LENA - Lena merupakan nama watak yang dipegang Lisa dalam filem Dendam Orang Mati. Yusry menjadi pendorong buat Lisa menggalas tanggungjawab sebagai Lena dalam filem seram tersebut.
Tampil memakai gaun berwarna hitam, aktres Lisa Surihani melangkah penuh yakin bersama suaminya, penyanyi dan pengarah, Yusry Abd. Halim pada acara karpet merah majlis Anugerah Skrin 2015 (ASK 2015) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada malam Ahad lalu.
Meskipun ramai bintang terkenal berada di lokasi yang sama, tetapi semua mata tertumpu pada kelibat pasangan popular berkenaan. Masakan tidak, itu adalah kemunculan kali pertama Lisa di khalayak ramai sejak melahirkan anak sulungnya, Yahaira Leanne pada 15 September lalu.
“Sebenarnya ini kali pertama saya hadir ke sebuah acara hiburan sejak bergelar ibu. Kebetulan tempoh berpantang telah tamat, jadi saya datang sebagai tanda sokongan dan untuk berjumpa rakan-rakan,” kata Lisa yang setia ditemani suaminya, Yusry.
Bercakap tentang perubahan kehidupan sejak kelahiran buah hati, Yahaira Leanne selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga, Lisa memberitahu fokus utamanya hanya tertumpu kepada anak yang kini berusia lapan minggu.
Pelakon filem Ular itu juga mengakui tidak boleh berenggang dengan anaknya, begitu juga dengan Yusry. Kata Lisa, mereka kini kerap menghabiskan masa di rumah berbanding di luar.
“Perubahan paling ketara adalah keutamaan semuanya tertumpu pada anak. Jika dahulu jadual kerja atau apa sahaja semuanya tentang diri sendiri, tetapi sekarang sudah ada seseorang yang penting untuk dijaga. Semuanya tentang anak sahaja, perkara lain diketepikan dahulu (ketawa).
“Jika Yusry keluar bekerja, tidak lama kemudian dia pasti akan hubungi saya minta dikirim gambar anaknya. Saya juga begitu, tidak boleh berenggang dengannya,” kata Lisa.
Yusry yang berada di sebelah Lisa turut mencelah dan berkata, sejak mempunyai anak, aturan hidup mereka suami isteri berubah. Mengaku kerana terlalu berat hati untuk meninggalkan anak, ada kalanya Yusry akan bekerja dari rumah sahaja.
“Bila ada anak, saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah. Kadang-kala saya panggil orang datang ke rumah untuk mesyuarat, sampai begitu sekali berat hati untuk meninggalkan dia di rumah,” ujar Yusry yang berkongsi kegembiraannya bergelar bapa.
Sambung Lisa, kebahagiaan hidup berkeluarga kini sukar diungkapkan dengan kata-kata. Meskipun berat hati untuk meninggalkan anak di rumah, pada penghujung bulan ini, Lisa akan kembali bekerja sebagai hos sebuah program bual bicara baharu yang berkisar tentang keibubapaan bersama suaminya.
Jelas Lisa tentang program yang akan bersiaran di Astro itu, ia bukan berdasarkan pengalamannya, tetapi lebih kepada perbincangan maklumat tentang dunia ibu bapa secara keseluruhannya.
“Program ini merupakan kerja pertama saya selepas berpantang. Saya terima kerana durasi penggambarannya tidak lama selain ia menyalurkan maklumat berguna kepada ibu bapa di luar sana. Bagi saya program ini sangat menarik kerana berkongsi maklumat tentang kehamilan, berpantang dan pelbagai lagi tentang kehidupan seorang yang bergelar ibu bapa,” beritahunya.
Bagaimanapun Lisa masih berehat daripada sebarang penggambaran drama dan filem sehingga tahun depan. Katanya, keputusan itu diambil bagi memberi fokus kepada anaknya yang masih kecil. Ditambah dia juga masih dalam proses menyesuaikan diri dengan pembahagian masa sebagai ibu serta seorang pelakon.
“Saya mahu memberi susu badan sepenuhnya kepada anak. Jadi, rasanya belum waktu untuk saya kembali aktif dalam dunia lakonan. Pihak pengurusan iaitu Astro Talent juga memberi kelonggaran untuk saya berehat terlebih dahulu dan hanya kembali bekerja pada tahun hadapan,” tuturnya.
Privasi
Beralih bicara soal privasi, sejak Yahaira masih di dalam kandungan lagi, Yusry telah menegaskan prinsip enggan mendedahkan anak kepada umum. Baginya prinsip tersebut wajar dihormati semua pihak memandangkan anak mereka bukan selebriti yang perlu dipertontonkan kepada umum.
Prinsip itu sememangnya digunakan oleh mereka kerana sejak lahir sehingga kini, hanya dua keping gambar anak Yahaira diberikan kepada media. Selebihnya hanya disimpan untuk tatapan peribadi.
