Akur dengan penyingkirannya pada malam tersebut, Sheeda atau nama sebenarnya, Rashidah Hamid, menyifatkan mana-mana peserta yang tersingkir sebagai kurang bernasib baik.

"Sejak mula menyertai Gegar Vaganza lagi, saya tak pernah terfikir saya atau sesiapa sahaja akan terkeluar pada minggu tersebut.

"Sebaliknya saya sering ingatkan diri sendiri dan rakan-rakan supaya buat yang terbaik dan tidak membuat kesalahan pada malam konsert," katanya kepada Zass.

Ditebak mengenai komen negatif yang diterimanya sejak minggu lalu selepas menyanyikan lagu NanaSheme berjudul Hantu Atau Buaya, Sheeda berkata, dia tidak memikirkan perkara tersebut, namun mengakui kecewa.

"Sejujurnya saya tak baca pun komen-komen di laman sosial termasuk di Instagram mengenai konsert. Tapi bila ada yang mesej personal saya dan minta saya tarik diri serta mencadangkan salah seorang peserta yang telah tersingkir untuk kembali berjuang, saya akui agak kecewa.

"Lebih mengecewakan apabila ada juri memperlekehkan persembahan saya dan tidak memberi komen yang sepatutnya seperti tahap vokal saya, tetapi sebaliknya menyentuh hal yang tidak ada kena mengena.

"Saya sangat kecewa mengenai perkara itu. Saya bukan penyanyi yang baru setahun dua menyanyi tetapi sudah 20 tahun.

"Malah untuk pertama kalinya saya mencuba menyanyikan genre lagu yang berlainan daripada dangdut," katanya.

Sheeda berkata, perkara seperti itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada dirinya.

Katanya, artis lama sepertinya sepatutnya diberi penghormatan dan bukannya diperlekehkan sesuka hati.

"Saya percaya mereka ada ahli keluarga perempuan. Cuba bayangkan apa perasaan mereka apabila melihat ibu atau anak atau kakak atau adik mereka diperlekehkan seperti itu di hadapan khalayak.

"Saya boleh terima jika mereka memberi teguran mengenai vokal seperti yang dilakukan Datuk Ramli MS. Tapi bila komen lain, saya rasa dipersendakan dan dimalukan," katanya.

Sheeda berkata, biarpun mendapat pengalaman pahit seperti itu, dia tidak akan sesekali mengalah dengan perjuangannya dalam memartabatkan irama dangdut di Malaysia.

Malah dia bertuah kerana mendapat sokongan padu daripada keluarga dan rakan-rakan.


"Saya bertuah kerana keluarga dan rakan-rakan memberi sokongan padu kepada saya. Walaupun saya tersingkir, tidak bermakna perjalanan karier saya terhenti.

"Apa yang penting perjuangan saya untuk kembali mengangkat irama dangdut berhasil apabila genre tersebut kembali dimainkan di kaca TV.

"Bagi mereka yang mengutuk, menghina dan mencerca saya, saya doa ALLAH bukakan pintu hati mereka," kata wanita berusia 51 tahun ini.

Penyingkiran Sheeda menjadikan sembilan peserta yang tinggal untuk terus berjuang di konsert kelima bertemakan ‘Hits Vaganza’ pada minggu hadapan.

Gegar Vaganza 2 dibawakan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad bermula 9 malam dan disiarkan di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Buat kemunculan semula

Dalam pada itu, Sheeda berkata, dia bakal membuat kemunculan semula selepas kontraknya bersama Gegar Vaganza tamat.

Menurutnya, sebelum menyertai Gegar Vaganza, dia sudah menyiapkan sebuah album dangdut dan sudah merancang untuk dipasarkan.

"Sepatutnya saya lancar album itu, tapi bila dapat tawaran Gegar Vaganza, saya tangguhkan perancangan tersebut.

"Jadi tunggulah selepas ini, Insya-ALLAH saya akan lancarkan album baharu tersebut," katanya.

Sheeda berkata, selain album, dia sebenarnya masih aktif dalam bidang nyanyian dan masih menerima undangan nyanyian.

"Saya masih aktif menyanyi, cuma tidak keluar di kaca TV sahaja.

"Jadi bila menyertai Gegar Vaganza, saya beri tawaran kepada kawan-kawan yang menyanyikan genre sama," katanya.

Previous Post Next Post