Filem Munafik cetus debaran, kejutan


Antara babak dalam filem Munafik

NAMA Syamsul Yusof dalam arena pengarahan sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Tidak keterlaluan mengatakan sejak awal kemunculannya dalam bidang pengarahan, Syamsul sentiasa tampil dengan sesuatu kelainan dan pembaharuan menerusi garapannya.

Setelah lama menghilang dan kali terakhir muncul menerusi filem KL Gangster 2, kini, pengarah prolifik ini tampil dengan filem seram kedua arahannya, Munafik.

Filem yang ditulis, diarah dan dilakonkan sendiri oleh Syamsul ini, turut dijayakan pelakon hebat lain seperti Nabila Huda, Fizz Fairuz, Pekin Ibrahim dan Datuk Rahim Razali.

Munafik mengisahkan tentang Adam (Syamsul), seorang pengamal perubatan Islam yang tidak dapat menerima takdir apabila isterinya meninggal dunia.

Bagaimanapun dia mengalami pelbagai pengalaman aneh setelah dipujuk mengubati seorang wanita bernama Maria (Nabila) yang mengalami gangguan syaitan.


Penulis yang berpeluang menyaksikan filem ini baru-baru ini merasakan Munafik adalah antara karya terbaik Syamsul setakat ini.

Masakan tidak, dalam pada menonton, penonton akan mendapat input baharu mengenai Islam, biarpun ia tidak dijelaskan secara terperinci.

Penggunaan dialog bahasa Arab dan doa-doa yang digunakan untuk menghalau syaitan dan iblis juga adalah ayat dan doa sebenar yang dilontarkan secara jelas oleh Syamsul dan Nabila.

Biarpun karya ini berat, namun ia masih boleh difahami dengan jelas oleh penonton.

Bagaimanapun penulis meletak ke tepi beberapa kekurangan yang terdapat di dalam filem ini dan menyifatkan ia masih boleh dimaafkan.

Masakan tidak, jika dibandingkan dengan pertaruhan dan garapan yang lebih berkesan, Munafik memberikan sesuatu pengalaman yang berbeza kepada penonton.

Dari segi suntikan audio, pencahayaan dan syot, Syamsul berjaya tampil dengan sentuhan yang cukup rencahnya.

Biarpun suntikan kejutan dan debaran adalah perkara klise dalam filem seram, namun faktor itu jugalah yang menentukan kejayaan seseorang pengarah dalam mempersembahkan sebuah karya dengan genre seram.

Dari segi jalan ceritanya pula, penulis amat memuji sentuhan Syamsul dalam karyanya kali ini.

Syamsul tidak lagi bermain dengan pengakhiran biasa dalam filem seram. Namun sama seperti Khurafat, dia tampil dengan sebuah pengakhiran yang tidak terjangka.

Lakonan mantap Nabila Huda

Bukan itu sahaja, lakonan mantap pelakon terlibat, terutamanya Nabila Huda berjaya menghidupkan cerita ini lagi.

Bahkan Nabila Huda sendiri bersetuju, watak Maria merupakan antara watak paling berat yang pernah dijayakan.

Melakukan beberapa aksi lagak ngeri sendiri, dicampak, digantung dan paling menyeramkan apabila Nabila memberanikan diri untuk masuk ke dalam peti mayat demi memberikan lakonan cemerlangnya di dalam filem ini.

Pendek kata dari awal hingga akhir, anda pasti akan 'sesak nafas' melihat lakonan Nabila Huda dan kadang kala ngeri untuk melihat matanya.

Justeru, bagi anda yang ingin mengetahui kesudahan kisah Adam dan Maria, serta apa kaitan gangguan Maria terhadap Adam, jangan lupa untuk menyaksikan jawapan filem ini di pawagam.


Munafik
PENGARAH: Syamsul Yusof
PELAKON: Syamsul Yusof, Nabila Huda, Fizz Fairuz, Pekin Ibrahim dan Datuk Rahim Razali
GENRE: Seram
DURASI: 1jam 38minit
KLASIFIKASI: P13
TAYANGAN: 25 Feb
KESELURUHAN : * * * *

Previous Post Next Post