Yatt Hamzah kembali bergelar isteri


Yatt Hamzah kembali bergelar isteri

PELAKON dan pengacara, Yatt Hamzah, 36, sah bergelar isteri kepada Mohammad Zulfadhli Khiruddin, 26, dengan sekali lafaz, tepat jam 9 pagi tadi di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah dinikahkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai, dan Rujuk Daerah Petaling, Muhamad Sujak Dusuki.

Dalam majlis pernikahan itu, Mohammad Zulfadhli Khiruddin menyerahkan mas kahwin RM300 manakala nilai wang hantaran dirahsiakan.


Pada masa sama, pihak lelaki memberi sembilan dulang hantaran kepada Yatt dan dibalas 11 dulang oleh pihak perempuan.

Pasangan mempelai itu juga kelihatan anggun dan berseri-seri menggayakan busana berona putih.

Majlis pernikahan pengacara yang popular dengan program Islamik, Al Hidayah itu berlangsung secara sederhana dan dihadiri oleh teman rapat serta keluarga.

Difahamkan, pasangan sama cantik sama padan ini tidak akan mengadakan majlis persandingan sebaliknya hanya hanya jamuan makan pada tengah hari yang sama, bersempena sambutan ulang tahun hari lahir keenam anak tunggalnya, Suci Hanania Malika.

Sebelum ini, Yatt mendirikan rumah tangga dengan Abdul Mutalib Abdul Shukor, 36, pada 29 Mac 2009 namun berpisah pada Ogos 2015.

Previous Post Next Post