Malam bermakna Faizal Tahir


SELAMA sembilan tahun bergelar anak seni, Faizal menyifatkan peluangnya beraksi di atas pentas DFP sebagai penghargaan terbesar yang pernah diterimanya.

SUDAH lama sosok tubuh lelaki tampan itu tidak berdiri di atas sebuah pentas besar berhadapan dengan ratusan peminat setianya dan mendendangkan barisan lagu hit yang pernah mewarnai dunia hiburan tanah air.

Malam 30 November lalu menjadi saksi, kira-kira 900 penonton hadir ke Dewan Filharomik Petronas (DFP) agi menonton persembahan berprestij daripada penyanyi Faizal Tahir, One Night Only Faizal Tahir.

Dimulakan dengan kemunculan penyanyi Alif Satar yang bertindak selaku hos membuka acara, Faizal tidak menunggu lama untuk muncul di hadapan peminatnya selang beberapa minit selepas itu.

Tepat pukul 8.35 malam, Faizal yang segak berkaca mata hitam dan menyarung jaket kulit berwarna merah muncul di atas pentas sambil disambut dengan sorakan gemuruh daripada peminat yang hadir.

Menggunakan konsep temu ramah di atas pentas di sebelah kanan pentas, Faizal sempat diusik oleh Alif mengenai perjalanan karier seninya sejak sembilan tahun lalu.

Bijak memilih lagu rancak berjudul Batu Dan Golek sebagai pembuka tirai persembahan, adrenalin penyanyi berusia 40 tahun itu benar-benar mengujakan meskipun tidak menggunakan khidmat orkestra.


Disambung dengan dua buah lagu iaitu La La Di Dum dan Bencinta tanpa henti, perjalanan konsert pada malam itu diselang-seli dengan perbualan usik-mengusik antara Faizal dengan Alif yang mengundang ketawa daripada penonton.

Meskipun hanya 12 buah lagu dipersembahkan, namun persembahan yang diadakan di DFP tersebut bakal menjadi titik tolak kepada peluang persembahan berskala besar buat Faizal selepas ini.

Dalam masa sama, disebabkan had lagu yang ditetapkan, peminat berasa tidak puas dengan persembahan penyanyi yang cukup meminati ikon adi wira Superman itu.

Bagaimanapun, tindakan menjemput dua penyanyi muda berbakat, Elizabeth Tan dan Aziz Harun sebagai tetamu mengubat sedikit resah peminat.

Aziz, membawa lagu hitnya berjudul Beautiful dan Elizabeth pula berduet bersama Faizal menerusi single mereka yang kini sedang hangat diputarkan di corong radio, Setia.

Selain itu, Faizal turut mengundang tetamu istimewa iaitu komposer terkenal Aubrey Suwito sebagai pemain piano yang mengiringi persembahan lagu medleynya, Selamat Malam, Sampai Syurga dan Semesta.

Cuma, dari pemerhatian, ada dua faktor yang membuatkan konsert pada malam itu nampak sedikit longgar.

Batas pergerakan dan persembahan Faizal agak tersekat kerana keadaan pentas yang kecil dan meminimumkannya untuk melontarkan sepenuh aura kepada semua penonton.

Bukan menidakkan kehebatan DFP selaku dewan yang cukup gemilang untuk anak seni membuat persembahan di situ, tetapi jika dikira soal kebebasan dan ruang, mungkin kekurangan itu boleh diubah sekiranya dia berpeluang membuat persembahan berskala lebih besar selepas ini.

Kedua, ini merupakan kali pertama kedua-dua ibu bapanya hadir memberi sokongan dan menonton persembahan selama sembilan tahun bergelar anak seni.

Barangkali kerana faktor itu, ada jarak pemisah yang membuatkan lontaran persembahan Faizal tersekat.

Bagaimanapun, persembahan tersebut merupakan malam keemasan buat Faizal sendiri sementelah titian perjalanan kariernya selama sembilan tahun akhirnya dijulang di atas pentas berprestij sebegitu.

Menutup tirai dengan lagu Assalamualaikum, Faizal membuktikan, sembilan tahun ‘disepak terajang’ dalam lapangan seni membakar semangat untuk menjadikan dirinya penghibur berkualiti.

Previous Post Next Post