SELEPAS lebih 20 tahun bermasam muka, Ogy dan Erma kini berbaik bukan sahaja kerana faktor usia, tetapi demi menjayakan sebuah naskhah pelaku seni yang mantap untuk tontonan umum.
Hasrat pengarah terkenal, Erma Fatima untuk memujuk aktres, Fauziah Datuk Ahmad Daud atau lebih dikenali sebagai Ogy berlakon dalam pementasan teater Mak Cun yang bermula dari 14 hingga 22 November ini akhirnya tercapai apabila tawarannya diterima.
Ironi, kata sepakat yang dicapai ini merupakan kerjasama kali pertama antara dua figura hebat itu selepas melalui fasa perang dingin akibat perbalahan yang dicetuskan menerusi filem Pengantin Popular pada tahun 1994.
Pada ketika itu, Erma yang merupakan pendatang baharu telah menegur cara lakonan dan penghayatan Ogy yang sudah memegang gelaran pelakon senior. Teguran tersebut telah menyebabkan Ogy tidak berpuas hati dan mereka terus tidak bertegur sapa sehingga baru-baru ini apabila Erma menyatakan hasratnya untuk Ogy berlakon bersamanya.
Erma, 47, serta Ogy, 53, bercakap mengenai penglibatan mereka dalam teater Mak Cun dan bagaimana hubungan antara mereka kembali pulih ketika satu sidang media khas watak Chombi di Restoran The Podium, Sri Hartamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Artis Meletop!: Erma, mengapakah anda mahu Ogy untuk berlakon dalam teater Mak Cun selepas hampir 21 tahun tidak bekerjasama?
Erma(E): Jawapannya mudah, Ogy seorang pelakon hebat dan saya sebagai pengarah inginkan dia dalam projek kali ini. Lagipun saya memang tulis watak Chombi dengan membayangkan Ogy dan jika beliau tidak bersetuju, memang ianya tidak akan diwujudkan langsung.
Adakah anda lega apabila Ogy mahu turut serta dalam teater ini?
E: Saya memang gembira kerana akhirnya kami bersatu semula dalam satu pentas selepas Pengantin Popular. Semoga ini menjadi satu laluan untuk hubungan kami menjadi semakin jernih selepas ini.
Bagaimana pula dengan Ogy sendiri? Mengapakah anda tergerak hati untuk menerima pelawaan Erma?
Ogy(O): Saya bersetuju kerana skrip yang diberikan menarik dan wataknya itu bukan sekadar kosong tiada makna. Selain itu, sebagai seorang pelakon, saya perlu menjadi seorang yang verstail. Sebelum ini, penonton sudah biasa melihat saya dalam drama, kini mereka berpeluang melihat saya memegang watak komedi di pentas teater. Lagipun Erma bersetuju dengan syarat yang diberikan, maka saya tiada sebarang halangan.
Apakah syarat yang anda tentukan untuk berlakon teater Mak Cun?
O: Sebenarnya bukan syarat cuma lebih kepada toleransi. Saya sudah mengikat kontrak untuk menjadi salah seorang tenaga pengajar bagi program realiti, Pencetus Ummah maka ruang masa yang kosong dalam jadual saya terhad tetapi Erma memahami situasi dan bersetuju. Untuk pementasan teater Mak Cun, saya tidak akan dapat menjayakannya pada hari Khamis, 19 November kerana bertembung dengan program siaran langsung Pencetus Ummah. Satu lagi ialah saya tidak mahu menyanyi kerana tidak ada masa untuk sesi latihan tambahan untuk bahagian nyanyian.
Rasanya semua orang tahu perselisihan faham yang terjadi antara anda dan Erma sebelum ini. Bagaimana permulaan yang membuatkan anda berbaik?
O: Kami berdua sudah matang dan berusia, tidak larat untuk terus bermasam muka. Mungkin perbalahan 20 tahun dulu disebabkan usia kami yang masih muda dan berdarah panas, lagipun sekarang tiada sebab untuk terus menyimpan dendam.
Berbalik pada Erma, sebelum ini, adakah anda pernah cuba untuk memulihkan hubungan dengan Ogy?
E: Saya tidak berhenti mencuba. Selepas Pengantin Popular, setiap kali berjumpa di mana-mana majlis, saya akan pergi bersalaman dengannya walaupun beliau bersikap endah tidak endah. Hal ini kerana saya hormatkan beliau sebagai artis senior dan Alhamdulillah, kini hubungan kami sudah pulih.
Anda berkata pengenalan Ogy dalam teater ini adalah kesinambungan untuk kemunculannya dalam drama Mak Cun musim kedua. Jadi, ini bermakna Ogy sudah bersetuju dengan tawaran itu?
E: Memang saya mahu teater Mak Cun menjadi titik pengenalan watak Chombi bagi drama musim kedua, namun saya masih dalam proses menyiapkan skrip untuk diberikan kepada Ogy. Selepas dia meneliti skrip dan menyemak jadual kerjanya, baru kami akan teruskan perbincangan tentang hal itu. Buat masa ini, saya gembira beliau akan menjayakan teater ini bersama kami semua.
Apakah harapan Ogy untuk pementasan teater Mak Cun ini?
O: Saya harap gabungan kami berdua akan mengembalikan magis yang pernah dihasilkan menerusi Pengantin Popular dahulu. Bukan dari sudut negatif tetapi dari segi keberkesanan dan keserasian antara saya dan Erma itu sendiri. Semoga penonton akan terhibur.