Azharina selesa solo tanpa lelaki


Azharina kini bahagia bersama anak angkatnya, Rahmat.

GEMERSIK suaranya masih sama walaupun hampir lima tahun menyepi daripada radar dunia seni suara tempatan sebelum membuat kemunculan semula tahun ini dengan single terbaharu berjudul Cinta Kita Selamanya.

Ternyata, kehidupan Azharina Azhar atau mesra disapa sebagai Nina, 31, telah banyak berubah setelah bercerai dengan usahawan Datuk Syukri Mohamed pada 2008.

Masih mempunyai hubungan baik dengan bekas suami, Nina bagaimanapun bahagia melalui kehidupan solo terutama dengan kehadiran anak angkat, Rahmat Azharin Aziz Mohd. Faisal yang kini sudah mencecah usia 14 bulan di sisi.

Dalam kesibukan menguruskan anak yang semakin membesar dan kerjaya seni yang berkembang semula, Nina yang sangat dikenali melalui lagu berhantu Elergi Sepi itu turut menguruskan beberapa perniagaan, membuatkan kehidupannya molek terisi, sekaligus tidak terlalu runsing memikirkan ketiadaan seorang lelaki dalam hidupnya.


Artis Meletop!: Apa Khabar Azharina? Bagaimana dengan kehidupan sekarang?

AZHARINA: Alhamdulillah. Sihat dan semakin bahagia dengan apa yang saya miliki.

Hampir tujuh tahun tanpa kehadiran seorang lelaki istimewa dalam hidup, adakah anda selesa dengan ‘kekurangan’ tersebut?

Pengalaman banyak mengajar saya menjadi seorang wanita yang lebih matang. Saya tidak pernah berasa terkurang atau terlebih dengan apa yang dikurniakan kepada saya sehingga ke hari ini. Soal ketiadaan lelaki dalam hidup, saya rasa itu tidak menjadi masalah. Apa yang penting sekarang adalah anak saya Rahmat. Dia perkara nombor satu dalam hidup saya.

Sehingga hari ini, ada atau tidak lelaki yang cuba memikat hati anda?

Bukannya tiada langsung. Tetapi belum ada lagi calon yang sesuai untuk dijadikan suami. Saya jenis wanita yang sangat mementingkan kerjaya dan saya tidak mahu bergantung kepada sesiapapun. Barangkali saya terlalu berdikari membuatkan ramai lelaki takut untuk mendekati saya (tertawa). Bagaimanapun, saya tidak akan menolak suratan takdir jika suatu hari nanti akan ada teman baharu dalam hidup saya. Insya-Allah.

Rahmat (anak) semakin hari semakin membesar, adakah anda tidak berasa khuatir dia membesar tanpa kasih sayang seorang bapa?

Saya dan keluarga memberikan kasih sayang secukupnya kepada Rahmat. Lagipun, bukan senang untuk mencari seorang lelaki yang sanggup menerima wanita yang terlalu sibuk dengan kerjaya dan mempunyai anak angkat. Insya-Allah, kalau ada lelaki yang saya berkenan nanti, saya tidak akan berahsia tentangnya.

Menjadi ibu bukan suatu tanggungjawab yang mudah. Walaupun Rahmat merupakan anak angkat, barangkali anda boleh kongsi pengalaman dan cabaran menjaga dan membesarkannya setakat ini?

Pada mulanya, memang susah dan saya akui memang kekok. Mujur saya mendapat bantuan dan tunjuk ajar daripada ibu saya. Lama kelamaan saya berasa selesa dan seronok menguruskannya. Alhamdulillah, hari demi hari saya merasa nikmat yang cukup indah menjadi seorang ibu. Rahmat sudah pandai macam-macam perkara dan tidak berhenti bercakap. Selain itu, dia sangat suka menyanyi.

Dalam tempoh ‘mendiamkan’ diri sebelum ini, anda dikatakan banyak bekerja di belakang tabir dan menjalankan perniagaan, boleh kongsi perkara tersebut?

Saya kini sedang giat mengusahakan empat perniagaan iaitu Azharina Entertainment, Top 3 Production, Glamedia Production dan sebuah syarikat hartanah, Nina & Co Resourses. Pada masa sama, saya juga merupakan Presiden merangkap Pengasas Kelab Artis 1Malaysia Sabah yang kini mempunyai seramai 700 orang ahli serata Malaysia.

Beralih terhadap perkembangan karier, apa yang terbaharu daripada anda?

Buat masa ini sedang menyanbung semula penggambaran dokumentari untuk siaran RTM berjudul Sabah Unik musim ketiga. Dalam pada itu, saya berasa sangat teruja dan bangga kerana dapat berkongsi pentas dengan artis kelahiran RTM seperti Rohana Jalil, Ramlah Ram dan ramai lagi dalam sebuah konsert Alumni Bintang yang akan disiarkan tidak lama lagi.

Previous Post Next Post