Harapan cinta Nabila Huda


Kahwin - Nabila berharap perkahwinan keduanya dengan kekasih yang sudah dikenali sejak dua tahun lalu akan menjadi pernikahan terakhir dalam hidupnya.

Ketika zaman pelakon Nabila Huda Suhaimi, awal-awal bertatih dalam dunia seni, cerita-cerita kontroversi itu seperti aur dengan tebing rapatnya dengan kehidupan anak penyanyi rock terkenal tanah air, Amy Search itu.

Seiring masa bergulir dan peningkatan usia, wanita yang mesra disapa Abil itu menjadi semakin matang dalam mengemudi dan perlahan-lahan belajar menikmati kehidupan yang bebas daripada gosip murahan.

Mencecah usia 31 tahun pada tanggal 2 Disember (kelmarin), Abil berkata, dia sudah berasa lelah untuk mengejar sorotan lampu populariti ketika zaman mudanya dan mendambakan persekitaran yang lebih menenangkan jiwa.

Ditambah pula dengan anak tunggalnya, Keisha Laila, 5, yang sedang dalam fasa membesar, Abil tidak mahu tumpuan dan fokus dihamburkan semata-mata pada kerjaya.

“Keutamaan saya adalah Keisha kerana saya tidak mahu dia berasa sepanjang kehidupan kanak-kanaknya, saya tiada untuk memimpin tangannya.

“Jika dahulu, saya boleh mengambil empat jenis tawaran kerja dalam satu masa, sekarang saya akan hadkan kepada satu sahaja. Selebihnya adalah waktu bersama anak dan diri sendiri,” ujarnya ketika ditemui di sesi latihan teater Bawang Putih Bawang Merah di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Perkahwinan terakhir

Mengalih topik bicara kepada hal yang lebih peribadi, ledak ketawa bintang filem Gamatisme itu meletus dengan tidak semena-mena sebelum meraut wajahnya yang sudah merona kemerahan.

Empat tahun hidup bersendirian tanpa kehadiran insan bersama suami, ternyata khabar yang menyapa hujung minggu lalu tentang berita pernikahannya sekitar akhir bulan ini mengundang rasa gembira para peminat.

Umum mengetahui, dalam beberapa tahun ini, hati wanita berkulit hitam manis ini sudah dimiliki, cuma rahsia cintanya itu dikatup kemas untuk tatapan sendiri.

Baru kini, setelah hampir dua tahun menyulam kasih, Abil mengesahkan dia kini dalam perancangan untuk mematrikan hubungannya itu dengan satu ikatan pernikahan.

Walau bagaimanapun, wanita masih selesa mengunci mulut tentang identiti sebenar bakal suami dan tarikh perkahwinan yang tepat sebelum rencananya itu benar-benar sudah dipastikan.

“Saya tidak berniat mahu berahsia apatah lagi menyembunyikan berita pernikahan daripada orang ramai kerana itu adalah satu hal yang baik.

“Cuma saya masih dalam proses menyelesaikan beberapa perkara yang lebih penting sebelum bersedia bercakap tentang hal pernikahan. Saya berharap peminat di luar sana tidak berhenti mendoakan agar jodoh saya sampai, tidak kira dalam tahun ini atau tahun hadapan,” katanya yang berjanji akan mengumumkan berita bahagia itu apabila tiba masanya.

Tatkala ditanya sama ada kegagalan rumah tangga dahulu masih lagi menghantui dirinya, Abil pantas berkata dia tidak pernah melihat perkahwinan dan perceraiannya sebagai satu kesilapan.

Kata Abil, tiada apa yang hendak disesalkan kerana dia dikurniakan seorang cahaya mata yang sempurna sifatnya dan belajar memperbaiki kelemahan diri selepas berpisah dengan bekas suami, Zaidi Zailani.

Barangkali dia lebih berhati-hati selepas menjanda, itu namun tidak pernah terlintas di fikirannya untuk terus menutup pintu hati kepada ikatan pernikahan.

“Siapa yang tidak mahu berumah tangga, lebih-lebih lagi perempuan kerana lumrahnya memang mahu menyayangi dan disayangi. Kegagalan perkahwinan dahulu itu saya cuma anggap tiada jodoh dan tidak menyimpan sebarang dendam.

“Namun, seandainya perkahwinan kali ini terjadi, saya benar-benar berdoa agar ia menjadi jodoh terakhir dalam hidup,” luahnya sambil menguntum senyuman penuh harapan.

Pilih skrip

Berbalik kepada soal karier, jika dilewati tahun 2015 yang hanya berbaki kurang sebulan sahaja lagi sebelum melabuhkan tirai, Abil tidak lagi muncul di kaca televisyen sekerap dahulu.

Kata Abil, selektif itu perlu kerana dia kini mementingkan skrip yang ditawarkan adalah berkualiti dan enggan berlakon sekadar demi bayaran.

Bukan mahu mendabik dada sebagai pelakon yang penuh ilmu di dada, Abil lebih terbuka untuk mencuba watak yang berbeza kerana setiap karakter akan memberikan ilmu berlainan.

Hal itu termasuk pembabitannya dalam teater Bawang Putih Bawang Merah. Muncul dengan watak Nenek Kebayan yang perlu disolek menjadi tua, berjalan bongkok dan bersuara garau, Abil menyifatkan ia sebagai karakter sesuai buatnya yang kini selektif.

“Walaupun watak Nenek Kebayan hanya akan muncul untuk dua babak sahaja, tetapi itu sudah cukup memberikan keseronokan kerana ianya bukan watak klise yang selalu saya bawa.

“Cabaran karakter ini pada saya ialah untuk berdialog menggunakan suara garau. Jika tersalah teknik, perkataan yang keluar dari mulut saya menjadi tidak jelas didengar,” katanya yang ditemani Keisha yang turut menjadi salah seorang pelakon ekstra teater tersebut.

Bercakap mengenai pendedahan yang diberikan kepada puterinya dalam dunia seni, Abil berkata, buat masa sekarang dia tidak mahu melihat perkara itu sebagai sesuatu yang serius memandangkan Keisha masih kecil.

Tambah Abil, penglibatan Keisha dalam dua pementasan teater sebelum ini iaitu Mak Cun dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck bukan satu paksaan tetapi di atas keinginan anaknya sendiri.

Sebagai ibu, dia membenarkan penglibatan itu kerana Keisha tidak kelihatan kekok malah sangat gembira setiap kali membuat persembahan.

“Saya kira sekarang dia berasa seronok kerana tidak perlu menghafal skrip dan tidak merasai perasaan gemuruh di atas pentas.

“Untuk memberi laluan minatnya dalam bidang seni, mungkin perlu menunggu apabila dia sudah besar sedikit dan dari situ barulah diputuskan apa yang benar-benar diingininya,” ujarnya lagi.

Previous Post Next Post