Program Mentor diberi nafas baharu


PROGRAM Mentor terbitan TV3 sememangnya bukan asing lagi. Selepas tujuh musim diterbitkan, Mentor kembali dengan konsep dan format baharu iaitu Mentor Milenia.

Fokus kepada bakat baharu yang terdiri golongan muda dalam lingkungan umur dari 17 hingga 21 tahun, Mentor Milenia membariskan Black, Azlan, Akim dan Hazama sebagai barisan mentor.

Menurut Pengurus Hiburan Primeworks Studios merangkap penerbit eksekutif Mentor Milenia, Muhamad Sufian Isa, Mentor kembali dengan konsep dan format baharu untuk mencungkil bakat muda dalam bidang nyanyian.

"Pemilihan Black, Azlan, Akim dan Hazama sebagai mentor kerana mereka terkenal dengan kekuatan vokal dan sentiasa memukau penonton ketika beraksi di pentas dan mereka mempunyai kualiti untuk disenaraikan sebagai mentor.


"Bukan itu sahaja, mereka juga bukanlah nama asing yang bertanding di anugerah berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL). Pengalaman mereka dalam mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran dalam industri hiburan sehingga berjaya dalam usia muda boleh dijadikan sumber inspirasi kepada protégé mereka yang berazam untuk berjaya seperti mereka.

"Selain itu, Mentor Milenia tidak akan mempunyai panel juri kerana keputusan persembahan para protege adalah berdasarkan jumlah undian daripada penonton di studio sebanyak 30% dan 70% menerusi laman web rasmi Mentor Milenia,” katanya.

Protege yang layak memasuki gelanggang Mentor Milenia seharusnya memiliki kriteria yang dicari iaitu berusia antara 17 – 21 tahun, warganegara Malaysia yang memiliki bakat, vokal mantap dan mempunyai pakej, berjaya memikat tumpuan Mentor yang menjadi pilihan mereka, menyanyi secara solo, tidak terikat dengan sebarang kontrak dan boleh memberikan sepenuh komitmen terhadap program Mentor Milenia.

Uji bakat akan diadakan pada 19 Disember (Azlan), 20 Disember (Akim) dan 26 Disember (Black), manakala Hazama sudah mencari protege pada 13 Disember lalu. Semua ujibakat diadakan di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Mentor Milenia bakal menemui penonton TV3 bermula 3 Januari 2015 pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 – 11.00 malam.

Previous Post Next Post