Tema Diraja British jadi pilihan Anzalna Nasir


LIMA tahun menyulam kasih, akhirnya pelakon jelita, Anzalna Nasir mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya, Hanif Zaki pada 21 Februari tahun depan. Pasangan itu memilih Masjid Negara Kuala Lumpur sebagai lokasi yang menjadi saksi detik bersejarah itu. Pengumuman bahagia itu dibuat Anzalna, 27, secara langsung pada Ahad lalu menerusi sebuah program hiburan popular, Melodi.

Anzalna yang ditemui dalam sidang akhbar selepas pengumuman tersebut meluahkan rasa syukur kerana akhirnya hubungan mereka bakal disimpulkan dalam sebuah ikatan yang sah.

“Alhamdulillah, jodoh kami panjang. Kalau ikutkan sudah tiga tahun saya bersedia untuk berkahwin, tetapi disebabkan kesibukan kerja, perkara itu terpaksa ditangguhkan terlebih dulu.

“Sepanjang tahun ini, saya sibuk dengan drama Memori Cinta Suraya yang memakan masa hampir setahun. Saya bersyukur kerana dikurniakan kekasih yang amat memahami kerjaya sebagai pelakon. Dia sanggup menunggu bertahun-tahun untuk saya membina kerjaya terlebih dulu sebelum kami berkahwin,” ujar Anzalna sambil menjeling manja ke arah Hanif yang berada di sisinya.

Dalam pada itu, Hanif yang merupakan pekerja bahagian pemasaran sebuah syarikat swasta menjelaskan, meskipun mereka telah bercinta selama lima tahun, tetapi tempoh perkenalanan itu sebenarnya sudah menjangkau satu dekad.

Baginya, Anzalna merupakan wanita yang istimewa kerana cukup serius dan setia dalam perhubungan. Perkara yang tidak boleh dilupakan sepanjang bergelar kekasih pelakon popular itu, dia telah dibawa berjumpa ibu bapa Anzalna selepas hanya dua hari bercinta.

“Memang terkejut apabila dia membawa saya berjumpa ibu bapanya, sedangkan waktu itu kami baru bercinta selama dua hari. Sangkaan saya, dia seorang pelakon mungkin kehidupannya agak bebas, tetapi meleset sebab baru sahaja bercinta dia terus minta restu keluarga.

“Daripada situ, saya sudah boleh lihat dia serius dalam hubungan kami. Selain itu, dia seorang yang cukup setia. Biasalah kerjaya sebagai pelakon pelbagai jenis orang cuba mendekatinya. Ada yang berprofil tinggi, tetapi Anzalna masih setia bersama saya, itu yang membuatkan saya yakin dia wanita paling tepat untuk dijadikan isteri,” luah Hanif yang sudah meminati Anzalna sejak 10 tahun lalu.

Anzalna yang tersipu malu, membalas bahawa sudah menjadi kewajipannya sebagai anak perempuan untuk memperkenalkan semua rakan, terutamanya kawan lelaki kepada kedua ibu bapa.



Anzalna memilih untuk tidak mengadakan majlis pertunangan sebaliknya diteruskan dengan pernikahan sahaja.

Katanya, restu ibu bapa amat penting sebelum dia bersedia mengambil langkah seterusnya dalam sesebuah hubungan.

“Apabila ibu bapa sudah restu barulah saya yakin untuk melangkah ke tahap seterusnya dalam hubungan cinta. Sebab itu awal-awal saya sudah bawa Hanif jumpa keluarga, jika mereka tidak restu, secara automatik hubungan itu tidak akan menjadi,” ujar Anzalna.

Apabila disoal tentang keistimewaan Hanif di matanya, Anzalna menyifatkan lelaki itu sebagai seorang yang amat setia dan sentiasa berada di sisinya pada saat sukar mahupun senang. Bukan itu sahaja, lelaki itu juga amat memahami kecintaanya dalam bidang lakonan.

“Dia setia dan seingat saya, sepanjang lima tahun bercinta, hubungan kami tidak ada sebarang masalah walaupun agak kerap berjauhan. Kami ada kepercayaan yang tinggi antara satu sama lain. Jadi, tidak pernah timbul sebarang isu yang merumitkan keadaan,” kata Anzalna.

