Sufi bakal muncul album baharu pada tahun ini.
Juara Akademi Fantasia 2015 (AF2015), Sufi merancang untuk memohon status penduduk tetap (PR) negara ini tidak lama lagi.
Sufi atau nama sebenarnya Mohammad Sufie Rashid, 25, berkata, selepas menjuarai AF5, fokus kerja seninya banyak tertumpu di Malaysia dan perkara itu membuatkan dia ingin menetap di negara ini.
"Sekarang ini kerjaya seni saya banyak tertumpu di Malaysia dan perkara itu membuatkan saya perlu menetap di negara ini.
"Memandangkan rezeki saya di sini, saya rancang untuk memohon status penduduk tetap pula. Tetapi mengikut prosidur, saya perlu bekerja di negara ini untuk beberapa tahun sebelum membuat permohonan tersebut," katanya kepada mStar Online.
Sufi
Tambah Sufi, dia turut bersyukur apabila ibu dan bapanya memberi sokongan penuh terhadap kerjaya seni yang dilakukannya dan percaya keputusan mahu memohon status penduduk tetap negara ini pastinya tidak akan dihalang.
Sementara itu kata Sufi, tahun 2016 akan memberi satu impak besar buatnya lebih-lebih lagi dia bakal muncul dengan album baru.
"2016 adalah tahun untuk saya memberi fokus penuh pada kerjaya nyanyian saya.
"Ada juga beberapa projek besar yang akan saya buat nanti tetapi belum boleh diumumkan lagi.
"Bagaimanapun saya akan tampil dengan album baru dimana Edry (KRU) turut akan terbabit sama," ujarnya.
Ditanya adakah dia akan terbabit di bidang lakonan pula, kata Sufi dia akan menerima tawaran yang diberi selepas projek muziknya pada tahun ini selesai.