Knock Me Out sisi sebenar Afgan


PENERIMAAN single baharunya Knock Me Out diputarkan di radio dan diminati ramai membuatkan Afgan menyimpan impian untuk terus menyajikan lebih banyak lagu bergenre R&B pada masa akan datang.

SEKITAR tiga bulan lalu, kedatangan penyanyi kacak Afgan ke negara ini adalah untuk mengadakan persembahan Konsert Suara Hati Afgan: Live In Malaysia 2015 di Plenary Hall, KLCC.

Kini, kehadirannya sekali lagi ke sini kerana sedang dalam rangka promosi single yang sedang hangat dimainkan di corong-corong radio tempatan ketika ini berjudul Knock Me Out.

Ironinya, lagu tersebut sudah pun berada di pasaran Indonesia sejak awal tahun lalu, namun lagu berkenaan hanya mula hangat di Malaysia selepas Afgan mendendangkan lagu ciptaan Taufik Batisah itu semasa membuat persembahan Konsert Suara Hati Afgan: Live In Malaysia 2015 sekitar September lalu.

“Sambutannya di Indonesia dan Malaysia sungguh luar biasa dan mengejutkan saya. Ternyata lagu-lagu berentak pop dan R&B sangat pantas berkembang di Malaysia. Jadi, ini merupakan peluang keemasan untuk saya menonjolkan rupa sebenar,” ujarnya ketika ditemui dalam satu sesi temu bual di Hotel Royal, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kata jejaka berusia 26 tahun itu, semenjak lagu Knock Me Out semakin dikenali, ramai peminatnya mempersoalkan mengapa dia tidak membawakan lagu berentak seperti itu sejak dahulu lagi.

Ujarnya: “Untuk mendapatkan lagu yang benar-benar menggambarkan diri sebenar, ibarat mencari jodoh. Susah dan harus menanti lama untuk mencari yang sesuai dengan diri kita.

“Kalau dahulu, agak susah untuk mendapatkan lagu sebegitu, tetapi percubaan saya dengan beberapa buah lagu bergenre balada pop R&B seperti Terima Kasih Cinta, Pesan Cinta dan Jodoh Pasti Bertemu diterima dengan baik sekali.



SELEPAS kejayaan konsertnya di Malaysia pada September lalu, Afgan sekali lagi bakal muncul dengan edisi kedua konsert tersebut untuk peminatnya di Singapura pada Mac tahun hadapan.

“Sekarang, saya sudah jumpa lagu yang saya inginkan sejak dahulu. Malah, tidak salah kalau dikatakan lagu ini sebenarnya membuktikan bahawa saya sebenarnya seorang pembawa dan peminat genre R&B. Susunan muzik, lirik dan melodi yang berentak neo, inilah yang saya suka dan mahu,” tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Afgan bakal bertandang ke Singapura untuk Konsert Suara Hati Afgan: Live In Singapura 2016 pada Mac tahun hadapan.

Katanya, sambutan hangat yang diterimanya ketika mengadakan konsert di Kuala Lumpur merupakan alasan utama untuk mengadakan konsert di Kota Singa pula.

“Selepas berakhirnya Konsert Suara Hati Afgan di Malaysia tempoh hari, ramai peminat sudah bertanya bila lagi saya mahu buat volume kedua konsert tersebut.

“Demi tidak menghampakan peminat, jadi saya dan pihak pengurusan konsert bersetuju untuk ke Singapura. Insya-Allah, kalau diizinkan selepas itu mungkin saya akan menjelajah ke negara lain seperti Brunei dan sebagainya,” ujarnya ceria.

Jika diteliti, perjalanan karier anak muda kelahiran Jakarta, Indonesia itu berlalu dengan penuh tenang dan sukses, sekali gus menjadikannya antara penyanyi muda yang berjaya meraih kejayaan.

Bukan tidak bersyukur, tetapi Afgan mengakui, masih belum cukup puas mengejar impian. Katanya, selepas ini dia bermimpi untuk menghasilkan sebuah album Inggeris dan menembusi pasaran luar negara.

“Harapnya mimpi itu akan jadi nyata. Tapi, ini bukan bermakna saya seorang yang tamak. Cuma, apa yang saya ada hari ini sebenarnya masih kecil berbanding impian sebenar.

“Tapi, saya harus faham yang perkara itu memerlukan masa dan proses. Walaupun sebenarnya saya agak lelah dengan kerja yang padat, tetapi saya okey sebab ini rezeki. Jadi, nikmati saja sehingga saya mencapai kepuasan maksimum,” tuturnya gembira.


Previous Post Next Post