Idam perkahwinan diraja

Bercakap tentang majlis perkahwinannya yang bakal mendapat liputan secara eksklusif oleh stesen televisyen TV3 menerusi beberapa program seperti Melodi, Mahligai Cinta, Nona dan Wanita Hari Ini, Anzalna menjelaskan, dia bukan berniat untuk menjual momen hari bersejarahnya, sebaliknya hanya mahu berkongsi kegembiraan dengan semua peminat.

Katanya, walaupun terbuka menerima penajaan, tetapi tetap bersifat selektif supaya perkahwinannya kelak masih sebuah majlis yang diimpikan selama ini.

Mengikut perancangan, majlis resepsi perkahwinannya akan diadakan pada 27 Februari di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. Untuk majlis tersebut, dia telah memilih perkahwinan Diraja British sebagai tema.

Terang Anzalna, tema itu dipilih kerana dia cukup meminati isteri kepada pewaris kedua takhta England, Putera William, Kate Middleton. Lebih menarik Anzalna turut berkongsi tarikh lahir dengan Middleton iaitu pada 9 Januari.

“Kate Middleton merupakan idola saya, jadi saya memang mengimpikan sebuah majlis perkahwinan bertemakan perkahwinan Diraja British. Bukanlah saya inginkan sebuah majlis besar-besaran, cuma temanya sahaja kerana resepsi pada 27 Februari itu khas untuk keluarga terdekat dan pihak media,” ujarnya tentang majlis resepsi yang dianjurkan bersama pihak keluarga lelaki itu.

Bagaimanapun, Anzalna tetap tidak melupakan peminatnya apabila sebuah lagi majlis resepsi pada 3 April di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur diadakan khas untuk mereka yang sentiasa menyokong kerjayanya sebagai pelakon.

“Sebuah lagi majlis resepsi akan diadakan untuk peminat dan saya memilih untuk menggunakan tema tradisonal. Jadi, dapatlah merasa sebuah perkahwinan moden dan tradisonal. Bagi saya peminat juga berhak untuk terlibat dalam hari bahagia kami,” tuturnya.

Tunai umrah

Beralih bicara tentang perancangan masa depan mereka, Anzalna menjelaskan bakal suaminya itu tidak pernah menghalangnya daripada terus aktif sebagai pelakon meskipun selepas berkahwin.


Anzalna menyifatkan tahun 2016 merupakan waktu yang tepat untuknya menamatkan zaman bujang selepas dia dan bakal suami mempunyai kerjaya yang stabil.

Bagaimanapun, katanya, apabila bergelar isteri kelak, terdapat batas yang harus dijaga ketika berlakon.

Ditebak lagi soalan tentang kekasihnya yang dianggap gila glamor kerana sering menemani ke mana sahaja kaki melangkah termasuk ke majlis-majlis hiburan, Anzalna ada jawapan.

Jelasnya, dia tidak pernah berasa terkongkong, sebaliknya Hanif hanya menemaninya jika ada kelapangan.

“Dia bukan ada bersama saya 24 jam sehari kerana ada kerjaya sendiri. Dia temankan saya jika mempunyai masa lapang. Sebab temankan sayalah, dia faham kerja sebagai pelakon. Sekarang tidak perlu dijelaskan lagi kerana dia sudah faham dan percaya saya 100 peratus,” luahnya.

Sementara itu, Hanif turut meluahkan rasa syukur kerana dipertemukan dengan seorang wanita yang melengkapkan dirinya sebagai lelaki. Tiada lain yang dipinta, kecuali doa dipanjangkan jodoh dan dilimpahkan bahagia sehingga ke akhir hayat.

Justeru, Hanif merancang, sebaik majlis perkahwinan mereka selesai, dia berniat untuk membawa kedua-dua keluarga menunaikan umrah di Mekah. Meskipun mempunyai perancangan untuk berbulan madu ke destinasi popular lain, tetapi baginya hajat ke Mekah lebih utama.

“Rasanya lebih elok tunaikan umrah pada perkahwinan. Selain eratkan hubungan antara keluarga, ia satu permulaan yang baik untuk saya dan Anzalna. Doakan segalanya dipermudahkan untuk kami,” kata calon suami pilihan Anzalna itu mengakhiri bicara.

Previous Post Next Post