TEGAS Tya, dia tidak pernah menjadikan Siti Nurhaliza sebagai tiket untuk dia melebarkan sayap dalam bidang seni di Malaysia.
Tuah atau kebetulan, genap sebulan aktres kelahiran Indonesia, Tya Arifin, 21, bernikah dengan Asyraf Khalid dan berpindah ke Malaysia, dia sudah mencuri perhatian pengarah terkenal tanah air, Erma Fatima.
Terkejut namun dalam masa yang sama teruja, pemilik nama sebenar Nurtria Wulandari Ariffin itu percaya tawaran yang diperoleh daripada Erma bagi menjayakan teater Bawang Putih Bawang Merah di pentas Istana Budaya sebagai rezeki selepas berkahwin.
Menolak sebarang spekulasi bahawa dia diterima dalam pementasan itu kerana statusnya yang juga merupakan menantu tiri penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, Tya menegaskan dia tidak mahu hal peribadi dicampur aduk dengan soal kerjaya.
Artis Meletop!: Adakah Tya rasa menjadi sebahagian daripada keluarga yang mempunyai pengaruh kuat dalam industri hiburan Malaysia memudahkan permulaan kerjaya seni anda di sini?
TYA: Pertamanya, saya bersyukur kerana dikurniakan keluarga mertua yang turut aktif dalam industri seni dan mereka boleh menyokong serta menasihati saya yang masih baru di sini. Namun, untuk mengatakan itu adalah faktor saya senang mendapat tawaran, kenyataan tersebut tidak tepat. Malah bagi saya, jika latar belakang seseorang pelakon itu sudah gah, itu merupakan satu cabaran besar buatnya dan bukan tiket bersenang lenang.
Apakah cabaran yang anda maksudkan?
Orang di luar sana pasti mengharapkan hasil lakonan saya sehebat profil yang dicanang-canang, andai benar saya menggunakan status isteri kepada Asyraf untuk mendapatkan tawaran. Tetapi saya tetap harus menjaga nama baik keluarga dan suami, maka saya sentiasa cuba berikan yang terbaik dalam apa sahaja peluang yang diberikan. Tiada istilah layanan istimewa yang wujud disebabkan pertalian keluarga antara saya dengan Mak Iti (panggilan untuk Siti Nurhaliza).
Adakah anda sememangnya ingin terus bergiat secara aktif dalam dunia hiburan selepas berkahwin dengan Asyraf?
Jika mengikut perancangan, saya memang mahu membina karier di Malaysia, cuma perlu disesuaikan dengan status saya sebagai seorang isteri. Meskipun sudah berpindah ke sini tetapi undangan dari Indonesia masih lagi diterima dan saya akan berulang-alik ke sana dengan keizinan Asyraf.
Asyraf ada meletakkan sebarang syarat jika anda mahu meneruskan kerjaya sebagai aktres selepas berkahwin?
Tidak, Asyraf tidak meletakkan syarat mutlak malah dia ialah individu paling banyak menyokong kerjaya saya.
Cuma kesedaran untuk menjaga batas-batas tingkah laku ketika berlakon itu wujud secara semula jadi dalam diri memandangkan sekarang perlu menjaga hati banyak pihak. Seperti contoh, saya hanya akan menerima tawaran berlakon jika tidak melibatkan jadual penggambaran yang padat dan mengambil masa yang lama.
Selain itu, mungkin saya memberi perhatian dalam bidang nyanyian kerana komitmennya tidak seberat berlakon.
Berbalik kepada teater Bawang Putih Bawang Merah, boleh ceritakan sedikit tentang watak anda?
Saya memegang dua watak yang berbeza iaitu Melur selaku kawan baik Bawang Putih dan menjadi Bawang Merah untuk dua hari pementasan iaitu pada 5 dan 6 Disember bagi menggantikan Fathia yang terikat dengan urusan lain pada tarikh tersebut.
Ini merupakan pertama kali saya membawa dua watak berbeza dalam pementasan sama dan itu satu tugasan yang cukup mencabar kerana perlu menjadi Melur yang antagonis, kemudian terus bertukar menjadi Bawang Merah yang protagonis. Namun, saya bersyukur kerana Erma banyak membantu dalam penghayatan watak dan rakan pelakon lain turut memberikan sokongan sekali gus menambahkan keyakinan di pentas.
Bagaimanakah pula lontaran dialog? Adakah sukar untuk mengurangkan loghat Indonesia ketika bercakap?
Saya bernasib baik kerana teater ini adalah naskhah Melayu purba, jadi majoriti sebutan dialog dalam skrip adalah bahasa Melayu baku yang tidak jauh beza dengan loghat Indonesia.
Cuma saya perlu berhati-hati dalam intonasi suara agar tidak tersalah lenggok ketika berdialog. Mak Iti banyak membantu dalam membetulkan cara percakapan saya untuk teater ini.