Tegas Lisa juga, keputusan untuk tidak mendedahkan anak mereka tiada kaitan dengan hak penyiaran eksklusif mana-mana stesen televisyen. Sebaliknya keputusan tersebut diambil hasil daripada perbincangan mereka sebagai ibu bapa.
“Tiada sebarang program realiti atau hak penyiaran eksklusif, keputusan itu diambil hasil daripada perbincangan kami sebagai ibu bapa. Kami lebih selesa tidak terlalu mendedahkannya kepada umum kerana masih terlalu kecil.
“Namun, kami telah memperkenalkannya pada hari pertama dan ketujuh selepas kelahirannya. Rasanya itu sudah memadai,” kata Lisa.
Akui Lisa, keselamatan antara sebab utama pihaknya memilih untuk tidak terlalu mendedahkan puteri sulungnya itu. Kebimbangannya berasas kerana sebelum ini ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan beberapa gambar anak artis tempatan dalam sebuah laman web lucah.
Bukan itu sahaja, menurut Lisa sehingga kini terdapat tujuh akaun palsu di laman sosial menggunakan nama anaknya. Akaun palsu tersebut dibuat hanya berdasarkan dua keping gambar yang diberikan kepada media.
“Saya faham keperluan media sosial dalam kehidupan kita hari ini. Bagi saya, biarlah Yahaira menentukan sendiri sama ada dia mahu memiliki akaun laman sosial atau tidak suatu hari nanti. Perkara itu akan berlaku apabila dia sudah matang dan boleh berfikir baik buruknya memiliki sebuah akaun laman sosial.
“Saya tidak mahu terlalu banyak memuat naik gambar anak ke laman sosial kerana tidak tahu adakah normal buat psikologi seorang kanak-kanak yang sedang membesar melihat lambakan gambarnya sendiri di internet. Hal ini kerana gambar yang dimuat naik dalam akaun bersifat awam akan kekal di alam maya sampai bila-bila. Walaupun saya telah memadam gambar tersebut di akaun peribadi ia akan tetap boleh ditonton oleh orang lain dan anda tidak boleh lakukan apa-apa,” ujar Lisa panjang lebar.
Kemenangan
Selepas berehat selama dua bulan, kemunculan kali pertama Lisa pada malam penganugerahan itu disambut dengan kemenangan bermakna apabila membawa pulang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filem menerusi filem Dendam Orang Mati menewaskan empat pelakon hebat lain, Nora Danish, Liyana Jasmay dan Nadiya Nisaa dalam ASK 2015.
Kemenangan tersebut merupakan yang kedua dalam majlis anugerah berprestij itu. Sebelum ini, Lisa pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem menerusi filem Ombak Rindu pada ASK 2012. Katanya, kemenangan kali ini cukup berbaloi dengan usaha yang dicurahkan ketika penggambaran filem seram berkenaan.
“Sejujurnya saya tidak sangka akan menang malam ini sebab tidak diberitahu pun tentang pencalonan Top 5. Apa pun saya bersyukur dan menyifatkan ia sebagai rezeki anak. Kemenangan ini cukup bermakna kerana sepanjang kerjaya, watak Lena dalam filem Dendam Orang Mati paling memberi impak kepada diri saya sebagai pelakon.
“Ia merupakan watak yang sukar untuk dibawa. Mujurlah suami menyakinkan saya untuk buat juga filem dan akhirnya semua cabaran yang diharungi berbaloi apabila kerja keras diiktiraf pihak juri,” tuturnya.
Ujar Lisa lagi, dia berjaya membawa watak Lena dalam filem tersebut dengan baik kerana mendapat tunjuk ajar daripada aktres terkenal, Fauziah Nawi.
“Ibu Fauziah Nawi antara orang yang paling berjaya membentuk lakonan saya dalam filem tersebut. Tanpa tunjuk ajarnya, saya tidak rasa dapat membawakan watak Lena dengan baik. Disebabkan sentiasa menjalani penggambaran dalam keadaan gelap dan seram, perasaan saya juga terganggu. Saya terpaksa bertemu dengan anak buah sebagai terapi untuk melepaskan tekanan pada waktu itu,” ulasnya lagi.
Lebih bermakna, ia anugerah pertama yang diambil sendiri di atas pentas ASK 2015. Sebelum ini ketika memenangi anugerah pada ASK 2012, Lisa tidak dapat menghadiri acara anugerah berkenaan kerana terikat dengan komitmen teater Tun Siti Hasmah.
Selain Lisa, aktor Beto Kushairy terpilih sebagai pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Filem menerusi filem Gila Baby, manakala, filem Lelaki Harapan Dunia pula diangkat sebagai Filem Terbaik dalam ASK 2015.
Drama Lorong Kecil Ke Syurga arahan Raja Mukhriz pula mengungguli kategori drama apabila membawa pulang lima anugerah secara keseluruhan termasuk Drama Terbaik, Lakon TV Terbaik, Pengarah Drama Terbaik, Penyunting Drama Terbaik dan juga Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama (Raja Ilya).