Melissa Saila tunai hasrat terakhir ibu


BELUM pun hilang kesedihan di atas pemergian pelawak terkenal, Yus Jambu, industri seni sekali lagi dikejutkan dengan berita sedih mengenai Seniwati Mariani yang menghembuskan nafas terakhirnya jam 7.32 malam, Selasa lalu.

Allahyarham meninggal dunia di kediaman anaknya di Sentul akibat kanser usus yang dihidapinya sejak setahun lalu.

Jenazah Allahyarham Mariani atau nama sebenarnya, Mariam Ismail, 82, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang di sini bersebelahan pusara adiknya, Allahyarham Saloma kira-kira jam 11.30 pagi Rabu.

Anak Allahyarham, Melissa Saila yang ditemui usai pengebumian ibunya, melahirkan rasa syukur kerana sempat menunaikan permintaan terakhir ibu tercinta.

"Tahun lepas, mummy ada luahkan hasrat untuk pergi ke Studio Jalan Ampas, Singapura. Tapi dek kerana kesihatan mummy kurang baik, kami minta dia bersabar.

"Namun Alhamdulillah, Mei lalu, kami sekeluarga sempat bawa mummy ke sana dan arwah sangat teruja.

"Ketika berada di sana, mummy sempat berkongsi cerita dan informasi mengenai setiap lokasi di studio itu, mummy dah macam pemandu pelancong kami,” katanya.


Berkongsi antara kenangan akhirnya bersama Allahyarham, wanita berusia 43 tahun itu berkata, rutinnya membawa Allahyarham berubat setiap bulan di Tanjung Karang, menjadi antara momen yang tidak mungkin dilupakan.

“Setiap bulan saya akan bawa mummy berubat secara tradisional di Tanjung Karang dan selalunya kami pergi berdua sahaja.

"Itulah antara momen berharga yang akan menjadi kenangan buat saya sampai bila-bila," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi anak Allahyarham yang juga penyanyi dan pelakon, Rozita Rohaizat berkata, walaupun doktor telah memaklumkan keadaan Allahyarham, namun dia tetap berharap yang terbaik dan memberi kekuatan kepada ibunya sehingga nafas terakhirnya.

“Saya masih menyuapnya makanan walaupun saya tahu ia tidak akan memberi banyak perubahan kepada keadaannya ketika itu,” katanya.

Kata Rozita, dia sangat bersyukur kerana berada di sisi ibunya menjalani detik-detik akhir hidup.

“Lebih kurang jam 6 pagi (Selasa) saya dimaklumkan keadaan mummy yang semakin tenat dan saya terus menuju ke rumah kakak.

“Seolah-olah memberi petanda, ketika kami sekeluarga membacakan surah Yasin tiba-tiba kami terbau harum dalam bilik sekejap.

“Jadi kami bersedia dengan segala kemungkinan dan akhirnya mummy pergi juga petang itu,” katanya sebak.

Sejak jam 7 pagi (Rabu), rakan-rakan artis sudah pun menunggu di masjid untuk memberi penghormatan terakhir.

Antara yang kelihatan ialah Datuk Seri Shah Rezza, Datin Nina Juren, Datin Seri Umie Aida, Ebby Yus, Lydiawati, Zaiton Sameon, Afdlin Shauki, U-Wei, Hail Amir, Uji Rashid, A Samad Said, Noor Kumalasari dan Rosnah Mat Aris.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada seniwati itu ialah Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim dan isteri, Puan Sri Masnah Rais.

Heroin Melayu Klasik

Mengimbas sejenak permulaan kariernya, Mariani mula melibatkan diri dalam bidang seni seawal usia 17 tahun selepas memenangi pertandingan Ratu Cantik Singapura pada tahun 1951.

Ketika itu, lakonannya menerusi filem Chemburu arahan S Ramanathan mendapat perhatian umum kerana watak antagonis yang dilakonkannya berjaya memberi kesan kepada penonton.

Selepas itu, pelakon wanita yang mendapat jolokan heroin filem Melayu klasik ini terus mendapat tempat di hati penerbit, pengarah dan peminat seni sehingga ditawarkan berlakon menerusi pelbagai filem.

Antara filem popular yang dibintanginya termasuklah Masam-masam Manis, Putus Sudah Kasih Sayang dan Tiga Abdul.

Selain berlakon, Mariani juga berbakat dalam bidang nyanyian. Antara lagu popularnya adalah Darah Muda.

64 tahun bergelar pelakon tidak pernah membuatkannya jemu terhadap kariernya dan Allahyarham terus berjasa kepada industri seni sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Ia terbukti apabila dalam usia yang semakin lanjut, Allahyarham tetap aktif berlakon menerusi beberapa filem sehingga kini.

Dilahirkan pada 20 April 1933 di Tanjung Pagar, Allahyarham menerusi tiga perkahwinannya dikurniakan 13 anak.

Previous Post Next Post