Farid Kamil: Selamat tinggal MIG!


SETELAH bernaung selama 17 tahun di bawah syarikat Metrowealth International Group (MIG), pelakon, Farid Kamil mendedahkan kontraknya bersama syarikat milik penerbit Mejar (K) David Teo bakal berakhir.

Menurut Farid yang juga pengarah, kontraknya bersama MIG akan berakhir penghujung tahun ini dan dia tidak akan memperbaharuinya.

“Alhamdulillah saya punya kontrak dengan MIG dah habis hujung tahun ini. Saya juga tidak sambung (kontrak) walaupun setelah 17 tahun berada di bawah MIG kerana mahu fokus pada syarikat sendiri.

“Alasan saya untuk meninggalkan MIG juga kerana ketika ini tidak ada filem bakal diterbitkan dan tidak melibatkan kerjasama dengan saya, justeru waktu ini tepat untuk akhiri kontrak,” katanya kepada Zass ketika ditemui, baru-baru ini.

Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 34, juga berkata, penghijrahannya itu disebabkan mahu mencuba haluan baharu dengan pendekatan berbeza.

“Saya fikir perkembangan harta intelek suatu benda yang patut dititik beratkan. Selain itu, saya lihat skrip saya harus ada hala tuju baharu kerana saya mahu lihat graf kedudukan saya ke peringkat dan sudut pandang berbeza.

“Kenapa setelah 17 tahun (berhenti) pula, kerana tempoh itu sudah cukup bagi saya memperoleh pengalaman bersama sebuah syarikat produksi yang sangat prolifik, yang punyai mutu pembikinan filem dari segi kuantiti yang begitu hebat, drastik dan mempunyai rekod penjualan filem tertinggi.

“Oleh itu, apabila saya berada di dalamnya, banyak pengalaman dapat dirasai dan diraih. Justeru saya tidak berasa berat hati untuk meninggalkannya,” katanya.


Pelakon Anak Halal ini juga memberitahu, David Teo menyokong tindakannya dan memberi ruang untuknya membuka peluang baharu dari segi kedudukan dalam industri terutama menjadi seorang penerbit.

“Sejak tertubuhnya syarikat saya sendiri, Skygate One Sdn Bhd, hasrat menamatkan kontrak bersama MIG saya sampaikan setahun lalu.

“Bagaimanapun, saya masih memerlukan tunjuk ajar berterusan daripada MIG, begitu juga dengan kerjasama bersama mereka kerana kami masih dalam industri sama, tetapi kerjasama dalam ruang kerja berbeza,” katanya.

Berkongsi perkembangan syarikatnya itu, Farid yang baharu menerima kehadiran cahaya mata kedua pada 19 November lalu diberi nama Nur Aurora memberitahu, dia sedang dalam rangka memulakan perjuangan menghasilkan filem dan drama.

“Insya-ALLAH, kita dalam proses itu bersama beberapa lagi rakan kongsi saya yang juga orang saya kenal dalam industri.

“Sekarang saya tengah mengumpul naskhah terbaik untuk saya memulakan kerja belakang tabir dan tahun depan adalah tahun kemunculan semula saya dalam dunia pengarahan.

“Tetapi bidang lakonan tidak akan saya tinggalkan, ia akan berjalan seiring namun dalam nada berbeza,” katanya yang kini sudah memainkan 41 watak dalam 41 filem.

Cabaran Langit Cinta

Beralih mengenai lakonannya, pelakon Remp-it ini bakal muncul dengan filem terbaharu arahan Osman Ali iaitu Langit Cinta yang bakal menemui penonton, 7 Januari depan.

Akui teruja dengan tayangan filem itu, kata Farid, Langit Cinta menampilkan sisi berbeza lakonannya.

“Saya membawakan watak Budiman, seorang pemuda kampung yang dibesarkan di kalangan nelayan setempat.

“Wataknya agak tipikal kerana punyai cinta agung terhadap seorang wanita bernama Khadeja yang dimainkan oleh Nur Fazura,” katanya.

Menurut Farid, demi menjayakan watak sebagai nelayan, dia terpaksa berjemur di bawah matahari.

“Abang Osman sendiri apabila kali pertama bertemu saya, dia kata saya tak sesuai jadi nelayan.

“Oleh itu, sebelum mula penggambaran, saya minta krew sediakan bot untuk saya berjemur di tengah laut bagi mendapatkan kulit yang sesuai.

“Alhamdulillah akhirnya, kulit saya menjadi seperti dikehendaki pengarah,” katanya.

Mengulas seandainya filem Langit Cinta akan menjadi perbandingan dengan filem arahan pengarah sama berjudul Ombak Rindu, Farid berkata, perkara itu tidak mungkin berlaku.

Previous Post Next Post